Saturday, February 23, 2013

lauk mata kail

Mata kail dalam lauk
Wartawan Sinar Harian
23 Februari 2013
Mata kail dalam lauk
Abdul Rizal memegang laporan polis yang dibuatnya berhubung penemuan mata kail dalam lauk singgang ikan haruan dibeli di kafe HosHAS.
Mata kail dalam lauk
Abdul Rizal memegang mata kail yang nyaris ditelan isterinya.
TEMERLOH – Seorang guru yang baru enam hari melahirkan anak nyaris tertelan mata kail ketika menikmati hidangan nasi bungkus berlauk singgang ikan haruan yang dibeli di kafe Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

Suaminya yang juga seorang guru, Abdul Rizal Anzah, 35, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang, Rabu lalu ketika dia sedang menemani isterinya menikmati hidangan terbabit di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

Menurutnya, ketika asyik menyuap makanan tersebut, mereka terpandang mata kail yang masih terlekat pada ikan haruan berkenaan.

“Isteri saya baru makan tiga suap nasi dan ketika mahu meneruskan suapan seterusnya, kami terpandang mata kail yang masih terlekat pada kepala ikan haruan itu.

“Kami berdua sangat terkejut dan mengambil beberapa gambar mata kail berkenaan dengan telefon bimbit sebelum bertanyakan hal tersebut kepada kakitangan hospital bertugas," katanya.

Abdul Rizal berkata, hasil nasihat kakitangan berkenaan, beliau segera ke kafe untuk bertemu pengurusnya namun hampa kerana tiada respons selepas lima minit menunggu.

"Kerana kecewa, saya kemudian menulis laporan lengkap mengenai penemuan mata kail dalam makanan tersebut sebelum memasukkannya dalam peti cadangan di lobi HosHAS.

"Saya juga membuat laporan polis kira-kira jam 12.05 pagi, selain mengirimkan e-mel kepada pengurusan Hoshas berhubung perkara itu," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga tengah hari semalam, beliau tidak menerima sebarang respons mengenai perkara tersebut sehingga terpaksa membuat kenyataan media.

“Saya bukan hendak mencari publisiti, kalau boleh saya tidak mahu perkara ini berpanjangan tetapi pihak terbabit gagal memberikan kerjasama selain tidak memberi respons terhadap masalah yang berlaku.

"Tahap kebersihan makanan di kafe berkenaan wajar dipersoalkan kerana jika ikan haruan berkenaan dibersihkan dengan teliti tentunya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, nyawa isterinya mungkin terancam sekiranya tertelan mata kail tersebut.

"Nasib baik kami nampak, kalau tidak mungkin isteri tertelan mata kail itu dan tentunya perkara lebih sulit berlaku kerana ia mungkin melibatkan nyawa," katanya.

Sementara itu Pengarah Hoshas, Datuk Dr Bahari Awang Ngah mengesahkan ada menerima emel daripada Abdul Rizal mengenai perkara tersebut dan sedang melakukan siasatan mengenai kejadian.

"Jika benar berlaku, ia sememangnya tidak patut dan bagaimanapun, kita sedang menyiasat perkara itu," katanya.

Wednesday, February 20, 2013

br1m di bera

ARKIB : 20/02/2013

19,565 penduduk Bera terima BR1M 2.0

BERA 19 Feb. - Sebanyak 19,565 penduduk daerah ini telah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 membabitkan peruntukan lebih RM8.4 juta dalam Parlimen Bera.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian tersebut secara langsung merancakkan ekonomi setempat apabila rakyat berbelanja dan peniaga mendapat untung daripada perniagaan mereka.
''Lebih memberi makna sebanyak 5,340 golongan muda di Bera turut menerima faedah apabila masing-masing bakal mendapat RM250 sebelum akhir bulan ini.
"Jumlah penerima dijangka mencecah 20,000 orang di kawasan Parlimen ini berikutan ada yang tercicir kerana baharu sahaja mengisi borang permohonan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M 2.0 fasa dua di Kompleks Rakan Muda Bera di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Fadil Osman dan ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman.
Beliau berkata, kerajaan tidak berjanji kosong, malah setiap yang dijanji oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap akan ditunaikan.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, pelbagai bantuan telah disalurkan kepada rakyat bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
"Kerajaan mampu melaksanakan pembangunan untuk rakyat kerana kedudukan ekonomi negara kini semakin berkembang berikutan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130220/wp_03/19565-penduduk-Bera-terima-BR1M-20#ixzz2LTWIEU1W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, February 19, 2013

