Tuesday, October 18, 2011

ikip

Lemah di sekolah, cemerlang di IKIP


ADNAN Yaakob (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Menteri Besar Pahang, Mohd. Shazwan Jalani (dua dari kiri) dan keluarga graduan tersebut pada Konvokesyen Kolej Antarabangsa IKIP di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 18 Okt. - Kecurian kereta salah seorang ahli keluarga yang datang bagi menghadiri konvokesyennya telah memberi kejutan dan menyebabkan penerima Hadiah Menteri Besar Pahang iaitu anugerah utama pada Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa IKIP berasa begitu sedih.

Mohd. Shazwan Jalani, 21, lulusan Diploma Sains Komputer (Multimedia) berkata, kecurian itu berlaku sewaktu ahli keluarganya menginap di sebuah hotel di sini.

Namun, beliau yang turut diumumkan penerima Hadiah Yayasan Pahang melahirkan rasa syukur dan gembira apabila segala usaha kerasnya selama ini membuahkan hasil.

''Saya sedih mengenangkan apa yang terjadi, namun tetap bersyukur kerana keluarga tetap hadir memberi sokongan pada majlis konvokesyen ini di sebalik insiden itu.

''Hari ini juga penuh bermakna buat saya apabila meraikan kejayaan ini serentak dengan sambutan hari jadi ibu, Pauziah Asri, 50, yang selama ini tidak jemu memberi sokongan," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Beliau adalah antara 667 graduan yang menerima ijazah dan diploma daripada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada majlis konvokesyen kolej tersebut yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Sementara itu, Mohd. Shazwan berkata, pada mulanya rasa kecewa timbul apabila pencapaian di peringkat sekolah menengah tidak memberangsangkan, namun beliau tekad membuktikan kepada keluarga bahawa kejayaan boleh dicapai sekiranya terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa.

''Kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada adik-adik saya yang masih bersekolah supaya berusaha lebih gigih untuk mengecapi kejayaan pada masa depan.

''Saya berterima kasih dan bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi hasil dorongan daripada keluarga, rakan-rakan serta pensyarah yang tidak jemu mendidik saya," katanya yang kini menyambung pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru.

Sementara itu, seorang graduan orang kurang upaya (OKU), Sayed Muzammil Sayed Mohamad, 24, yang turut memperolehi Hadiah Yayasan Pahang berharap pihak majikan tidak memandang rendah kepada keupayaan golongan OKU.

Pemegang Diploma Grafik dan Media Digital yang mengalami kecacatan pada mata sebelah kanan sejak lahir berkata, keadaan fizikal beliau tidak sedikit pun menghalangnya untuk bersaing bersama rakan yang lain sehingga memperoleh keputusan cemerlang.

''Saya berharap ada majikan di luar sana memberi peluang kepada golongan OKU untuk mempamerkan kemahiran yang dimiliki kerana itu lebih bermakna bagi kami kerana setiap individu mempunyai keistimewaan tersendiri," katanya yang juga penerima Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Sunday, October 16, 2011

cacat yang berusaha dan berjaya

Lelaki kudung kaki, tangan timang anak

Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEMBIRA...Mohd Khairi dan isterinya (kanan) gembira menimang cahaya mata sulung.
GEMBIRA...Mohd Khairi dan isterinya (kanan) gembira menimang cahaya mata sulung.
PEKAN: “Saya bersyukur impian insan cacat seperti saya menimang cahaya mata kini menjadi kenyataan. Hanya Allah saja yang mengetahui betapa bertuah dan gembiranya hati ini.
“Rasa rendah diri kerana cacat sebelum ini kini semakin terhakis dengan kehadiran anak lelaki yang akan menyerikan lagi rumah tangga yang dibina Mei tahun lalu,” kata Mohd Khairi Othman, 35, orang kelainan upaya (OKU) tanpa kedua-dua belah tangan dan kaki sejak dilahirkan.

Mohd Khairi yang terkenal dengan kegigihan mengusahakan ternakan ikan air tawar sangkar di Sungai Pahang, di sini, sejak lebih 10 tahun lalu, mendirikan rumah tangga dengan Zaleha Mohd Nafis, 37, dan mereka kini menetap Kampung Tanjung Pulai, dekat sini.

