Tuesday, October 25, 2011

samun puluhan ribu

Dua beranak rugi RM47,000

KUANTAN 25 Okt. – Dua beranak kerugian RM47,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Kampung Sungai Putat, Padang Piol dekat Jerantut, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa, seorang suri rumah warga emas berusia 69 tahun sedang tidur di ruang tamu bersama anak perempuannya yang berusia 34 tahun.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud (gambar) berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur.
“Mangsa dan anaknya sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan suspek yang menutup muka mereka sambil mengacukan parang.
“Suspek kemudian mengikat mangsa dengan wayar seterika sebelum menggeledah rumah dua beranak itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Katanya, suspek berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM1,000 bersama barang kemas bernilai kira-kira RM46,000.
Tambahnya, selepas kesemua suspek melarikan diri, mangsa berjaya membuka ikatan mereka sebelum meminta bantuan jiran.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jerantut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.
Mohd. Haris turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman dan melaporkan kepada polis jika meninggalkan rumah mereka sepanjang musim perayaan ini.

Monday, October 24, 2011

jom kayuh

Aktiviti Kayuhan Bandar Kuantan


Berbasikal sambil beriadah beramai-ramai menjadikan jarak kayuhan terasa dekat dan mengukuhkan perpaduan kaum.


KUANTAN 24 Okt. - Suatu ketika dulu, tidak banyak perkara boleh dikaitkan dengan peranan basikal melainkan sekadar menjadi alat pengangkutan kepada pelajar untuk ke sekolah atau sebagai salah satu permainan kepada golongan kanak-kanak.
Namun basikal yang semakin hilang kepentingan sebagai alat pengangkutan kini kembali dengan tarikan lebih besar untuk aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan seiring dengan perkembangan masa dan perubahan corak kehidupan.
Basikal kini muncul dengan pelbagai reka bentuk, corak dan kegunaannya dengan harga bermula dari ratusan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit manakala penggemarnya terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan basikal sebagai ikon pelancongan bagi membangkitkan kembali nostalgia lampau selain dapat mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemilihan basikal sebagai ikon pelancongan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti berbasikal dijangka dapat menambah minat pelancong untuk berkunjung ke Pahang.
Menurut beliau, dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi pengangkutan pada masa kini, kewujudan basikal semakin dilupakan dan sebab itu, program untuk menggalakkan aktiviti 'mengayuh' perlu diperbanyakkan.
Justeru katanya, melalui program Kayuhan Bandar Kuantan atau Kuantan Townride merupakan salah satu aktiviti kesinambungan 'Pahang Basikal Mania' yang dipromosikan oleh Pelancongan Pahang baru-baru ini.
Usaha itu bagi memastikan agar aktiviti berbasikal dapat diteruskan melalui kegiatan secara santai termasuk bersama keluarga.
"Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga serta masyarakat dan bagi pelancong pula mereka akan dapat menikmati keindahan bandar Kuantan dengan cara yang mesra alam, sihat serta murah.
"Sebagai mana yang kita tahu, dengan berbasikal ia tidak memerlukan penggunaan bahan bakar dan untuk tujuan itu, setiap hotel di sini digalakkan menyediakan sewaan basikal bagi kegunaan para pelancong," katanya ketika ditemui selepas program Kayuhan Bandar Kuantan di sini semalam.
Seramai 300 peserta dari pelbagai usia terdiri daripada warga Kuantan terlibat menyertai program anjuran Pelancongan Pahang itu.
Program yang turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan tersebut akan diadakan pada setiap Ahad minggu pertama dan ketiga, setiap bulan.
Kata Shafik Fauzan lagi, seluruh warga Kuantan dialu-alukan untuk menyertai kayuhan tersebut dan semua jenis basikal boleh menyertainya termasuk beca, basikal tua, tandem- bike dan sebagainya.
"Malah pejalan kaki dan penggemar papan seluncur juga boleh turut serta di laluan yang disediakan. Aktiviti bermula dari pukul 7 hingga 11 pagi," katanya.
Tambahnya, Kayuhan Bandar Kuantan akan melibatkan beberapa laluan utama di sini bermula di Padang Kemunting sebelum peserta membuat pusingan 'U' di lampu isyarat Tanah Putih dan diikuti berkayuh melalui bangunan Telekom Malaysia dan Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Kemudian katanya, peserta akan berkayuh ke Jalan Mahkota melalui Hotel Suraya, Jalan Teluk Sisek, Jalan Beserah sehinggalah ke Jalan Dato' Wong Ah Jang dan Jalan Penjara sebelum berakhir di Taman Esplanade di sini.
"Untuk tujuan keselamatan para pengayuh, satu laluan paling kiri di sepanjang jalan yang terlibat akan ditutup untuk para pengguna kenderaan bermotor dari pukul 7 hingga 11 pagi pada setiap hari kayuhan diadakan.
"Bagi pengguna jalan raya lain, mereka diminta berkerjasama ketika menggunakan laluan terbabit bagi memberi ruang kepada para peserta untuk berbasikal dengan selesa dan selamat," katanya.
Dalam pada itu, katanya, dengan berbasikal, peserta terlibat akan dapat berkumpul dengan kenalan baru daripada pelbagai latar belakang seterusnya membuka ruang untuk berkongsi minat sesama mereka.
Bagi yang baru menceburi sukan ini pula katanya, mereka tidak harus terpengaruh dengan iklan atau sikap rakan yang sanggup membelanjakan wang beribu-ribu ringgit untuk sebuah basikal .
"Sebagai permulaan, mereka hanya perlu berbelanja sekitar RM1,000 untuk sebuah basikal yang baik atau hanya sekitar RM300 sebuah bagi basikal biasa dan ia boleh ditambah spesifikasinya.
"Sebelum membeli sebuah basikal seseorang perlu mengetahui spesifikasi, kategori kayuhan dan penggunaannya sama ada untuk senaman atau pertandingan," ujarnya lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

