Tuesday, August 20, 2013

lori masuk rumah

Treler rempuh rumah
  • Treler rempuh rumah Treler terbabit dilihat meluru laju lalu merempuh dua rumah menyebabkan rumah terbabit ranap sama sekali.
1 / 1
BERA - Dua keluarga mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila sebuah treler merempuh rumah mereka di Kilometer 18, Kampung Durian Tawar berdekatan pondok polis, kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Mangsa, Sapura Ismail, 36, berkata, semasa kejadian, dia sedang duduk di sofa berdekatan pintu masuk sambil membaca SMS dihantar kakaknya.

Menurutnya, semasa menoleh ke arah luar, dia melihat treler itu meluru laju ke arah rumahnya menyebabkan dia tidak sempat melarikan diri.

“Saya nampak treler itu meluru laju merempuh bahagian rumah jiran. Sedar-sedar saya sudah tersepit antara dinding dan rak TV. Saya tak boleh keluar kerana hampir separuh kayu menimpa daripada aras pinggang hingga kaki saya,” katanya.

Sapura berkata, mujur pada ketika itu dia sedang memegang telefon bimbit dan cuba menelefon suaminya walaupun dalam keadaan masih trauma, sementara dua anaknya tiada kerana berada di sekolah.

Sementara itu, pemilik kedai runcit dikenali sebagai Yap berkata, ketika kejadian, dia dan bapanya berada di dalam kedai kerana menerima bekalan roti baru.

Katanya, kejadian itu turut membabitkan kereta dan tiga motosikal di situ.

“Lori roti yang diletak di hadapan kedai juga dirempuh, tetapi nasib baik pemandu lori itu berada dalam kedai. Kalau tidak, mungkin dia boleh cedera sebab lori itu tercampak dan terbalik,” katanya.

Sunday, August 11, 2013

program empower

Program Empower mampu tingkatkan pendapatan
RAUB - Program Empower anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) perlu diperluaskan supaya lebih ramai golongan sasaran memiliki kemahiran tertentu dan dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata sejak program itu diadakan di Pahang pada 2008, seramai 7,350 orang golongan belia dan ibu tunggal telah mengikuti program berkenaan.

"Modul latihan menerusi program Empower merupakan mekanisme serampang dua mata untuk pembangunan modal insan ECERDC yang memfokuskan latihan membina keusahawanan, selain kecemerlangan akademik," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata latihan selama 10 bulan itu antaranya melibatkan kursus membuat kuih, menjahit, dandanan, masakan, pendawaian, membaiki paip, teknologi maklumat, perniagaan runcit, pengurusan kaunter dan membaiki telefon bimbit.

"Sejumlah 80 peratus daripada 7,350 orang itu yang mengikuti kursus serta latihan berjaya meningkatkan taraf penghidupan keluarga dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Shahiruddin turut mencadangkan supaya kursus membaiki jentera berat dan kursus kimpalan dapat diadakan bagi membolehkan para belia dan lepasan sekolah mengikuti latihan yang mencabar itu.

"Tidak ramai belia dan pelajar kita yang mengikuti kursus tersebut sedangkan bidang itu boleh memberikan pendapatan lumayan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan pasaran, mereka yang mahir dalam bidang itu dibayar gaji lebih RM5,000 sebulan, atau mampu mengusahakan bengkel sendiri yang dapat menjana pendapatan lebih tinggi.

Shahiruddin yakin menerusi program sedemikian, matlamat kerajaan bagi melahirkan rakyat berkemahiran dan berilmu akan mencapai sasaran selain meningkatkan taraf kehidupan mereka. - Bernama

Thursday, August 1, 2013

ceroboh hutan

400 hektar hutan dicerobohi
  • 400 hektar hutan dicerobohi Mohamed Jidi (dua dari kanan) , Mokhtar (kanan), Mohd Zuldin Mat Zin (tiga dari kanan) dan Mohd Zaid Omar (kiri) meninjau tanah tapak Ramsar di Tasik Bera yang dicerobohi oleh peneroka haram yang dipercayai hampir dua tahun lalu.
1 / 1
BERA – Mengejutkan apabila kawasan hutan seluas 400 hektar di sekeliling Tasik Bera yang diisytiharkan Konvensyen Ramsar 1994 sebagai tanah lembap berkepentingan antarabangsa itu dicerobohi tanpa disedari pihak berkuasa.

Timbul persoalan bagaimana kawasan tanah Ramsar yang meliputi keluasan 6,150 hektar itu mudah dicerobohi sedangkan kawasan itu dilindungi dan dijaga oleh kakitangan Jabatan Perhutanan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan hutan yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok-pokok kayu yang bernilai seperti meranti, tembaga, mersawa, merbau dan nemesu yang berusia ratusan tahun sebelum ini ditebang pihak tidak bertanggungjawab yang kini digantikan dengan pokok sawit.

Seorang penduduk, Mohamed Jidi Yaakob, 55 berkata, berdasarkan kesan penebangan dan pembersihan kawasan yang dicerobohi itu, ia dipercayai dilakukan sejak dua tahun yang lalu dengan menggunakan jentera berat.

“Saya percaya, pihak terbabit mengambil masa yang lama untuk menebang dan membersihkan pokok kayu yang berusia ratusan tahun itu. Tetapi, sepatutnya kelibat jentera berat yang memasuki tanah Ramsar ini dapat dikesan pihak berkuasa.

“Tetapi, dalam tempoh itu, tiada tindakan diambil pihak berkuasa, malah kawasan seluas 400 hektar terus digondolkan dengan rakus semata-mata untuk mengaut keuntungan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.