Katanya, sejak isterinya disahkan mengandung perasaan gembira mula terbit di hatinya terutama untuk membuktikan kepada masyarakat insan cacat sepertinya masih berpeluang melayari kehidupan berkeluarga dengan sempurna.

Katanya, tidak dinafikan perasaan bimbang anak yang bakal dilahirkan mengalami nasib sama dengannya setiap hari membuatkan selepas solat dia berdoa semoga Allah dapat membantu.

“Sepanjang isteri mengandung, sebanyak tiga kali proses imbasan dilakukan bagi mengetahui jantina seterusnya keadaan anak yang bakal lahir, saya berpuas hati kerjasama yang diberikan pihak Hospital Pekan dan Pusat Kesihatan Paloh Hinai, di sini, begitu membanggakan.


“Saya yakin pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan memahami perasaan saya, mereka memberi sokongan dan motivasi kepada saya supaya terus berdoa hinggalah imbasan kali ketiga dilakukan saya dapat melihat anak dalam keadaan normal,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun saiz anak lelakinya agak kecil dengan berat 2.49 kilogram, dia bersyukur proses kelahiran di wad bersalin Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Selasa lalu berjalan lancar tanpa sebarang masalah pada kedua-dua insan disayanginya itu.

Wednesday, October 12, 2011

peluang kerjaya

Peluang kerja di sektor awam


Sultan Ahmad Shah mendengar penerangan daripada Norisah Baharom sambil diperhatikan oleh Adnan Yaakob dan Jamaluddin Ahmad Damanhuri pada Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/MAHATHIR ALI


KUANTAN 12 Okt. - Masalah pengangguran atau kerja tidak sepadan dengan kelayakan pendidikan merupakan antara perkara yang sering diberi perhatian terutamanya bagi golongan muda yang baharu memulakan hidup berdikari.
Bukan sahaja mencari sumber pendapatan untuk membayar hutang ketika melanjutkan pelajaran, kerjaya pertama merupakan langkah besar dalam memulakan hidup dan membina keluarga sendiri.
Tidak ketinggalan juga di kalangan pekerja yang mahu meningkatkan prospek kerjaya masing-masing melalui tawaran kerja lebih lumayan dan bersesuaian dengan kepakaran serta keperluan semasa kehidupan mereka.
Justeru, Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), di sini baru-baru ini adalah platform terbaik bagi rakyat di Pahang menceburkan diri dalam sektor perkhidmatan awam yang menjanjikan masa depan terjamin.
Majlis itu dirasmikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat SPA, Norisah Baharom.
Program dua hari yang memberikan peluang kepada rakyat negeri ini mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan yang membolehkan mereka ceburi dalam sektor awam itu mendapat sambutan ramai apabila kira-kira 10,000 pengunjung hadir pada karnival tersebut.
Rata-rata pengunjung yang hadir berharap supaya SPA dapat meneruskan penganjuran program tersebut pada setiap bulan di negeri ini.
Noorhalijah Mohd. Ali, 21, berkata, rakyat Pahang terutama di Kuantan berterima kasih kepada SPA kerana menganjurkan karnival itu yang akan memberikan mereka maklumat mengenai peluang kerja di sektor awam di negara ini.
Beliau bagaimanapun berharap, penganjuran karnival sedemikian akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa serta diperluaskan di seluruh Pahang.
"Saya berharap program ini dapat diperluaskan ke setiap daerah bagi memberi peluang kepada golongan sasaran (belia) untuk mendapatkan maklumat tentang peluang-peluang pekerjaan yang boleh mereka ceburi dalam sektor awam," katanya.
Siti Zuraini Mohd. Ariff, 25, pula berkata, pembukaan pusat temu duga SPA di Kuantan akan dapat menyalurkan maklumat kepada orang awam seperti mengadakan hari bersama pelanggan, ceramah kerjaya kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Katanya, ia merupakan pendekatan yang baik daripada pihak SPA kerana program-program seumpama itu akan dapat mendekatkan lagi suruhanjaya tersebut dengan masyarakat setempat.
"Dengan kata lain, rakyat akan mendapat faedah dan nilai tambah daripada pembukaannya," katanya.
Sementara itu, Noormaslina Ali, 24, berkata, bekerja di sektor kerajaan dapat menjamin pelbagai kebaikan selain berpeluang menikmati pelbagai insentif serta masa depan terjamin.
"Sejak dahulu lagi, saya berharap dapat bekerja di sektor kerajaan dan bagi saya banyak faedah yang disediakan termasuklah pencen.
"Pada masa ini, apa yang lebih penting adalah mencari pekerjaan yang mempunyai masa depan. Jadi, karnival sebegini perlu diadakan setiap masa bagi memberi peluang kepada kami mencari pekerjaan dalam sektor awam," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

lantik anak pahang...