paksa beli dan kena samun

Warga emas rugi RM12,000 disamun 5 penjual ubat

MARAN 24 Okt. - Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM12,000 apabila rantai emas dan wang tunai mereka disamun lima penyamun termasuk tiga wanita yang menyamar sebagai penjual ubat di rumahnya di Felda Kemboja Jengka 4 di sini kelmarin.
Menurut Sulaiman Taib, 75, kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika dia dan isterinya, Supiah Aziz, 76, berehat di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi lima suspek berkenaan yang menaiki kereta Mercedes-Benz.
Katanya, mereka menyatakan kedatangan ke tanah rancangan itu adalah untuk berniaga ubat bagi kegunaan warga emas yang uzur seperti jenama Seagold Liquid, Nano X Lim dan Misai Kucing.
Tambahnya, dia berbual dengan dua suspek lelaki di ruang tamu manakala tiga perempuan lain mengajak Supiah naik ke tingkat atas kononnya memperkenalkan pelbagai jenis produk perubatan.
"Isteri saya uzur dan tidak mampu bergerak dengan cergas akibat strok dan ketiga-tiga perempuan terbabit ke tingkat atas berhampiran tempat tidur kami.
"Tiba-tiba suspek perempuan itu merampas rantai leher dipakai isteri saya dan mencuri wang tunai lebih RM2,500," katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya dekat sini hari ini.
Sulaiman berkata, dia juga dipaksa membayar tunai RM240 untuk barangan lima kotak ubat Seagold, tiga kotak Nanoxlim, sekotak Misai Kucing dan dua kotak set gelas.
Katanya, dia juga diberi tiga keping resit yang setiap satu bernilai RM1,400 ditandatangani nama seorang lelaki dari Taman Gadung Perdana, Melaka.
"Saya merayu supaya pulangkan kembali duit dan rantai tersebut, tetapi tidak diendahkan mereka lalu pergi begitu sahaja menaiki kenderaan tersebut," katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Felda Jengka 4 semalam.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Jengka 4, Wan Mustaffa Roni Wan Hayat berkata, kumpulan tersebut dipercayai mensasarkan warga emas sebagai mangsa.
"Sebelum itu, suspek akan memastikan tiada ahli keluarga lain," katanya dan meminta masyarakat peneroka berwaspada dengan mana-mana jurujual.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, October 22, 2011

