Pangsapuri generasi kedua di Felda Mendi
BERA 26 Sept. - Kerajaan sedang membuat kajian untuk membina sebuah pangsapuri di kawasan tanah rancangan Felda Gugusan Mendi bagi memenuhi keperluan rumah generasi kedua Felda.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sudah mengenal pasti tanah seluas lapan hektar untuk membina pangsapuri tersebut.
Bagaimanapun kata beliau, kerajaan sedang berunding dengan pengurusan Felda mengenai status tanah tersebut dan jika menjadi kenyataan, ia dapat menampung keperluan generasi kedua yang memerlukan rumah sendiri di daerah itu.
"Perumahan yang dibina untuk generasi kedua di Felda Triang 3 tidak mencukupi dan sebagai inisiatifnya kerajaan bercadang membina pangsapuri sebagai alternatif memandangkan kawasan tanah Felda amat terhad.
"Mengenai keputusan pemberian tanah pula adalah hak kerajaan negeri atau Felda. Dan tiada sesiapa pun boleh sewenang-wenangnya boleh memberi tawaran tanah kepada individu," kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 'Santai Bersama Keluarga' anjuran UMNO Bahagian Bera, di Dataran Kerayong, semalam.
Katanya, kerajaan dan Felda sudah mempunyai perancangan untuk generasi kedua Felda bukan sahaja berkaitan isu perumahan tetapi merangkumi pelbagai aspek termasuk peluang pekerjaan, kemahiran, pendidikan dan keusahawan.
Menurut beliau, generasi kedua perlu memberikan kepercayaan Felda serta kerajaan dan bukannya terpengaruh dengan janji-janji manis Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) untuk memberikan bulan dan bintang tetapi sebenarnya tidak mampu berbuat demikian.
"Anak tidak boleh mengeluarkan sebarang borang kerana mereka bukan pertubuhan yang dilantik Felda atau kerajaan untuk berbuat demikian.
"Jadi, apa sahaja yang datang daripada Anak mengenai permohonan tanah tersebut tidak seharusnya dipercayai walaupun itu merupakan impian mereka," kata beliau.
Menurutnya, tindakan persatuan yang berdaftar itu adalah untuk meraih sokongan dan memancing undi generasi kedua Felda supaya menyokong mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Monday, September 26, 2011
Wednesday, September 14, 2011
tragedi kuala krau

Tragedi Balai Polis Kuala Krau
Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanktn@gmail.com
GAMBARAN artis Balai Polis Kuala Krau lama yang menjadi serangan komunis pada 1948.
KUALA KRAU 14 Sept. - Tragedi Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 menjadi satu sejarah hitam setelah 25 anggota polis mati dibunuh akibat diserang komunis.
Tidak dinafikan, tragedi itu amat tragis yang mana pasukan keselamatan mempertahankan balai tersebut bermati-matian sehingga ke titisan darah terakhir menentang kumpulan yang berstatus pengganas.
Namun, tidak kurang juga kejadian sama berlaku di Balai Polis Kuala Krau pada 11 September 1949 sekitar pukul 4 pagi.
Kejadian itu berlaku lebih awal daripada tragedi Bukit Kepong, tetapi tidak ramai yang mengetahuinya.
Kisah tersebut diceritakan oleh Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman (gambar) kepada Utusan Malaysia yang diperoleh daripada Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md. Duhun.
Menurut Zainal, kedua-dua anggota itu merupakan antara mereka yang bertarung nyawa apabila komunis menyerang di segenap penjuru balai polis dan Pekan Kuala Krau.
Katanya, daripada apa yang diceritakan kepadanya, kira-kira 250 pengganas komunis mengepung balai polis itu sehingga menyebabkan anggota terbabit yang berada di dalam balai tersebut tidak boleh keluar.
"Ketika itu, hanya 30 anggota polis yang ada dalam balai tersebut dan peristiwa berkenaan disedari oleh Baharin yang pada ketika itu sedang membuat rondaan.
"Dalam kejadian tersebut, balai polis itu dikepong dan jalan-jalan utama serta jalan kereta api di sini juga ditawan oleh komunis," katanya di sini, baru-baru ini.
Katanya, kejadian itu menyebabkan seorang isteri pengawal kampung yang mengandung lima bulan dan menyewa sebuah rumah kedai di pekan itu dibunuh kejam bersama ibunya oleh komunis.
Paling tragis, tambahnya, seorang anggota polis bernama Hamzah yang cuma menunggu seminggu sahaja lagi untuk bergelar 'raja sehari' turut terkorban," katanya.
Zainal memberitahu, dalam kejadian tersebut, pengganas komunis masuk ke pekan itu dan merampas semua ubat-ubatan dari sebuah kedai ubat.