erm bagus2 ambil anak pahang...selama ini pahang di monopoli oleh anak negeri lain...terutama di felda2, pejabat2, malah di kampung2 juga...

 

SPA lantik 8,882 anak negeri Pahang


Orang ramai yang hadir menyerbu untuk melihat peluang pekerjaan sektor awam pada program Karnival Kerjaya SPA Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 12 Okt. - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melantik seramai 8,882 anak negeri Pahang untuk memegang pelbagai jawatan di bawah Pihak Berkuasa Melantik SPA dalam tempoh dua tahun lalu
Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,763 anak negeri Pahang berkelayakan ijazah dilantik ke pelbagai jawatan pengurusan dan profesional gred 41.
"Seramai 2,244 orang dilantik ke pelbagai jawatan gred 27 yang memerlukan kelayakan diploma.
"Selebihnya, seramai 4,875 anak negeri Pahang dilantik ke pelbagai jawatan gred 17 yang memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sijil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini baru-baru ini.
Serentak dengan persidangan tersebut, turut dianjurkan Karnival Kerjaya SPA yang diadakan di tempat yang sama.
Pada karnival tersebut, sebanyak 21 gerai pameran sektor awam dibuka antaranya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Jamaluddin berkata, dalam usaha memberi kemudahan dan keselesaan kepada calon-calon yang berurusan dengan SPA, pihaknya telah membuka sebuah pusat temu duga SPA di Mahkota Square di sini.
"Pembukaan pusat temu duga SPA Kuantan ini adalah komitmen kami untuk mendekatkan lagi perkhidmatan ke negeri Pahang supaya SPA dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anak negeri ini.
"Pusat temu duga ini memainkan peranan sebagai pusat sehenti untuk menyalurkan maklumat kepada pelajar-pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan nstitusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini," katanya.
Beliau berkata, pemohon pekerjaan boleh menggunakan kemudahan komputer yang disediakan di pusat temu duga SPA Kuantan untuk mengemukakan permohonan pekerjaan secara dalam talian.
Sementara itu, Jamaluddin berkata, SPA akan melakukan pembaharuan dalam urusan pengambilan kakitangan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, ia penting bagi meningkatkan kualiti sumber manusia dalam perkhidmatan awam selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE).
Beliau berkata, suruhanjaya itu kini dituntut untuk memainkan peranan secara proaktif bagi menarik bakat yang terbaik untuk berkhidmat sebagai kakitangan awam.

Saturday, October 8, 2011

mahu jambatan


Penduduk dua kampung mohon ganti jambatan gantung

Arifin Singah menunjukkan tali pengikat jambatan gantung kerap terputus yang menghubungkan Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, Mentakab, Pahang, baru-baru ini. - MINGGUAN/MUSAZLILA MUSTAPAR

TEMERLOH 8 Okt. - Seramai 500 penduduk Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, dekat sini berhadapan risiko kemalangan berikutan jambatan gantung yang digunakan bagi menghubungkan kampung berkenaan dengan bandar Mentakab kerap mengalami kerosakan.

Seorang penduduk, Arifin Singah, 75, berkata, jambatan gantung yang berusia separuh abad itu sudah tidak lagi sesuai kerana faktor pertambahan penduduk dan kenderaan.

"Negara kita telah merdeka 54 tahun dan jambatan sepanjang 200 meter itu tidak lagi sesuai digunakan zaman sekarang. Tambahan pula, jambatan itu sudah uzur dan mengalami banyak kerosakan.

