Friday, September 28, 2012

kad diskaun

ARKIB : 26/09/2012

Kad Diskaun Siwa diyakini bantu ringan beban pelajar

Pelajar UMP memegang replika Kad Diskaun Siswa sambil melaungkan 1Malaysia pada majlis penyerahan kad itu di universiti berkenaan, baru-baru ini.
KUANTAN 25 Sept. - Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang bakal menerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) tidak lama lagi perlu bersyukur dengan insentif yang disediakan kerajaan itu.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, perubahan iklim ekonomi dan peredaran zaman memberi kesan kepada kos sara hidup yang dirasai secara keseluruhannya oleh rakyat termasuk mahasiswa.
Menurut beliau, pertambahan mahasiswa juga menuntut pihak pengurusan memahami masalah dan isu mereka kerana latar belakang ekonomi golongan itu berbeza antara satu sama lain.
"Ternyata kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak peka terhadap kesejahteraan mahasiswa di institusi pengajian tinggi seluruh negara.
"Pihak pengurusan UMP menyambut baik inisiatif itu yang akan memberi manfaat besar kepada mahasiswa secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berucap pada pelancaran KDS1M oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Astaka UMP kampus Gambang, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.
Daing Nasir berkata, pihak pengurusan universiti terharu dan berterima kasih kepada kerajaan atas daya usaha berterusan membangunkan ekonomi negara dan membela nasib rakyat.
"Inisiatif pemberian KDS1M itu merupakan manifestasi penterjemahan semangat gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

kad diskaun

ARKIB : 28/09/2012

Kad diskaun ringankan bebanan

Nazratul Izzana Ishak (kiri) dan rakannya menunjukkan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) yang boleh digunakan di 75 premis termasuk di Restoran KFC di Kuantan, kelmarin.
KUANTAN 27 Sept. - Rata-rata mahasiswa yang menerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) gembira kerana dapat mengunakan kemudahan kad diskaun ini di 75 premis perniagaan di seluruh negeri ini.
Kesemua mereka yang ditemui bersyukur kerana kad diskaun tersebut boleh digunakan dalam pelbagai segmen seperti buku, pakaian sukan, kesihatan, cermin mata, pengangkutan, makanan, produk teknologi maklumat dan peruncitan.
Bagi Nazratul Izzana Ishak, 20, dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, dia bersyukur dengan penerimaan kad tersebut yang pastinya dapat meringankan bebannya untuk mengikuti pengajian di universiti.
"Saya akan menggunakan kad ini dengan sebaik mungkin seperti membeli peralatan seperti kertas, pen dan buku rujukan yang sebelum ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
"Sudah tentu KADS1M ini dapat meringankan beban saya serta ibu bapa melalui potongan harga yang ditawarkan ke atas barangan terbabit," katanya di sini semalam.
Ahmad Faiz Ibrahim, 21, dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri UMP berkata, dia baru mengunakan kad ini sekali dan amat berguna bagi meringankan beban ketika sedang belajar ini.
"Saya akan guna kad ini lebih kepada untuk membeli barang yang diperlukan seperti buku dan peralatan belajar, selain barang-barang keperluan harian.
"Selain itu, saya juga akan gunakan untuk mendapat diskaun bagi pembelian tiket pulang ke kampung di Kuala Terengganu," katanya.
Menurut Nurul Fahana Abdul Fattahm, 23, dari Fakulti Kejuruteraan Kimia, KADS1M merupakan satu program kerajaan yang baik, ia merupakan kesinambungan kepada Baucar Buku 1Malaysia yang telah tamat tempoh beberapa bulan lalu.
"Kedua-dua program ini amat melegakan kami para mahasiswa, apatah lagi dengan KADS1M, saya yang sering pulang ke kampung di Kertih, Terengganu boleh mendapatkan potongan harga tiket," katanya.
Pelajar Fakulti Teknologi UMP, Qamaruddin Mohd. Fauzi berharap lebih banyak premis perniagaan boleh menerima kad diskaun ini bagi mengurangkan bebanan pelajar.