temasya pantai timur

Temasya Pantai Timur 2011 meriah


Shafik Fauzan Sharif (kanan) dan Abdul Ghaffar A. Tambi meletakkan simbol 1Malaysia semasa perasmian Temasya Pantai Timur 2011 di Dataran Pekan, Pahang, malam kelmarin. Di kiri sekali, Datuk Norliza Rosli.


PEKAN 22 Okt. - Lebih 10,000 pengunjung termasuk dari Terengganu dan Kelantan membanjiri Dataran Pekan di sini malam tadi bagi menyaksikan majlis perasmian Temasya Pantai Timur yang julung-julung kali diadakan di negeri ini.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif itu berlangsung meriah dengan dipenuhi pelbagai persembahan seni dan budaya mewakili masyarakat dari tiga negeri berkenaan.
Antara acara kesenian yang dipertontonkan pada majlis perasmian itu adalah tarian labi, dikir Pantai Timur, tarian kelundang Orang Asli, ulek mayang, mak yong dan wayang kulit.
Acara pergendangan Pantai Timur menampilkan gendang Pahang, gendang Cina 24 musim, gendang India dan perkusi moden dari Pahang.
Terengganu pula menampilkan gendang silat, kertuk ulu dan juga gendang dikir, manakala rebana ubi, etnik irama rakyat Kelantan dan rebana kercing mewakili Kelantan.
Bagi segmen perarakan, selain menampilkan kontinjen ketiga-tiga negeri, kontinjen Generasi Y turut menarik perhatian orang ramai apabila ia menampilkan aksi remaja menunggang basikal pixie, basikal BMX, papan luncur dan kasut beroda.
Turut tidak ketinggalan, persembahan dari penyanyi popular, Saleem Iklim yang memukau ribuan peminat yang membanjiri Dataran Pekan tersebut malam tadi.
Hadir sama pada majlis perasmian itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rosli.
Sementara itu, Shafik dalam ucapannya berkata, penganjuran Temasya Pantai Timur diharap mampu memupuk semangat mencintai seni dan budaya negara dalam kalangan generasi muda seiring arus pemodenan.
"Bukan sahaja golongan dewasa tetapi generasi hari ini perlu tahu dan mencintai seni budaya dalam mengangkat negara ke persada antarabangsa.
"Pada masa yang sama, generasi muda jangan lupa sejarah, asal-usul dan seni budaya tanah air yang dicintai dengan menjaga negara yang aman ini supaya kita sentiasa dihormati," kata beliau.
Temasya Pantai Timur 2011 yang berlangsung selama tiga hari berakhir esok turut membariskan selebriti terkenal dari Pantai Timur seperti Roy Kapilla dan Anis Salwa di samping persembahan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan.
Turut menarik perhatian pengunjung adalah barisan gerai yang menjual pelbagai jenis makanan seperti asam rom, sambal hitam dan kuih-muih berasaskan nisan kerek di samping kraf tangan seperti tembaga, songket Terengganu dan tenunan Pahang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

rm 100

Bantuan RM100 diserah sebelum sesi persekolahan

SEPANG 22 Okt. - Peruntukan wang bantuan sebanyak RM100 kepada 5.8 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan diserahkan melalui ibu bapa sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wang bantuan melalui Belanjawan 2012 itu akan diserahkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu sebelum diberikan kepada ibu bapa.

“Ibu bapa akan diberikan RM100 bagi seorang pelajar, kita akan hantar wang bantuan itu ke sekolah.

“Bantuan RM100 itu akan diberikan sebelum naik sekolah dan bukannya selepas naik sekolah, selewat-lewatnya pada bulan Disember akan kita bayar wang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Nurani Rakyat: Sayangi Selangor, Yakini Barisan Nasional (BN) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, wang bantuan kepada setiap pelajar sekolah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan beban ibu bapa menampung perbelanjaan pembelajaran.

Thursday, October 20, 2011

mohon percepat bina jalan ke hulu tembeling

Menanti jalan raya siap di Hulu Tembeling

Saudara Pengarang,
MAT GAHARU
Hulu Tembeling

SAYA merupakan penduduk di pedalaman Hulu Tembeling di daerah Jerantut sudah melepasi separuh abad kerap berulang alik ke bandar Jerantut untuk berbelanja dan melaksanakan pelbagai urusan menggunakan bot penambang.

Begitu juga dengan penduduk lain yang menjalankan urusan peribadi, perniagaan dan berbelanja keperluan dapur setiap hari menggunakan bot itu untuk ke bandar.

Kos tambang dan menyewa bot penambang termasuk penginapan bermalam di bandar Jerantut melebihi perbelanjaan membeli keperluan harian.

Perjalanan kami menggunakan bot penambang dari jeti Kampung Bantal ke jeti berdekatan Taman Negara Kuala Tahan mengambil masa selama empat hingga lima jam ketika air pasang, manakala mencecah hingga lapan jam jika air surut.

Apa yang ingin saya luahkan ialah pembinaan jalan raya yang dijanjikan sejak dua dekad lalu masih belum direalisasikan untuk kemudahan penduduk berulang-alik ke bandar Jerantut.

Projek berkenaan semakin hebat disuarakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dan cuma nampak ada sedikit tanda sahaja projek berkenaan bermula apabila kerja jajaran, menarah cerun dan membaiki laluan balak dilaksanakan bermula dari Kampung Tuit (Kuala Tahan) hingga ke Kampung Pagi.

Nampaknya, projek berkenaan yang bermula pada awal 2010 dan dijangka siap 2013 agak perlahan dan saya yakin ia tidak akan dapat direalisasikan.

Penduduk Hulu Tembeling bertambah sukar berbelanja ke bandar Jerantut walaupun sudah sinonim menggunakan bot penambang untuk memunggah barang dan penumpang ke sesebuah destinasi.

Saya simpati melihat warga emas, wanita, kanak-kanak dan orang sakit untuk ke bandar Jerantut bagi tujuan tertentu sedangkan mereka antara penduduk yang sepatutnya sudah menikmati kemudahan jalan raya.

Persoalannya, bila projek jalan raya Kuala Tembeling ke Hulu Tembeling akan direalisasikan untuk kemudahan perhubungan kami.

Tuesday, October 18, 2011

agropolitan

Operasi Agropolitan Februari ini

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

PEKAN 18 Okt. – Pembinaan kemudahan untuk Projek Agropolitan Pekan di Kampung Tanjung Batu di sini dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, untuk itu, projek yang berteraskan aktiviti perladangan kelapa sawit tersebut dijangka bakal dimulakan kira-kira sebulan selepas segala kemudahan disiapkan.

“Pembinaan kawasan itu hampir 80 peratus siap dan dijangka kira-kira 200 orang akan dipilih menyertai program tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Projek Agropolitan kepada pemimpin setempat di sini, semalam.

Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata, projek kedua di dalam kawasannya itu bakal dilengkapi dengan 213 buah rumah, tadika, surau dan dewan.

“Sebanyak 20 hektar tanah digunakan untuk kawasan penempatan manakala kawasan ladang kelapa sawit pula merangkumi kira-kira 1,000 hektar tanah,” katanya.

Tambahnya lagi, selain kelapa sawit sebagai aktiviti utama, terdapat juga aktiviti sampingan seperti penternakan burung walit, penanaman nanas dan juga penternakan ayam.

Beliau memberitahu, projek agropolitan ini merupakan salah satu projek kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membela nasib rakyat yang tidak berkemampuan.

Katanya, beliau berharap pemimpin masyarakat di kawasan DUN Bebar supaya dapat mengenal pasti penduduk di kawasan mereka yang sesuai untuk dijadikan peserta projek ini.