"Setiap tahun jambatan itu dibaiki dengan kos yang tinggi. Apa salah kiranya kos itu digunakan untuk membina sebuah jambatan konkrit yang lebih selamat dan mampu dilalui oleh kereta," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Marto Marjo, 52, pula berkata, jambatan itu hanya boleh dilalui oleh motosikal manakala kereta pula perlu diletakkan di seberang jika ingin ke bandar Mentakab yang terletak kira-kira empat kilometer.

Katanya, penduduk juga bimbang kereta yang ditinggalkan di seberang dicuri atau dihempap pokok seperti kejadian ribut yang berlaku beberapa bulan lalu.

"Jika jambatan ini diganti dengan jambatan konkrit, ia memudahkan penduduk membawa kereta selain boleh disimpan di pekarangan rumah masing-masing. Kami tidak mahu jambatan yang besar tetapi cukuplah sekadar boleh dilalui sebuah kereta," katanya.

Bukhari Sinin, 56, pula berkata, tali pengikat jambatan itu sendiri sudah tidak kukuh dan kerap terputus menyebabkan mereka berasa tidak selamat menggunakan jambatan itu.

"Penduduk sudah mohon supaya jambatan konkrit dibina. Namun masih belum ada tindakan. Cuma kerja-kerja membaiki jambatan itu dilaksanakan.

''Sampai bila kami perlu mempertaruhkan nyawa terutama murid-murid yang cukup berisiko terjatuh ke dalam sungai ketika menggunakan jambatan itu ke sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, beliau memahami masalah yang dihadapi penduduk di dua buah kampung itu.

"Kita akan berusaha mendapatkan jambatan konkrit bagi kegunaan penduduk di sini dan saya akan berbincang dengan pihak-pihak berkenaan untuk mengetahui kos pembinaan jambatan baharu itu nanti.

"Kita harap penduduk di sini bersabar untuk sedikit masa lagi kerana saya perlu berbincang secara lebih terperinci dengan pihak berkaitan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, October 6, 2011

sekilo ayam rm 9

Ayam melonjak RM9 sekilogram

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusankuantan@kuantan.com.my

MARAN 6 Okt. – Orang ramai di beberapa daerah di negeri ini meminta kerajaan menyenaraikan ayam sebagai barang kawalan sepanjang tahun berikutan harganya yang melambung sehingga RM9 sekilogram sejak hampir sebulan lalu.

Seorang pengusaha kantin sekolah, Siti Khatijah Deraman, 45, berkata, tindakan tersebut boleh dilakukan kerana pada musim perayaan Aidilfitri lalu iaitu sewaktu skim kawalan harga dilaksanakan, harga siling ayam (standard) ditetapkan pada RM7.20 sekilogram.

Katanya, ketika itu, walaupun ayam mendapat permintaan tinggi tetapi peniaga ayam masih boleh menjualnya tidak melebihi harga siling.

‘‘Selepas berakhirnya skim kawalan harga musim perayaan seminggu selepas Aidilfitri, peniaga makanan seperti saya keluh-kesah kerana ayam melonjak sehingga RM9 sekilogram, sedangkan sebulan yang lalu ia dijual tidak lebih RM7.20 sekilogram.

‘‘Lebih perit, masakan berasaskan ayam tetap dijual pada harga biasa kerana pengusaha kantin seperti saya tertakluk kepada perjanjian dengan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut seorang pengguna dari Temerloh, Azizah Bakar, 50, apabila disoal perkara ini kepada peniaga ayam, mereka memberikan pelbagai alasan, antaranya masalah kekurangan bekalan.

‘‘Saya bimbang harga ayam akan melonjak sehingga RM10 sekilogram terutama pada hujung tahun apabila bekalan ikan kurang berikutan musim tengkujuh.

‘‘Bagi pengguna, kami tidak ada banyak pilihan kerana ayam digemari semua peringkat. Maka kerajaan kena lakukan sesuatu bagi membendung ketamakan peniaga,‘‘ katanya.

Seorang suri rumah dari Maran, Asmah Abd. Hamid, 41, berkata, peniaga perlu memikirkan kepentingan orang ramai dan tidak semata-mata mahu mengaut untung.