pusat yg prihatin

ARKIB : 16/02/2013

84 peniaga Terminal Darul Makmur terima saguhati

Muhammad Saffian Ismail (dua dari kanan) menyerahkan wang RM2,000 kepada sebahagian peniaga berikutan premis mereka terpaksa ditutup selama sebulan pada majlis penyerahan bantuan kepada peniaga Terminal Makmur di Majlis Perbandaran Kuantan di Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN 15 Feb. - Seramai 84 peniaga menerima saguhati RM2,000 setiap seorang berikutan premis perniagaan mereka terpaksa ditutup selama sebulan bagi memberi laluan kepada pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di Terminal Makmur di sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail berkata, saguhati itu diberikan oleh kerajaan Pusat kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan UTC.
"Apabila siap, mereka dibenarkan berniaga semula di kedai yang diubah suai dan harga sewa dijangka seperti kadar sekarang," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tersebut di sini hari ini.
Beliau berharap peniaga di situ bersabar dan berjanji projek tersebut akan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan.
"Saya telah berjumpa dengan kontraktor yang dipertanggungjawabkan dan mereka berjanji menyiapkan dalam tempoh tersebut.
"Mereka juga memaklumkan akan menjalankan kerja 24 jam sehari dengan 400 pekerja untuk setiap shif," katanya.
Dalam pada itu, katanya, UTC akan merangkumi 50 jabatan kerajaan dan 80 premis perniagaan yang akan beroperasi sehingga pukul 10 malam dan dibuka setiap hari termasuk cuti hujung minggu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130216/wp_03/84-peniaga-Terminal-Darul-Makmur-terima-saguhati#ixzz2LL35ZKJi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, February 14, 2013

ikan kelah

ARKIB : 14/02/2013

Bercuti sambil menangkap kelah

Roslan Abu Kassim menunjukkan spesies ikan kelah yang dipulihara di kolam Melantai Dua, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
JERANTUT 13 Feb. - Pahang sememangnya terkenal dengan pelbagai produk pelancongan sekali gus menjadikannya salah satu negeri yang wajib dikunjungi oleh pelancong yang mahu menghabiskan percutian mereka bersama keluarga atau rakan-rakan.
Keindahan alam sekitar dan pantainya yang indah selain mempunyai pelbagai artifak sejarah di beberapa daerah di sini, menyaksikan para pelancong ingin berada lebih lama di sesuatu destinasi tersebut.
Kini terdapat produk terbaharu yang boleh diketengahkan sebagai salah satu destinasi pelancongan ialah bermain dan menangkap ikan kelah di Lubuk Tenor dan Melantai Dua di Taman Negara Kuala Tahan di sini.
Spesies ikan itu yang dikenali sebagai Tor Tambroides boleh juga ditemui di kawasan sungai kecil di hutan rimba Hulu Tembeling iaitu Sungai Pengau, Sungai Sepia dan Sungai Kenyam.
Bagaimanapun mereka yang mahu memancing atau menangkap ikan berkenaan perlu mendapat kebenaran permit daripada pihak berkuasa di Taman Negara untuk berbuat demikian.
Di kawasan tersebut telah dijadikan lokasi menternak ikan berkenaan bersama spesies lain yang dilakukan oleh pengusaha tempatan menggunakan sistem tagal.
Sistem berkenaan membolehkan pengunjung yang datang ke situ boleh bermain dengan ikan tersebut iaitu menangkap dan melepaskannya semula ke sungai selain memberi makanan terhadap spesies berkenaan.
Seorang pengusaha pelancongan, Roslan Abu Kassim, 47, berkata, spesies ikan berkenaan mengambil masa selama tiga tahun untuk membesar dan mencapai seberat tiga kilogram.
''Ikan itu boleh mencapai berat sehingga lapan kilogram dan hidup selama 40 tahun bergantung pada kesesuaian habitat, persekitaran dan makanan.
''Sememangnya, Lubuk Tenor dan Melantai Dua merupakan habitat ikan tersebut sejak dahulu lagi di Taman Negara kerana persekitaran yang sesuai dan mempunyai banyak makanan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 42, berkata, tangkapan ikan itu kini dikawal memandangkan spesies tersebut mendapat permintaan tinggi di pasaran luar.
"Kegiatan menangkap ikan tersebut di sungai itu kini dikawal untuk menghindarkan kepupusan, cuma mereka yang memiliki permit Jabatan Perikanan Pahang sahaja dibenarkan menangkapnya," ujarnya.
Bagi rakannya, Zainuddin Nong, 43, aktiviti seperti itu dapat mendekatkan pelawat untuk mengenali ikan tersebut dengan lebih dekat.
"Konsep tangkap dan lepas dalam kalangan pelancong memang patut dipuji walaupun tujuan berseronok dan bersantai, tetapi pada masa dapat memulihara anak-anak ikan air tawar tersebut," katanya.
Tambahnya, langkah kerajaan memulihara spesies berkenaan di dua kawasan itu akan memberi kesedaran mengenai penjagaan habitat yang menjadi aset pembangunan pelancongan di situ.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130214/wp_01/Bercuti-sambil-menangkap-kelah#ixzz2Kw5IUIBY
© Utusan Melayu (M) Bhd

bl1m belia bera

ARKIB : 14/02/2013

2,300 belia Bera mohon lesen motosikal BL1M

BERA 13 Feb. - Seramai 2,300 belia yang tinggal di sekitar daerah ini memohon untuk mendapatkan lesen memandu B2 menerusi program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Datuk Mohd. Azizan Che Omar berkata, menerusi program tersebut, Pergerakan Pemuda Bahagian itu turun padang bagi membantu dan memudahkan golongan terbabit mendapatkan lesen motosikal.
Katanya, berdasarkan sambutan tersebut membuktikan golongan terbabit yang selama ini menunggang motosikal tanpa lesen mempunyai hasrat untuk memohonnya tetapi atas faktor tertentu golongan itu mengambil sikap 'tidak kisah'.
''Kita tidak boleh memandang ringan risiko membawa motosikal tanpa lesen kerana jika terbabit dalam kemalangan ia bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi keluarga dan mangsa lain turut terbabit dalam kemalangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mewakili Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan BL1M di Kompleks Rakan Muda Bera di sini semalam.
Menurutnya, lebih malang lagi jika terdapat mangsa lain yang turut terbabit dalam kemalangan itu meninggal dunia dan keluarga berkenaan bertindak menyaman pihak tertentu untuk menuntut ganti rugi.
Sehubungan itu, katanya, BL1M bukan sahaja memudahkan golongan belia mendapatkan lesen tetapi memberikan kesedaran kepada mereka supaya menunggang motosikal dengan cara yang selamat dan berhemah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130214/wp_04/2300-belia-Bera-mohon-lesen-motosikal-BL1M#ixzz2Kw4a9NBW
© Utusan Melayu (M) Bhd

masjid diperbaiki

Kenapa tiada papan tanda umum penutupan masjid?

Masjid Abu Bakar di Temerloh ini ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf sehingga Julai ini.
Saudara Pengarang,
MASJID Abu Bakar di Temerloh merupakan masjid tertua dan memiliki sejarahnya yang tersendiri serta lokasinya terletak di pinggir Sungai Pahang.
Berikutan usianya lebih 50 tahun, banyak kerosakan struktur yang perlu dibaiki segera bagi memastikan rumah ibadat umat Islam itu selamat dan menjadi destinasi serta mercu tanda terbaharu di Temerloh.
Usaha pembaikan dan menaik taraf masjid itu yang dimulakan bulan lepas menyebabkan rumah ibadat tersebut ditutup kepada penggunaan orang ramai.
Masjid itu yang ditutup sehingga Julai ini sangat mengelirukan orang ramai terutama pengunjung luar yang menjadikan rumah ibadat tersebut sebagai tempat menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam.