Saturday, March 10, 2012

masih pakai titi

Rombongan pengantin guna titi
ROSILAWATI ROSEDI
11 Mac 2012
Titi
KUANTAN - Hari bersejarah buat pasangan pengantin baru, Nuraifidah Abdullah, 25 dan Hafiz Hakim Hakim Hassan, 26 di Kampung Sungai Darat di sini sedikit terjejas semalam berikutan kawasan rumah mereka dikelilingi air akibat masalah longkang yang tidak dapat menampung aliran air sejak tiga minggu lalu,
Kira-kira 2,000 tetamu di Kampung Sungai Karang Darat di sini terpaksa menempuh kesulitan meniti jamban kayu sementara lebih 12 meter yang dibina semalam.

Abang pengantin, Zulkifli Abdullah, 29 berkata, jambatan sementara itu terpaksa dibina bagi memastikan tetamu dapat menghadiri kenduri perkahwinan adiknya walaupun mungkin dalam suasana kurang selesa.

Menurutnya, dia dan penduduk sekitar membantu menyiapkan jambatan kayu itu lebih dua jam.

“Nak tak nak kami terpaksa bina jambatan ini untuk memastikan tetamu dapat pergi walaupun kenduri ini juga terpaksa beralih ke rumah saudara-mara berhampiran.

“Bagi penduduk kampung ini, mungkin faham dengan situasi yang dialami namun ini saja alternatif terbaik untuk atasi masalah ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tetamu terpaksa menunggu giliran untuk meniti jambatan tersebut.

Laporan Sinar Harian semalam menyiarkan keresahan 20 pemilik rumah di kampung terbabit kerana longkang dari perumahan baru tidak dapat menampung aliran yang mengakibatkan kawasan rumah mereka digenangi air.

Ia menyebabkan bau busuk terhasil daripada longkang tersebut dan tampah parah, air akan memasuki ruang tamu beberapa buah rumah selepas hujan selain menyukarkan perjalanan keluar masuk penghuni rumah.

Thursday, March 8, 2012

buang sampah merata

Buang sampah di lereng bukit
Wartawan Sinar Harian
8 Mac 2012
sampah dilereng bukit
KUANTAN – Beberapa penduduk di Indera Mahkota Dua di sini kesal dengan sikap segelintir penduduk yang mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan lereng bukit berhampiran hutan di sini.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Hamzah berkata, keadaan ini sudah berlanjutan hampir beberapa tahun dan sehingga kini belum ada usaha membanteras sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Menurutnya, kawasan itu merupakan jalan utama digunakan penduduk di sini termasuklah pelajar untuk ke sekolah.

“Ia turut mencemarkan imej kawasan ini dengan sampah berlonggok dan berbau busuk. Saya kesal kerana bukan tidak ada lori mengangkut sampah, tetapi tanpa kesedaran sivik, masih ada yang mengamalkan sikap seumpama ini.

“Selain itu, longgokan sampah ini menjadi tempat haiwan seperti biawak dan kera datang yang mana menambahkan lagi imej buruk di ini,” katanya.

Seterusnya, beliau menjelaskan laluan tersebut merupakan laluan untuk murid dan pelajar yang sering dilalui awal pagi dan petang.

Hamzah berkata, dia risau jika keadaan sampah itu boleh menyebarkan penyakit berbahaya seperti denggi.

“Kawasan kotor boleh menyebabkan penularan pelbagai penyakit.

“Sehubungan itu, saya harap masalah ini dapat perhatian pihak berwajib dan jika perlu mereka yang membuang sampah ini dikenakan denda sebagai tauladan agar tidak berbuat demikian,” katanya.

Pihak bertanggungjawab diharap dapat membersihkan kawasan ini supaya tiada individu lain terus membuang sampah.

Saturday, March 3, 2012

jba jadi paip

1,279 setuju bersama Paip
Wartawan Sinar Harian
3 Mac 2012

BENTA - Seramai 1,279 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP) memilih untuk bersetuju bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) setelah syarikat itu dikorporatkan pada 1 Februari tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengang-kutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, seramai 53 penjawat pula memilih bersara termasuk ditamatkan kontrak atas persetujuan sendiri.

“Paip menawarkan pelbagai kemudahan kepada pegawai dan kakitangan berkenaan iaitu gaji kompetitif termasuk elaun perumahan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta prasyarat munasabah,” katanya selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seramai 124 penduduk di Sekolah Menengah Teknik Lipis, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan kakitangan JBAP setelah perjanjian pengkorporatan antara Kerajaan Negeri dan Paip ditandatangani, baru-baru ini.

Mohd Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta berkata, Kerajaan Negeri mengambil kira semua aspek pengkorporatan termasuk kebajikan pegawai dan kakitangan supaya mereka dapat bertugas dengan lebih selesa dan memberi perkhidmatan penuh integriti.

“Isu pengkorporatan bekalan air di negeri ini sudah selesai dan tidak wajar diuar-uarkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Sehubungan itu, saya minta wakil rakyat bersama JBAP menerangkan kepada penduduk mengenai kerelevanan pengkorporatan jabatan itu,” katanya.

Menurutnya, tujuan pengkorporatan supaya Paip dapat meningkatkan kecekapan operasi dengan memberi fokus kepada peningkatan hasil seperti mengurangkan air tanpa hasil, mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan dan kutipan.

tipu orang asli

Tindakan licik dua wanita cantik
Wartawan Sinar Harian
3 Mac 2012
Sebahagian-daripada-mangsa-tipu-menunjukkan-emas-mereka-yang-disadur-oleh-ketia-tiga-suspek-dipercay
KEDAIK, ROMPIN – Gara-gara hanya mahu mencuci emas serendah RM2, seramai kira-kira 20 suri rumah dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kampung Orang Asli Kedaik, di sini, ditipu ‘tukang celup emas’ yang datang dari rumah ke rumah penduduk.

Modus operandi yang dilakukan sindiket itu sungguh licik dengan mendakwa mereka dari negara China serta tidak pandai berbahasa Melayu dan mahu menolong penduduk mencuci emas dengan tawaran harga yang rendah.

Bagaimanapun, penduduk yang ‘termakan janji manis’ dua wanita dan seorang lelaki dipercayai warga China itu, terkejut besar apabila mendapati emas yang disadur bertukar warna serta kandungan emasnya jauh menyusut daripada nilai asalnya.

Kesemua penduduk yang ditipu sindiket terbabit dianggarkan mengalami kerugian lebih RM50,000 dalam sekelip mata sahaja apabila kehadiran tetamu asing yang tidak diundang itu menyebabkan mereka kini hidup dalam tekanan.


Alami kerugian hampir RM20,000

Sarimah Ada, 32, berkata, kesemua emas yang disimpannya itu diserahkan kepada warga asing tersebut kononnya mahu mencuci emasnya bagi mengembalikan warna emas yang lebih berkilat.

Namun, sangkaannya untuk melihat emasnya kembali kilat jauh meleset apabila kesemua barangan emas yang dicelup dalam bekas cecair yang dibawa seorang lelaki China itu tiba-tiba bertukar warna.

“Pada masa itu, saya hanya diam membisu dan tidak banyak cakap serta menuruti sahaja apa yang disuruh oleh pihak terbabit.

“Namun, setelah mereka beredar dan pulang saya menyedari telah menjadi mangsa tipu apabila melihat emas yang diserahkan kepada mereka bertukar warna dan barangan kemas saya menjadi lebih ringan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara barang kemas yang dileburnya kepada ketiga-tiga suspek adalah, seutas rantai tangan, empat cincin dan tiga rantai leher dengan anggaran kesemuanya bernilai hampir RM20,000.


Suspek wanita dipercayai muda, kelihatan cantik

Wati Acha, 43, berkata, dua wanita itu mempunyai kulit yang halus dan gebu serta berpenampilan menarik serta dipercayai masih berusia dalam lingkungan 20-an berdasarkan paras rupa paras wanita tersebut.

Katanya, dua wanita itu juga memakai beg poket pinggang bagi memudahkan mereka memasukkan wang yang diterima mereka daripada ‘pelanggan’ selepas kerja menyadur emas dilakukan.

“Wanita muda itu kelihatan berperwatakan menarik dan hanya dengan senyuman mereka sahaja, kami terus terpukau dan menyerahkan emas seperti yang diminta suspek melalui bahasa isyarat,” katanya.

Menurut Wati, semasa kejadian itu, dia hanya tinggal keseorangan bersama dua orang anaknya yang masih kecil dan aktiviti itu dilakukan dalam tempoh masa tidak kurang 10 minit sahaja.

“Mereka datang dengan tergesa-gesa dan minta saya keluarkan emas kononnya mahu sadur, namun selesai mengambil upah menyadur emas, mereka pulang dengan selamba,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tergerak hati melihat semula emas yang disadur, namun alangkah terkejutnya apabila mendapati sebentuk cincin gred 916 bertukar warna menjadi putih, manakala barangan kemas lain kelihatan semakin ringan.