Katanya, komunis menembak mati seorang perempuan Cina dan seorang perempuan Melayu yang berada berdekatan kedai ubat berkenaan.
"Kira-kira 30 komunis lagi masuk di Jalan Besar dan menemui dua anggota polis, tetapi mereka dikatakan tidak diapa-apakan dan hanya merampas dua pucuk Rifle serta peluru," katanya.
Jelasnya, setelah itu, stesen kereta api pula menjadi sasaran komunis yang mana terdapat dua pegawai berbangsa Inggeris menjadi mangsa pembunuhan kejam golongan berkenaan.
Zainal berkata, kejadian di balai itu perlu dibanggakan kerana ia berlainan daripada kejadian sama berlaku di Bukit Kepong yang mengorbankan banyak nyawa anggota polis.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Monday, September 12, 2011
belajar menjadi jurufoto


jurufoto
Belajar kaedah mengambil gambar terbaik
PESERTA kursus fotografi merakam gambar-gambar terbaik di kawasan Air Terjun Sungai Panching, Kuantan.
KUANTAN 12 Sept. - Ahli Persatuan Jurufoto Kuantan (PJK) yang mengikuti kursus fotografi di Air Terjun Sungai Panching di sini, baru-baru ini menyifatkan ia satu pengalaman sukar dilupakan.
Seorang peserta, Raja Faiz Raja Hamka, 14, berkata, dia gembira menjadi peserta termuda mengikuti kem itu kerana ia banyak mendedahkan dirinya kepada pengetahuan fotografi.
Raja Faiz yang bercita-cita menjadi jurugambar profesional menambah, waktu hujung minggu dia mempelajari pengetahuan baharu dalam fotografi bersama ahli-ahli persatuan itu.
"Impian saya ini juga telah mendapat restu ibu bapa dan di atas sokongan mereka saya mendaftar dengan persatuan itu sebelum dihantar ke sini untuk menghadiri kem tersebut," katanya di sini, baru-baru ini.
Seorang peserta dari Skudai, Johor, Zulkifli Said, 30, memberitahu, dia tidak merasa rugi mengikuti kem itu walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke sini.
Katanya, dia berminat merakamkan gambar alam sekitar dan apabila mengetahui program itu diadakan di kawasan rekreasi itu, dia tidak melepaskan peluang untuk menyertainya.
"Selain dapat menikmati keindahan flora dan fauna, saya juga dapat menimba ilmu paling berguna iaitu bagaimana untuk merakamkan keindahan itu supaya dapat diabadikan dan ditatap oleh orang lain," katanya.
Seorang peserta wanita, Nor Idayu Husin, 23, menyatakan dia mengetahui tentang kem itu menerusi kawan-kawan yang memaklumkan hal berkenaan di laman sosial Facebook.
"Saya berpuas hati dengan apa yang diajar oleh tenaga pengajar kerana mereka berpengalaman dalam bidang mereka.
"Saya rasa memang berbaloi datang dan menghabiskan waktu untuk belajar tentang foto di air terjun ini," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Merakam keindahan alam
Oleh Siti Norizat Shikh Abdul Jalil
utusanktn@gmail.com
AHLI PJK gembira selepas menamatkan kursus fotografi di Air Terjun Sungai Panching, Kuantan, Baru-baru ini.
KUANTAN 12 Sept. – Bidang fotografi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bagi merakamkan detik-detik sejarah sama dalam aktiviti kehidupan mahupun keindahan alam semula jadi.
Pelbagai institusi pendidikan swasta menawarkan kursus dalam bidang fotografi, khususnya bagi mereka yang memiliki kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR).
Malah, ia bukan sahaja menarik golongan belia dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tetapi juga menarik minat pelajar sekolah bagi mendalami teknik fotografi.
Justeru, Persatuan Jurufoto Kuantan (PJK) menganjurkan kem fotografi kepada ahli-ahli persatuan itu yang diadakan di Air Terjun Sungai Pandan Panching di sini, baru-baru ini.
Program yang dianjurkan tiga hari dua malam itu melibatkan 45 peserta termasuk dari Selangor dan Johor.
Presidennya, Mohd. Azraie Azahari berkata, kem itu dibahagikan kepada beberapa sesi menarik antaranya potret, landskap, light painting dan makro.
Katanya, bagi memastikan apa yang diajar secara teori dalam program itu, para ahli kemudian akan menjalani sesi mengambil gambar di sekitar pusat rekreasi tersebut.
“Nampaknya ia membuahkan hasil dan rata-rata peserta berpuas hati dengan pengetahuan yang mereka perolehi menerusi kem ini,” katanya di sini, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, jika sesetengah institut mengadakan kursus di dalam kelas, pihaknya mengambil pendekatan melakukannya di kawasan rekreasi.
Katanya, cara itu mendedahkan peserta mempelajari teknik merakamkan gambar secara terus selain menikmati keindahan alam sekitar yang ada di kawasan itu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Panching, Mohd. Zaili Besar berkata, penganjuran kem foto berkenaan amat dialu-alukan apatah lagi ia melibatkan golongan belia dan diadakan di lokasi pelancongan menarik.
Beliau difahamkan bahawa terdapat teknik-teknik tertentu dalam menangkap gambar yang mana tidak semua boleh mempelajarinya.
“Jika kita melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dan serius mendalami ilmu fotografi, saya nampak bidang itu boleh mendatangkan hasil lumayan buat golongan belia yang meminatinya,” kata beliau.
Mohd. Zaili juga memuji persatuan itu kerana memilih Air Terjun Panching untuk menganjurkan program tersebut kerana secara tidak langsung dapat memperkenalkannya kepada pelancong tempatan dan asing.
Thursday, September 8, 2011
cendol pun mau tipu ka

Tertipu membeli cendol 'ori'
ROSLIZA LEE ABDULLAH
Kuala Lumpur.
Cuma ada beberapa ketulan cendol ditemui dalam bungkusan plastik yang dijual di bazar Ramadan, bandar Jerantut, baru-baru ini.
Saudara pengarang,
WALAUPUN Ramadan telah berlalu, saya terpanggil menyatakan rasa kesal mengenai sikap segelintir peniaga di bazar Ramadan, bandar Jerantut yang memanipulasikan keaslian bahan juadah dan harga yang tidak masuk akal.
Sebagai pelancong domestik, saya singgah di bazar berkenaan untuk mencari juadah berbuka puasa bersama anak-anak di bilik penginapan.
Saya meninjau pelbagai jenis juadah lalu mengambil keputusan membeli nasi, sayur, ikan bakar dan tiba-tiba mata melihat pada bungkusan plastik yang tertulis perkataan 'cendol ori'.
Selera saya terbuka kerana sudah lama tidak menikmati minuman berkenaan lantaran hati juga tertambat dengan keramahan penjual wanita dalam lingkungan usia 40-an meminta saya membeli cendolnya dengan harga RM3.50.
Ketika di bilik penginapan, saya terus membuka bungkusan plastik cendol berkenaan namun, terkejut kerana keikhlasan saya berbelanja dibalas dengan penipuan daripada penjual wanita tadi.
Hasrat untuk berbuka puasa sambil menikmati minuman berkenaan meleset apabila cuma ada beberapa ketulan kecil cendol dicampur dengan biji sagu merah. Selebihnya, cuma air gula merah dicampur ketulan ais.
Jika peniaga berkenaan hendak berjimat bahan berkenaan sekalipun dengan mengurangkan (ketulan) cendol biarlah berpada-pada dan munasabah agar masih boleh meyakinkan pelanggan.
Jika peniaga berkenaan seorang yang beragama Islam, barangkali pembaca Rakan Pahang tentu maklum apakah hukum atau pembalasan Tuhan terhadap penipuannya dalam perniagaan.
Barangkali pelanggan lain mungkin menghadapi senario yang sama, iaitu membeli makanan yang basi atau bahan jualan tidak laku disejukkan semula dalam peti sejuk.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Friday, August 26, 2011
ibu tunggal sakit
Ibu tunggal terlantar sakit kekejangan otot
JURIAH Mat Saman (kanan) sentiasa menjaga anaknya, Normah sambil dibantu cucu, Mohd. Afiq Shahmi dan Mohd. Afiq Zuhairi (kiri) di Jalan Bukit Palas, Kampung Cherating, baru-baru ini.
KUANTAN 26 Ogos - Setelah mengalami demam panas Disember tahun lalu, seorang ibu tunggal, Normah Idris, 42, hanya mampu terlantar sakit akibat kekejangan otot di rumah ibu bapanya di Jalan Bukit Palas, Kampung Cherating di sini.
Menurut ibunya, Juriah Mat Saman, 75, Normah yang kematian suami, Abdul Aziz Abdul Rahman sejak tiga tahun lalu akibat barah otak sebelum ini bekerja di sebuah pusat anyaman.
Katanya, anaknya itu bekerja bagi menampung perbelanjaan seharian tiga anak lelakinya, Mohd. Afiq Nuruldin, 15, Mohd. Afiq Shahmi, 12 dan Mohd. Afiq Zuhairi, 9.
Katanya, sejak terlantar sakit, dia yang mengusahakan kedai makan bersama suaminya, Idris Abdul Rahman, 75, terpaksa menghentikan perniagaannya semata-mata memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak ketiga dari lapan beradik itu.
''Saya sedih mengenangkan Normah dan anak-anaknya kerana sebelum ini dia seorang peramah dan periang. Kini dia tidak mampu bercakap dan hanya memandang sekeliling sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.
Juriah berkata, selain mendapatkan rawatan di hospital dan klinik, mereka turut berikhtiar secara tradisional sebagai usaha untuk melihat Normah kembali sihat seperti dahulu.
Jelasnya, setakat ini, anaknya itu belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali menerima sumbangan daripada anak- anak, saudara mara dan pihak tertentu yang simpati dengannya.
Mengenai kos rawatan katanya, Normah memerlukan kira-kira RM800 setiap bulan bagi membeli keperluan seperti susu tepung khas, lampin dewasa serta ubat-ubatan.
Dia kini buntu memikirkan nasib anak dan cucu-cucunya pada masa depan sekiranya tiada sesiapa yang dapat menguruskan mereka.
''Setiap hari saya berdoa mengharapkan anak saya kembali pulih seperti sedia kala kerana tidak sanggup melihatnya menderita dan kadang-kala mengerang seperti menahan kesakitan," jelasnya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Murni Amat Daud, 44, di talian 014-2126099.
TAJUK-TAJUK BERIT
Tuesday, August 23, 2011
curi kerbau
Curi kerbau menjelang Aidilfitri
Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanktn@gmail.com
NAZRI Aman (berdiri) menunjukkan kepala kerbau yang dijumpai sekitar Kampung Belengu, kelmarin.
TEMERLOH 23 Ogos – Tiga rakan kongsi mengalami kerugian RM6,000 apabila tiga ekor kerbau milik mereka dicuri pada Sabtu lalu dipercayai untuk dijual dagingnya menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Salah seorang daripada mereka, Nazri Aman, 48, berkata, ini merupakan kali kedua kecurian ternakan ini berlaku dan kali pertama, seekor kerbau milik mereka dicuri kira-kira sebulan lalu.
Katanya, kehilangan tiga ekor kerbau ini disedarinya pagi Ahad lalu ketika dia hendak melepaskan ternakan itu keluar dari kandang kira-kira pukul 10 pagi.
“Saya tidak sedap hati apabila melihat pintu pagar terbuka dan dikopak. Tekaan saya tepat apabila selepas meninjau kira-kira 200 meter saya ternampak tali perut kerbau terburai bersama kepala,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Belengu dekat sini semalam.
Katanya, dia kesal kerana kerbau mereka itu dicuri dalam kandang menggunakan tembakan peluru hidup.
“Pada pukul 2 petang saya jumpa satu lagi kepala bersama perut dan saya tidak berpuas hati lalu membuat rondaan dan pada pukul 5 petang satu lagi kepala kerbau bersama perut dijumpai,” katanya.
Beliau percaya pencuri itu menggunakan senjata api tanpa lesen untuk menembak dan mencuri haiwan ternakannya.
Katanya, dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan berharap polis dapat menangkap segera pencuri tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Thursday, August 18, 2011
tagih janji 20 tahun
Mohon jalan sejak 20 tahun lalu
ZAINAL IBRAHIM, Kampung Batu Kapor, Mentakab
ZAINAL Ibrahim menunjukkan lorong masuk ke rumah pusaka ayahnya yang dijanjikan pihak berkenaan untuk membina jalan tar.
Saudara pengarang,
SAYA penduduk Kampung Batu Kapor, Mentakab ingin menuntut janji yang dibuat 20 tahun lalu untuk membina jalan masuk ke rumah saya.
Pihak berkenaan membuat janji tersebut kepada Allahyarham abang saya, Harith Azmi Ibrahim pada 1991 tetapi tidak pernah ditunaikan sehingga arwah meninggal dunia pada 2008.
Pihak berkenaan berjanji akan membina jalan tar ke rumahnya sejauh kira-kira 50 meter.
Ketika masih hidup, arwah sentiasa berjumpa dengan pihak berkenaan untuk memastikan janji itu ditunaikan.
Bagaimanapun, hasrat arwah untuk mendapatkan jalan itu tidak kesampaian. Jalan itu sangat diperlukan kerana apabila hujan, jalan menghala ke rumahnya itu becak dan mengotorkan.
Saya berharap pihak berkenaan dapat menunaikan janji ke atas arwah abangnya itu kerana kami tidak mampu untuk membina jalan tar untuk keluar masuk.
Pihak yang berkenaan pernah datang ke rumah arwah untuk kerja-kerja mengukur bagi membina jalan tar tersebut.
Selepas pihak berkenaan mengukur, kami sangkakan akan mendapat jalan yang diminta.
Bagaimanapun kami hampa kerana dari sehari ke sehari menunggu, jalan tar yang diharapkan tidak kesampaian.
Jalan itu tidaklah terlalu panjang atau lebar tetapi cukup untuk kemudahan kenderaan keluar masuk.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Posts (Atom)