Friday, March 8, 2013

salai babi

Premis salai babi dekat perumahan
Wartawan Sinar Harian
8 Mac 2013
Premis salai babi dekat perumahan
Gambar yang dirakamkan AJK Rukun Tetangga yang menunjukkan potongan daging babi digantung sebelum disalai.
KERAYONG - Penduduk di Taman Merbau Indah mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan dan menutup premis perniagaan menyalai daging babi di bangunan perniagaan dalam taman perumahan tersebut.

Pengerusi Rukun Tetangga, Ismail Awang Ngah berkata, penduduk menyedari kewujudan premis itu Oktober tahun lalu apabila melihat pemilik premis itu sedang mengangkat dan mencangkuk potongan daging babi sebelum disalai.

Dakwanya, kedudukan premis di kawasan itu tidak sesuai berikutan ia mengeluarkan bau busuk selain pemilik tidak menjaga kebersihan sekitar kawasan premis dengan betul.

“Di sini, 97 peratus penduduk adalah orang Melayu dan beragama Islam manakala selebihnya adalah penduduk berbangsa Cina dan India. Tidak sepatutnya lesen perniagaan itu diluluskan PBT di kawasan ini.

“Kami terpaksa berhadapan dengan bau busuk setiap hari. Malah, lebih menjijikkan apabila darah binatang itu dibiarkan mengalir keluar dari premis,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, kanak-kanak yang sering bermain di kawasan tersebut juga mungkin tidak akan menyedari keadaan lantai kaki lima premis yang dibasahi darah babi.

Difahamkan, Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) nekad untuk melakukan siasatan sendiri sebelum memaklumkan kepada Majlis Daerah Bera (MDB) mengenai perkara tersebut.

Tinjau pada waktu malam

Ismail berkata, beberapa AJK KRT melakukan tinjauan di premis terbabit terutamanya pada waktu malam bagi melihat aktiviti di situ.

Menurutnya, walaupun perniagaan yang dijalankan pemilik itu sah tetapi ia tidak sesuai beroperasi di kawasan perumahan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Apabila mendapat bukti kukuh termasuk gambar, kami membuat laporan kepada MDB dan berjumpa sendiri dengan pegawai bertanggungjawab.

“Malangnya, kami menerima maklum balas daripada MDB menyatakan premis itu tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Rukun Tetangga, Shahrul Anuar Safi’ei berkata, penduduk kecewa dengan maklum balas itu sedangkan premis terbabit beroperasi hampir setiap malam.

Katanya, setiap kali isu itu dibangkitkan kepada pihak MDB, aktiviti perniagaan di premis terbabit akan dihentikan serta-merta sehingga kekecohan kembali normal.

“Tapi, bila kami (penduduk) senyap, pemilik premis rancak pula meneruskan aktiviti perniagaannya," dakwanya.
Shahrul Anuar berkata, disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan MDB, mereka sekali lagi mengemukakan aduan berserta gambar yang diambil sebagi bukti.

Katanya, sehingga kini, penduduk masih menanti tindakan sewajarnya dilakukan MDB berhubung aduan penduduk itu namun hampa.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang pemilik untuk berniaga tetapi memintanya tidak beroperasi di kawasan perumahan.

Katanya, beliau berharap MDB mengambil tindakan segera berhubung aduan itu kerana ia melibatkan sensitiviti agama.
Pengusaha dinasihat pindah

Mengulas mengenai aduan penduduk itu, Setiausaha MDB, Ibrahim Malek berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pemilik premis dan menasihatkannya supaya segera berpindah ke lokasi lain.

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah memperoleh maklum balas daripada Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) yang mengesahkan bahawa aktiviti menyalai daging khinzir terbabit mengeluarkan bau busuk.

“Kita juga cuba mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Alam sekitar (JAS) tetapi perkara itu adalah di luar bidang kuasa mereka.

“Dalam perkara ini, jika pengusaha enggan berpindah dalam tempoh ditetapkan, MDB berhak menarik balik lesen perniagaannya atau tidak akan meluluskan pembaharuan lesen sekiranya dia enggan mematuhi arahan,” katanya.

Ibrahim berkata, pihaknya akan memantau perkara tersebut dan akan menyelesaikan aduan penduduk dengan sebaik mungkin.

Tuesday, March 5, 2013

pampasan pindah

Orang Asli terima pampasan RM355,029
Wartawan Sinar Harian
4 Mac 2013
Datuk Wan Rosdy Wan Ismail
Datuk Wan Rosdy Wan Ismail
CAMERON HIGHLANDS - Seramai 40 penduduk Orang Asli yang terlibat dengan proses perpindahan berikutan pembinaan Empangan Hidroelektrik Hulu Jelai, di sini, menerima wang pampasan antara RM6,000 hingga RM70,000 setiap seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara keseluruhannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar pampasan sebanyak RM355,029 melibatkan penduduk Kampung Teiji dan Kampung Leryar.

“Penduduk berkenaan kini ditempatkan di Projek Pemajuan Kampung di Kampung Leryar setelah projek pembinaan empangan bernilai RM2.15 bilion dimulakan tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Orang Asli di Pos Betau, di sini.

Sempena majlis berkenaan, Wan Rosdy menyampaikan baucar BR1M bernilai RM125,500 untuk 500 penerima belum berkahwin serta baucar bernilai RM850,000 untuk 1,700 penduduk Orang Asli berkeluarga di 18 kampung di Pos Betau.Wan Rosdy yang juga Adun Jelai berkata, kerajaan negeri sedaya upaya memastikan pengambilan tanah Orang Asli untuk projek pembangunan dilakukan secara terkawal dan mengikut peraturan, di samping membelanjakan wang yang banyak untuk bayaran pampasan
supaya kaum minoriti itu beroleh keselesaan hidup.

“Kerajaan juga menyediakan projek kediaman baru di Kampung Leryar agar mereka dapat hidup dalam satu komuniti di bawah pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di samping bekerja di sektor pertanian di kawasan Cameron Highlands,” katanya.