“Saya berasa sungguh kesal kerana emas ini adalah harta yang saya simpan jika berlakunya kecemasan dan memerlukan wang untuk perbelanjaan keluarga, tetapi kesemuanya hilang begitu sahaja,” katanya.


Cari suri rumah yang tinggal keseorangan di rumah

Timah Bidun, 60, berkata, suspek biasanya mencari suri rumah yang tinggal keseorangan pada waktu itu di rumah kerana bimbang kegiatan licik mereka memperdaya suri rumah mungkin boleh ‘dihidu’ suami.

Timah berkata, biasanya mereka akan mengintai terlebih dahulu ke dalam rumah sebelum masuk ke dalam setelah yakin hanya suri rumah sahaja yang ada dalam rumah itu, sebelum suspek bertindak ‘memasang jerat’.

Katanya, walaupun tidak diundang, namun dua wanita itu terus menyelinap masuk ke dalam rumah, sementara seorang lagi rakan lelaki mereka tunggu di dalam kereta sebelum lelaki itu dipanggil suspek masuk ke rumah yang sama.

“Lelaki yang sedia menanti di luar terus masuk ke rumah dengan membawa barangan untuk mencuci emas dan menjalankan aktiviti itu selepas meminta kami mengambil emas yang disimpan,” katanya.

Menurutnya, kesemua mereka yang terpedaya dengan taktik licik itu seolah-olah dipukau suspek tersebut dan modus operandi yang dilakukan suspek adalah sama iaitu dengan mengintai, menyelinap masuk ke dalam rumah dan meminta barang kemas untuk dicuci,”
katanya.

Friday, March 2, 2012

rumah kosong port baik

Rumah kosong port strategik
Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2012
Rumah kosong  port strategik
SABAK FERI - Penduduk di Kampung Sabak Feri, di sini, bimbang dua rumah kosong berhampiran tangki air Perbadanan Air Pahang (Paip) dijadikan sebagai sarang penagihan dadah jika ia dibiarkan tanpa pengawasan.

Ketua Umno Cawangan Sabak Feri, Bhakhira Awang Zakaria berkata, sebuah rumah kosong dua tingkat dan sebuah lagi rumah dipercayai bekas pejabat itu sudah lama dibiarkan kosong sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, lokasi rumah tinggal itu yang terletak jauh ke dalam dan jauh dari rumah penduduk serta ditutupi semak disifatkan sebagai ‘kawasan strategik’ untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Dua rumah kosong yang sudah terbiar lama ini seharusnya dipantau pihak berkuasa kerana kita khuatir tempat ini berpotensi menjadi sarang penagih,” katanya kepada Sinar Harian.

Bhakhira mengakui pernah terserempak dengan ­beberapa lelaki di ­rumah kosong itu dalam ­ke­adaan mencurigakan ketika dia keluar dari hutan ber­hampiran selepas mencari ulam-ulaman.

“Saya pernah terserempak dengan kelibat beberapa lelaki yang tidak dikenali keluar dari rumah berkenaan tergesa-gesa dan saya percaya mungkin ada sesuatu yang mereka lakukan di situ,” katanya.

Beliau berkata, polis perlu menjalankan intipan dan pengawasan lebih kerap bagi memastikan kawasan rumah tinggal itu bebas daripada sarang penagihan dadah serta perlakuan tidak bermoral lain.

Katanya, rumah kosong itu sebelum ini pernah menjadi sasaran pencuri yang mencuri pintu, cermin tingkap, siling, mangkuk tandas dan barangan lain.

“Barangan yang bernilai kebanyakannya sudah dikebas mereka yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan persekitaran tidak terurus dan rumah mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Beliau berharap pihak berwajib dapat mengenal pasti status sebenar rumah kosong itu dan mengambil langkah terbaik bagi memastikan ­kawasan berkenaan tidak dicemari dengan kegiatan tidak bermoral.

“Saya berharap masalah ini dapat dibendung dengan segera kerana kita bimbang akan berlakunya peningkatan kes sosial anak muda terutama mereka yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

hampir kena tipu

Nyaris jadi mangsa ‘Aisha’
Wartawan Sinar Harian
2 Mac 2012
TEMERLOH – Seorang pemuda di Kampung Paya Pulai di sini mendakwa hampir menjadi mangsa tipu individu sama seperti laporan muka depan Sinar Harian bertajuk ‘Jerat Cinta Aisha’ semalam.

Rohaizat Ismail, 30, berkata, dia berkenalan dengan seorang gadis yang menggunakan nama ‘Turazak Meriam’ kira-kira sebulan lalu melalui laman sosial, Facebook.

Menurutnya, laporan Sinar Harian semalam sama dengan pengalaman dia berkenalan dengan seorang wanita berasal dari Sabah dan kini mempunyai sebuah syarikat di United Kingdom serta menetap di London.

Menceritakan pengalamannya, Rohaizat berkata, dia pada mulanya berasa ragu-ragu sepanjang berbalas mesej dengan wanita terbabit kerana wanita itu enggan menjadi kenalannya dalam ruangan rakan di Facebook.

“Namun, wanita ini masih berbual dan menghantar mesej setiap hari dan pernah menyuruh saya mencari sebuah kondominium kerana katanya akan bercuti di Malaysia dan turut meminta saya menjadi pemandu pelancong.

“Oleh kerana dia sudah lama tidak pulang ke negara ini, dia sudah tidak ingat lokasi menarik dan meminta saya menemaninya sepanjang berada di Malaysia,” katanya semalam.

Rohaizat berkata, kelmarin wanita sama memaklumkan kepadanya supaya memeriksa e-mel kerana telah mengirim sejumlah barangan berharga kepadanya.

“Saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena dan cuba menyiasat lebih lanjut helah digunakannya untuk memperdayakan saya.

“Pagi semalam selepas membaca Sinar Harian, saya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang mendakwa bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mahukan saya mengambil barang yang terkandas di sana.

“Tetapi lelaki itu memberi syarat memasukkan wang RM2,500 ke dalam sebuah akaun bagi melepaskan barang saya yang terkandas itu,” katanya.

Rohaizat berkata, dia mula mengesyaki berlaku penipuan dan tidak akan melayan lagi panggilan dan e-mel daripada wanita terbabit selepas ini.

Rohaizat seorang pengumpul barangan lama berkata, dia menggunakan laman sosial Facebook bagi tujuan perniagaan akan lebih berhati-hati selepas ini dan menasihati orang ramai di luar sana supaya berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

selalu curi balak

Tidak sempat dapat upah
ERMA YUSNIDA JUSOH
2 Mac 2012
balak
KUANTAN - Hasrat seorang pemandu lori untuk mendapatkan upah lumayan berjumlah RM150 bagi satu perjalanan memindahkan kayu balak curi hanya tinggal impian apabila ditahan oleh anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, lori yang membawa muatan sembilan batang kayu spesies keruing lebih 40 kilometer itu terpaksa dikejar oleh anggota penguat kuasa sebelum berjaya ditahan dalam kawasan Taman Perumahan Seri Ku, dekat sini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Paiz Kamarazuman berkata, kayu spesies keruing berukuran 4.8 meter panjang itu bernilai lebih RM11,000 dimuatkan dalam sebuah lori lima tan.

Menurutnya, kayu berkenaan dipercayai ditebang tanpa lesen dari Hutan Simpan Chini, Pekan sebelum dimuatkan dalam lori untuk dihantar ke kilang papan.

“Dalam siasatan yang dibuat, kami mendapati pemandu lori berkenaan sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan sama malah dia ternyata tidak serik walaupun pernah dikenakan tindakan sebelum ini.

“Bagaimanapun lelaki yang berasal dari Felda Chini itu hanya bertindak sebagai pemandu sahaja, sementara itu lori berkenaan disewa oleh individu lain yang menjadi dalang kepada kegiatan tersebut,” katanya.

Mohd Paiz berkata, sebelum berjaya ditahan, anggota penguat kuasa terpaksa mengejar lori terbabit selepas usaha menahannya gagal apabila pemandunya bertindak licik dengan memasuki kawasan taman perumahan sebelum mereka tersekat di situ.

Beliau berkata, kejayaan melumpuhkan sindiket itu hasil maklumat orang awam yang sentiasa prihatin dengan aktiviti pencerobohan hutan terutama di kawasan Hutan Simpan Chini.

Katanya, lelaki terbabit kini ditahan bagi siasatan dalam usaha mengenal pasti lokasi sebenar pokok keruing yang ditebang seterusnya laluan yang digunakan.

“Saya berharap masyarakat dapat bekerjasama dengan kita dengan memberi maklumat terutama membabitkan aktiviti pencerobohan dan pengeluaran hasil hutan tanpa lesen.

“Terdapat beberapa kawasan hutan di negeri menjadi tumpuan aktiviti tidak bertanggungjawab itu dan usaha menyekatnya akan terus dilakukan oleh Unit Penguat kuasa negeri dan daerah,” katanya.