• Peneroka haram diminta bersedia Sebahagian petani dan penduduk hadir pada majlis itu yang ingin mengetahui status penerokaan tanah secara haram lebih 10 tahun lalu.
1 / 1
TRIANG - Penerokaan tanah secara haram adalah salah di sisi undang-undang malahan individu atau komuniti yang terlibat sejak bertahun-tahun diminta bersedia menyerahkan tanah itu jika kerajaan berhasrat membangunkan tanah tersebut.

Menurut Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman, mereka yang terlibat perlu mengetahui dan memahami risiko di atas tindakan mereka.

Norol Azali memberitahu, kerajaan berhak mengambil tanah tersebut sekiranya kawasan itu digazet sebagai tapak projek pembangunan, dan mereka yang telah mengusahakan tanah itu perlu menyerahkannya tanpa kompromi.

“Sedia maklum, ramai individu yang meneroka dan mengusahakan tanah kerajaan secara haram terutamanya dalam sektor pertanian lebih dari tempoh 10 tahun, dan masing-masing beranggapan tanah itu milik mereka.

“Tetapi mereka silap. Itu adalah tanah kerajaan, dan satu hari nanti, kerajaan perlu ambil untuk pembangunan rakyat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan bersama petani dan penduduk di sekitar Triang dan Sungai Tuang dekat sini.

Hadir sama, Batin Sungai Tuanh, Berahim Busu; Pengerusi Persatuan Petani Sungai Tuang, Ngo Thiam Poh; Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Triang, Datuk Tang Hok Lock dan Ketua MCA Bahagian,
Wai Che Seng.

Norol Azali berkata, ada juga di kalangan individu terbabit sudah memohon tanah itu, dan mana-mana tanah yang bersesuaian sudah diluluskan, malah ada yang masih dalam proses kelulusan.

Katanya, proses kelulusan permohonan tanah bukan prosedur yang mudah kerana ia membabitkan beberapa perkara berkaitan.

“Tetapi kerajaan bukanlah zalim seperti yang didakwa pihak tertentu. Kita tahu, ada di antara mereka yang telah hidup lama di atas tanah itu dan perkara itu dipertimbangkan juga.

“Jadi, mereka kena faham. Jika tanah terbabit berpotensi untuk pembangunan, kerajaan perlu ambil dan mereka (peneroka haram) kena bersedia untuk menyerahkannya semula. Sebaliknya, ada juga tanah yang diluluskan jika mereka layak menerimanya,” kata beliau.