‘‘Dalam hal ini kerajaan perlu bertegas mengawal harga ayam kerana jika kekurangan bekalan dijadikan alasan, ia tak masuk akal. Sebabnya, kalau kita nak beli banyak mana pun ayam, bekalannya tetap ada,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya dan pasar tani di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini mendapati harga ayam dijual antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram.

Sebagai contoh, ada pasar raya yang menjualnya pada harga RM8.50 dan RM8.90 sekilogram manakala di Pasar Tani Jengka, ayam dijual pada harga RM9 sekilogram.

balak lalu jalan rosak


Lori balak jejaskan laluan ke Taman Negara

MAT RAMBO.
Kuala Tahan, Jerantut


SEBUAH lori balak yang mengangkut keluar muatan dari hutan ke kilang melalui jalan Kuala Tahan ke bandar Jerantut, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,
SAYA merupakan salah seorang penduduk Taman Negara Kuala Tahan yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dalam bidang pelancongan sejak 20 tahun lalu.

Saya terpanggil untuk menggerakkan perhatian pihak berwajib mengenai jalan raya dari Simpang Jerantut Feri ke Felda Padang Piol melalui Felda Sungai Retang ke Taman Negara Kuala Tahan yang kerap dilalui kenderaan berat.

Senario yang berlaku sejak beberapa tahun lalu memberi kesan teruk, iaitu kerosakan permukaan jalan raya menghubungkan ke pusat pelancongan berkenaan yang saban waktu dikunjungi pelawat dari seluruh dunia.

Laluan lori balak dengan muatan berat yang keluar masuk menyebabkan struktur permukaan jalan rosak dan kerap ditakungi air hujan sehingga mengganggu keselesaan pengguna lain.

Tempat yang agak ketara kerosakannya termasuk laluan sempit antara Simpang Jerantut Feri ke Felda Padang Piol yang bermula dari Felda Sungai Retang ke Taman Negara Kuala Tahan.

Keadaan itu juga dilihat boleh mengundang kecelakaan di kalangan pengguna jalan raya termasuk motosikal ketika melalui kawasan berlopak dan terbiar kerana lambat diselenggarakan oleh pihak berwajib.

Seingat saya, sudah dua kemalangan maut berlaku di jalan berkenaan pada bulan ini berikutan kenderaan ringan cuba mengelak laluan berlopak dan bertembung dengan kenderaan lain.

Salah satu kemalangan baru-baru ini membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang peneroka bertembung dengan sebuah lori balak tanpa muatan apabila kereta itu cuba mengelak jalan yang sedang dibaiki berdekatan Felda Sungai Retang.

Sebagai pengusaha pelancongan di Taman Negara, saya kerap diajukan soalan oleh pelancong Barat yang prihatin dengan isu berkenaan dan mereka juga antara yang terbabit dengan kegiatan sama di tempat masing-masing di Eropah, Amerika Latin, Amerika Syarikat dan Asia.

Mereka terkejut dan kesal kenapa kerajaan negeri belum menguatkuasakan peraturan supaya tidak membenarkan kenderaan berat melalui jalan raya yang menghubungkan pusat pelancongan bertaraf antarabangsa itu.

Senario itu menurut pelancong berkenaan tidak akan berlaku di kawasan pelancongan di negara Barat dan Asia yang lain kerana kerajaan mereka menyediakan laluan alternatif untuk kenderaan berat ke kilang, malah aktiviti pembalakan tidak wujud berdekatan pusat rekreasi.

Penjelasan pelawat 'Mat Salleh' itu barang kali wajar direnung pihak berkuasa kerana masih memandang ringan isu berkenaan yang boleh menjejaskan sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan.

Menerusi Rakan Pahang ini, saya berharap kerajaan negeri cuba mengatasi masalah berkenaan jika sekali pun jalan raya itu diwartakan sebagai Jalan Persekutuan yang membolehkan semua kenderaan menggunakan laluan berkenaan.

Saya berharap demi kelangsungan pembangunan sektor pelancongan antara punca rezeki penduduk tempatan di Kuala Tahan dan Hulu Tembeling wajarlah kenderaan berat dilarang melalui laluan berkenaan.

Saya yakin dengan kemajuan teknologi, kerajaan negeri boleh membina laluan baru untuk kenderaan berat membawa balak atau muatan lain ke kilang bagi menyelamatkan sektor pelancongan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: