Monday, February 6, 2012

usahawan dadih

Hamidah mampu jual 500 dadih sehari


HAMIDAH Deris menunjukkan dadih kelapa yang diprosesnya untuk pasaran di Taman Negara Kuala Tahan Seberang, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/Haris Fadilah Ahmad


JERANTUT 6 Feb. - Siapa sangka dengan hanya menjual dadih kelapa, seorang suri rumah tangga mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.
Selain enak untuk diminum, dadih kelapa mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia dan dikatakan boleh menjadi penawar kepada racun.
Penjual dadih kelapa di Taman Negera Kuala Tahan, Hamidah Deris, 41, berkata, penjualan dadih kelapa pada musim cuaca panas itu meningkat dan mampu menjual sehingga 500 bekas dalam masa sehari.
"Dalam masa tiga hari jualan saya boleh mencecah 1,000 bekas dan musim cuaca panas ini boleh mendatangkan rezeki yang berganda kepada saya.
"Setiap hari memang tak menang tangan. Saya dan suami, Ahmad Husni Awang tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli ke kedai kami," katanya, ketika ditemui di kedainya di Pusat Pertumbuhan Baru Kuala Tahan Seberang, Kuala Tahan dekat sini baru-baru ini.
Menurut Hamidah, pada mulanya, dia hanya menjual secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu setelah memperoleh kemahiran daripada rakannya membuat dadih kelapa di bandar ini.
"Saya lihat pelanggan tempatan dan pelancong suka minum air kelapa dan mengambil keputusan untuk membuat dadih biasa dan pandan kerana rasanya lebih enak serta baunya yang lebih wangi.
"Pada mulanya saya hanya jual sekitar 50 bekas dalam sehari dan langsung tak sangka kini saya boleh jual sehingga 500 bekas dalam tempoh itu," ujarnya.
Katanya, kebiasaannya dia memperoleh RM500 sehari dan pernah menjangkau RM1,000 apabila dadih kelapanya ditempah untuk majlis perkahwinan serta majlis keramaian di Taman Negara Kuala Tahan.
"Saya bercadang melebarkan perusahaan dadih ini dan memerlukan bantuan sebuah peti sejuk yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Saturday, February 4, 2012

lynas

Polemik Lynas berterusan
Wartawan Sinar Harian
3 Februari 2012
Lynas
KUANTAN – Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 kesal dengan keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) yang meluluskan lesen operasi sementara projek Lynas, di Gebeng walaupun masih banyak syarat yang belum dipenuhi.

Pengerusinya, Wong Tack berkata, lesen operasi sementara itu sebenarnya tidak perlu jika LPTA benar-benar yakin projek itu selamat.

“Jika mereka kata projek itu tidak merbahaya, mengapa perlu ada lesen operasi sementara.

“Mereka seolah-olah ingin menjalankan eksperimen terlebih dahulu bagi mengetahui projek ini sebenarnya selamat atau sebaliknya,” katanya pada sidang media semalam.

Katanya, beliau benar-benar kecewa kerana selepas tempoh setahun bertungkus-lumus membantah projek ini, pihak bertanggungjawab tetap meluluskan operasi.

“Kini, kami sudah sampai ke tahap merayu pada kontraktor, pembekal, perunding, arkitek dan semua syarikat yang berkaitan dengan projek ini untuk berhenti bekerjasama bagi menyelamatkan nyawa 700,000 penduduk Kuantan dan Kemaman.

“Saya berharap supaya masyarakat dapat membuka mata dan minda bagi menentukan yang terbaik untuk masa depan mereka,” katanya.

“Jika mereka enggan berhenti, saya rayu kepada penduduk supaya memboikot syarikat-syarikat ini,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya ‘berjanji’ akan meneruskan perjuangan menentang projek ini bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin.

“Kita tidak akan berhenti setakat ini sebaliknya akan terus berusaha untuk menjatuhkan kilang itu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Himpunan Hijau 2.0 menyeru rakyat Malaysia untuk hadir ke Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung pada 26 Februari ini di sini, bagi menyuarakan bantahan terhadap keputusan ini.

Dalam perkembangan lain, Stop Lynas Coalition turut mengadakan sidang media berkaitan bantahan terhadap isu yang sama.

Pengerusinya, Andansura Rabu berkata, beliau terkejut dengan keputusan LPTA walaupun kemudahan pelupusan tetap (PDF) masih belum diselesaikan.

“Salah satu syarat LPTA ialah pelan dan lokasi PDF mesti didedahkan dalam masa sepuluh bulan pengeluaran TOL.

“Mengapa pihak kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya tidak memaksa Lynas untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu sebelum memberikan kelulusan,” katanya.

isu air

PR serah memorandum isu air
Wartawan Sinar Harian
1 Februari 2012
Penyelaras PR Parlimen Bera, Mazlan Aliman
BERA – Seramai 13 wakil dari enam perkampungan Orang Asli bersama pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Bera menyerahkan memorandum kepada Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), semalam.

Penyelaras PR Parlimen Bera, Mazlan Aliman berkata, memorandum itu diserahkan pada jam 12 tengah hari dan perbincangan hampir satu jam dengan kakitangan Suhakam mengenai isu kemusnahan sistem tiub telaga air di enam kampung terbabit.

Menurutnya, antara kandungan memorandum itu ialah penduduk melahirkan kekecewaan mereka apabila sistem yang sudah siap sepenuhnya dimusnahkan pihak tertentu walaupun ia tiada kaitan dengan penduduk.

“Kita mahu hak asasi penduduk Orang Asli dibela. Persengketaan antara kontraktor utama dan subkontraktor seharusnya diselesaikan antara mereka, bukan membabitkan penduduk.

“Ada beberapa kampung menerima bekalan air bersih lebih setahun, tetapi ada juga baru menerimanya terus ke rumah tidak sampai seminggu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, selain itu penduduk turut mempersoalkan pemantauan dilakukan kementerian bertanggungjawab terhadap projek tersebut.

Menurutnya, projek itu bukan sahaja dilaksanakan di daerah ni, tetapi juga di beberapa daerah lain membabitkan keseluruhan 80 kampung.

Katanya, hasil pemantauan di beberapa kampung turut mendapati masih ada kawasan belum menikmati bekalan air bersih walaupun projek itu sudah siap sepenuhnya.

“Kes terbabit hanya berlaku di daerah ini. Kampung lain tidak menghadapi masalah seperti ini, tetapi penduduk berhadapan masalah lain iaitu masih tidak menerima bekalan air bersih terus ke rumah sejak projek itu siap.

“Kami mempersoalkan pemantauan dilakukan kakitangan bertanggungjawab untuk memas-tikan projek ini lancar. Di samping itu, kami mendesak kementerian terbabit mengisytiharkan status projek itu sama ada ia dilakukan secara tender terbuka atau rundingan terus,” katanya.

Beliau berkata, ia berikutan projek itu berkemungkinan dilakukan secara rundingan terus menyebabkan tiada dokumen boleh dijadikan bukti subkontraktor mengenai isu pembayaran terbabit.

Katanya, walaupun marah dengan tindakan subkontraktor yang memusnahkan sistem itu, tetapi mereka turut bersimpati kerana difahamkan pihak berkenaan tidak menerima bayaran walaupun membuat tuntutan selama 18 bulan daripada kontraktor utama.

“Ia berkaitan hak asasi penduduk Orang Asli yang dizalimi, dikhianati dan menjadi mangsa keadaan.

“Hal ini jelas menunjukkan kegagalan kementerian terbabit, selain menimbulkan tanda tanya mengenai tanggungjawab wakil rakyat berhubung isu ini,” katanya.

Difahamkan, isu itu juga akan dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Temerloh dalam tempoh terdekat.

banjir kilat di bandar raub

Bandar Raub dilanda banjir kilat lagi
Wartawan Sinar Harian
5 Februari 2012
Bandar Raub dilanda banjir kilat lagi
RAUB – Bandar Raub dilanda banjir kilat buat kali kedua dalam tempoh lebih kurang dua bulan selepas berlaku hujan lebat selama lebih satu jam bermula lebih kurang jam 4.30 petang kelmarin.

Seorang penduduk, Muhammad Zulkifly Mat Yatim, 30-an, berkata, banjir kilat kali ini disertai lumpur dan berlaku pada sebelah petang.
Menurutnya, sebelum ini, kejadian serupa berlaku pada sebelah malam sehingga mengakibatkan aliran trafik terjejas selama lebih dua jam.

“Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada projek pembinaan di kawasan bukit pinggiran bandar ini yang menjadikan kawasan tadahan air terjejas dan air hujan terus mengalir deras tanpa halangan.

“Walaupun tidak terlalu teruk dan hanya membabitkan kawasan sekitar pasar, hentian teksi dan sepanjang Jalan Dato’ Abdullah, tetapi tindakan pencegahan perlu dilakukan segera untuk mengelak ia berulang,” katanya.

Muhammad Zulkifly berkata, kejadian seperti itu bukan sahaja mendatangkan kesulitan kepada pengguna jalan raya yang terpaksa meredah air berlumpur, tetapi turut menjejaskan aktiviti perniagaan setempat.

Katanya, sekiranya paras air naik mendadak di tengah kawasan bandar, ia menyebabkan kenderaan tidak dapat bergerak hingga mengakibatkan aliran trafik lumpuh.

“Peniaga juga terpaksa menanggung kerugian apabila air berlumpur memasuki kawasan premis dan menenggelamkan sebahagian barangan yang tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera termasuk menyediakan sistem perparitan yang bersesuaian dengan pembangunan dilaksanakan di kawasan itu.
Keadaan banjir kilat berserta aliran lumpur melanda bandar Raub menyebabkan suasana panik penduduk.

Friday, February 3, 2012

ladang kontrak

310 petani sertai Ladang Kontrak

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 3 Feb. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menambah 310 lagi bilangan peserta yang menyertai Ladang Kontrak melibatkan keluasan 559 hektar di seluruh Pahang pada tahun ini.

Pengarah Kanan Ladang Kontrak FAMA, Ahadiah Mohd. Khairi berkata, pada tahun lalu pihaknya menyasarkan 633 peserta tetapi 608 orang sahaja menyertai program tersebut melibatkan keluasan tanah 1,341 hektar.

Menurutnya, sasaran itu dibuat bagi membolehkan golongan terbabit meningkatkan hasil pertanian seterusnya menjual kepada FAMA untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

"Dengan sasaran itu, hasil pertanian pada tahun ini dijangka dikeluarkan sebanyak 20,992 tan metrik dengan setiap peserta terbabit akan memperoleh pendapatan kasar sekitar RM3,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjanjian jual beli antara FAMA dan peserta Ladang Kontrak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Ular di sini semalam.

Ahadiah berkata, kebanyakan peserta yang menyertai program itu mengeluarkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Jelasnya, Pahang merupakan pengeluar nangka pertama di negara ini apabila ramai peserta di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh serta di Pahang Barat menyertai program itu.

Katanya, kebanyakan peserta menghantar hasil masing-masing kepada FAMA untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

"Ada juga peserta yang menjualnya sendiri dan secara langsung memberi pendapatan tambahan kepada mereka," katanya.

Beliau memberitahu, pengenalan program itu untuk membolehkan peserta terlibat menjual hasil tanaman sendiri di pasar tani tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

Selain itu katanya, mereka yang menyertainya akan mendapat bimbingan percuma dari jabatan dan agensi pertanian terbabit serta pembiayaan kewangan menerusi AgroBank sehingga RM50,000.

bera mau juga guru bi us

Sukarelawan AS teruja, bersemangat ajar BI

TEMERLOH 3 Feb. - Dua siswazah dari Amerika Syarikat (AS) yang terlibat di bawah program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) di Lanchang, dekat sini gembira kerana berpeluang meningkatkan penguasaan bahasa tersebut di kalangan pelajar luar bandar.

Davina Chen dan Christina Hodelin yang masing-masing berusia 23 tahun adalah di antara 16 sukarelawan ETA yang ditempatkan di negeri ini menerusi program anjuran Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) itu.

Ketika ditemui, Chen yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Damar, di sini melahirkan rasa teruja walaupun baru beberapa hari mengajar di sekolah tersebut.

"Sebelum datang ke sini, saya telah banyak membaca tentang Malaysia termasuk adat dan budaya serta masyarakatnya dan saya dapati mereka mudah mesra, peramah serta menghormati tetamu.

"Saya kagum dan bangga mendapati rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup dalam harmoni, bersatu padu dan berbaik-baik antara satu sama lain," katanya.

Beliau ditemui ketika lawatan Duta AS, Datul Paul W. Jones ke SMK Bukit Damar Lanchang dekat sini, kelmarin.

Kunjungan beliau ke sekolah berkenaan diiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Sementara itu, rakannya, Hodelin yang ditempatkan di SMK Lanchang memberitahu, beliau akan melakukan yang terbaik serta menggunakan pengalamannya bagi membantu pelajar di negara itu menguasai bahasa Inggeris.

"Saya kagum dengan penduduk negara ini yang mesra dan baik. Saya teruja menjalani program sukarelawan ini walaupun pernah mengikuti program yang sama sebelum ini," katanya.

Biarpun baru beberapa hari tiba di sini, Hodelin berasa teruja dan akan belajar bahasa serta adat dan budaya negara ini yang mempunyai pelbagai keistimewaan.

Beliau akan berusaha menyesuaikan diri dengan makanan serta perkara lain yang terdapat di negara ini supaya apabila pulang nanti dapat menceritakan segala pengalamannya tentang Malaysia kepada rakan-rakan.

Wednesday, February 1, 2012

bersyukurlah jadi rakyat malaysia

Syukuri nikmat tinggal di negara ini


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah beramah mesra dengan para penari Kebudayaan Cina pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Daerah Bera di Triang, baru-baru ini.


BERA 1 Feb. - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan setiap rakyat supaya bersyukur kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang memuliakan setiap perayaan daripada pelbagai kaum.
Baginda bertitah, jika dibandingkan dengan negara yang lain, pasti tidak ada seperti negara ini yang merayakan setiap perayaan kaum lain.
"Kita seharus bersyukur kerana setiap tahun kita boleh sambut Tahun Baru Cina, Thaipusam, Deepavali, Krismas dan Hari Raya Aidilfitri tanpa ada gangguan," titah baginda pada Majlis Jamuan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Bera di Padang Sekolah Menengah Triang di sini kelmarin.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Baginda bertitah, semua rakyat dapat menikmati kenikmatan itu kerana kemerdekaan yang dikecapi dapat dikongsi bersama.
"Kita sudah dapat rasai betapa hikmahnya kemerdekaan ini. Kita dapat rasai pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.
"Sehingga hari ini, kerajaan tidak pernah putus dalam segala idea dan usaha untuk tentukan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di seluruh pelosok negara," titah baginda.
Tengku Abdullah berkata, rakyat seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin terdahulu kerana mempunyai visi begitu jauh untuk memajukan negara.
"Saya sentiasa mengingatkan setiap kaum di negeri ini akan sentiasa terbela. Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat memberi keutamaan kepada perpaduan kita semua," titah baginda.