satu kampung satu projek

ARKIB : 27/09/2012

Saran rakyat wujud satu kampung satu projek

Abdul Manan Ismai menunjukkan sayur terung yang diusahakan peserta projek ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili di Kampung Gelugor, Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 26 Sept. - Rakyat di kawasan Parlimen Paya Besar disaran berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing jika mempunyai perancangan untuk melaksanakan projek bagi menjana pendapatan mereka.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, ia penting bagi membolehkan setiap Pengerusi JKKK menyatakan kepada beliau tentang hasrat yang diinginkan di kawasan tersebut.
"Kalau ada apa sahaja projek untuk menjana pendapatan, segeralah berbincang dengan Pengerusi JKKK di kampung masing-masing.
"Kalau mereka (rakyat) minat pertanian, kita boleh laksanakan projek pertanian seperti Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili yang kita adakan di Kampung Gelugor ini.
"Kalau kita berbincang, saya percaya Parlimen Paya Besar ini boleh wujudkan satu kampung satu projek. Contohnya Kampung Gelugor ini kita lahirkan kumpulan pertanian dan mungkin nanti ada kampung yang buat penternakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili di Kampung Gelugor di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi JKKK Kampung Gelugor, Mamat Jamil.
Abdul Manan berkata, fertigasi bukan perkara baru bagi golongan petani kerana ia kian mendapat sambutan disebabkan kelebihannya yang mudah untuk dilaksanakan berbanding kaedah konvensional.
Selain itu, katanya, kaedah tersebut tidak memerlukan ruang yang luas untuk dipraktikkan kerana medium tanaman fertigasi hanya menggunakan sebuah beg plastik yang berisi tanah dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan.
"Sekiranya projek tanaman terung dan cili ini berjaya, kita boleh usahakan untuk tanam tanaman lain seperti bayam dan kangkung.
"Saya juga akan usahakan untuk memasang bumbung kanvas bagi mengelakkan tanaman ini (terung dan cili) daripada terkena hujan. Saya akan minta Jabatan Pertanian negeri nyatakan kos untuk memasang bumbung tersebut," katanya.

projek fertigrasi

ARKIB : 27/09/2012

Projek fertigasi jana pendapatan

Sebahagian peserta projek menunjukkan hasil sayuran yang diusahakan oleh mereka di tapak projek tanaman fertigasi di Kampung Gelugor, Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 26 Sept. - Sektor pertanian di negara ini melalui pelbagai perubahan bermula dengan kaedah konvensional sehingga pengeluaran yang memerlukan teknologi tinggi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti tanaman.
Umum menyedari bahawa sektor tersebut kini menjadi semakin penting kerana ia menjadi penyumbang kepada bekalan makanan negara.
Oleh itu, aktiviti pertanian seperti tanaman sayur-sayuran diberi wajah baru dengan suntikan teknologi untuk meningkatkan hasil, lebih selamat dan meminimumkan penggunaan tenaga buruh.
Salah satu daripada teknologi baru yang dibawa masuk ke negara ini ialah sistem fertigasi yang semakin ramai mengetahuinya sebagai gabungan sistem pengairan dan pembajaan secara serentak tanpa menggunakan tanah.
Keunikan kaedah baru ini membuatkan 10 ibu tunggal di Kampung Gelugor di sini mengetengahkan konsep itu dalam penanaman sayuran khususnya terung dan cili.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gelugor, Mamat Jamil berkata, 10 ibu tunggal di kampung itu dipilih untuk menyertai Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili yang bermula pada bulan Ramadan lalu.
"Projek tanaman fertigasi ini adalah inisiatif daripada JKKK untuk membantu ibu-ibu tunggal di Kampung Gelugor ini menjana pendapatan mereka menerusi aktiviti pertanian yang dijalankan.
"Benih terung, cili dan khidmat nasihat adalah daripada Jabatan Pertanian negeri yang turut memantau projek ini bagi memastikan hasil tanaman berkualiti.
"Manakala, peruntukan untuk membeli peralatan seperti polibeg dan paip saliran adalah melalui Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Paya Besar dan sehingga kini kita telah menerima sebanyak RM10,000 untuk tujuan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas lawatan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili itu di Kampung Gelugor di sini baru-baru ini.
Mamat berkata, selain mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian, kesemua 10 ibu tunggal terlibat juga telah dihantar ke Cameron Highlands untuk melihat tanaman fertigasi yang dibuat di sana.
"Kita telah pun menjual 80 kilogram terung di pasar Jaya Gading dengan harga RM3 sekilogram. Jabatan Pertanian telah menasihatkan supaya menjual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) jika bekalan mencukupi.
"Cili tidak dapat dijual kerana belum sampai masanya untuk dipetik," katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili kampung tersebut, Normah Jaafar, 52, berkata, dia dan ibu tunggal yang lain gembira diberi peluang menyertai projek tersebut.
"Terima kasih kepada Ahli Parlimen (Abdul Manan), Pengerusi JKKK dan Jabatan Pertanian kerana prihatin dengan kebajikan kami para ibu tunggal di kampung Gelugor ini," katanya.

kad diskaun

4,934 polis terima kad diskaun

FATIMAH Ghazali (tengah) bersama sebahagian daripada pegawai dan anggota polis Kontinjen Pahang yang menerima 1Malaysia Privilege Card di Kuantan, semalam.
KUANTAN 28 Sept. - Seramai 4,934 pegawai dan anggota polis Kontinjen Pahang menerima 1Malaysia Privilege Card yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fatimah Ghazali berkata, pemegang kad itu bakal menikmati diskaun dan tawaran harga istimewa antara lima hingga 25 peratus apabila berbelanja di 20 syarikat rakan niaga yang mengambil bahagian.
"Ini merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sebagai tanda penghargaan kepada anggota polis dan tentera.
"Tawaran kad itu secara tidak langsung dapat meringankan kos perbelanjaan seharian 449 pegawai dan 4,485 anggota yang berkhidmat di negeri ini," katanya pada majlis penyerahan 1Malaysia Privilege Card di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, T. Narenasagaran; Ketua Jabatan Pengurusan, Asisten Komisioner Junaidi Mashud dan Ketua Trafik negeri, Supritendan Mohamad Fauzi Abdul Rahim.
Tambah beliau, perkhidmatan dan produk yang ditawarkan meliputi perhotelan, makanan, pengangkutan, taman tema, tekstil, produk cermin mata dan alat ganti kenderaan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengilhamkan kad istimewa ini yang pastinya dapat membantu warga polis berjimat ketika berbelanja," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pegawai dan anggota polis menggunakan kemudahan kad tersebut sebaik mungkin bagi menguruskan perbelanjaan harian keluarga masing-masing.
Katanya, mereka perlu bijak menggunakan kesempatan yang diberikan itu untuk berbelanja dengan berhemat dan menyimpan duit bagi kegunaan masa depan.
"Inisiatif ini memberi peluang kepada anggota membuat tabungan jika mereka bijak menggunakan keistimewaan yang diperoleh," katanya.

Tuesday, September 25, 2012

sungai lipis tercemar

Air bertukar kehitaman
Wartawan Sinar Harian
25 September 2012
Air bertukar kehitaman
Ikan yang mati terdampar di tebing sungai akibat pencemaran.
Air bertukar kehitaman
Sisa yang didakwa dari sebuah kilang disalirkan terus ke Sungai Lipis dekat Kampung Tersang.
RAUB - Penduduk beberapa kampung, di sini, berang apabila sungai di kawasan mereka terus dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan flora dan fauna musnah.

Seorang penduduk, Amirawa Merah, 40-an, berkata, aktiviti kilang memproses kelapa sawit di Kampung Tersang sejak beberapa tahun lalu yang dijalankan tanpa mengikut piawaian, mendatangkan kemarahan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, kilang terbabit didakwa sering membuang sisa cecair terus ke Sungai Lipis.

“Sebelum ini mereka mengalirkan sisa cecair ke anak sungai berdekatan iaitu Sungai Menerut sehingga mengakibatkan hidupan dalam sungai itu musnah termasuk tanaman di tebing sungai yang diusahakan penduduk.

“Beberapa penduduk juga sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar pada 2008 dan pernah juga disiarkan dalam Sinar Harian,” katanya.

Amirawa berkata, selepas beberapa aduan dibuat, pengurusan kilang itu tidak lagi mengalirkan sisa cecair ke anak sungai berkenaan.

Tukar saliran

Bagaimanapun Amirawa berkata, pihak pengurusan kilang itu membina dua saliran baru terus ke Sungai Lipis mengakibatkan kualiti sungai itu pula terjejas.

“Sejak mereka membuat saliran baru, kualiti air sungai terjejas teruk mengakibatkan penduduk di beberapa kampung tidak dapat meneruskan aktiviti di sungai.

“Jika dulu penduduk kerap mencari siput di tebing sungai, tetapi kini susah mendapatkan siput di kawasan itu lagi,” katanya.

Menurutnya, air sungai juga tidak sejernih dahulu, malah warnanya bertukar seakan kehitaman.

“Kami difahamkan pihak kilang cuma menyediakan satu kolam tadahan dan ia tidak mencukupi untuk menampung pengeluaran sisa cecair. Proses penapisan yang tidak wajar akhirnya menjejaskan alam sekitar.

“Lebih membimbangkan, kami peroleh maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa kilang terbabit melepaskan sisa cecair setiap satu jam sekali,” katanya.

Sekat minat kaki pancing

Amirawa berkata, dia sebagai seorang yang meminati aktiviti memancing sangat terkilan dengan pencemaran yang berlaku di sungai itu.

Menurutnya, penduduk setempat terutama golongan muda juga meluahkan rasa kesal mereka kerana tidak lagi bebas memancing seperti sebelum ini.

“Semalam (kelmarin) saya datang ke sini jam 12.20 tengah hari dan mendapati keadaan tidak menyenangkan apabila beberapa ikan mati terdampar di tepi tebing.

“Sedangkan hidupan dalam sungai itu pun terjejas dan berisiko pupus, bagaimana pula keadaan pada masa akan datang terutama melibatkan penduduk setempat apabila pencemaran itu berterusan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Dia berkata, pihak pengurusan kilang seharusnya memikirkan kebersihan alam sekitar dan bukannya mengutamakan keuntungan semata-mata.

"Mereka juga sepatutnya prihatin dengan penduduk yang menggunakan sungai berkenaan.

“Mereka tidak seharusnya mengabaikan perkara ini dan menganggap penduduk kampung seolah-olah tidak ada nilai langsung untuk diberi perhatian serius,” katanya.

Monday, September 17, 2012

rumah pr1ma

Lebih banyak rumah PR1MA akan dibina di Pahang

17 September 2012

KUALA LIPIS - Kerajaan negeri akan membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana di bawah konsep rumah PR1MA (Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia) Pahang bagi mengatasi masalah perumahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pengangkutan negeri Datuk Ir Mohd Sofi Tan Sri Razak berkata kerajaan akan menyediakan kawasan tanah projek manakala pihak swasta pula digalakkan membina rumah dengan harga jualan bawah RM100,000.

Sebagai permulaan kerajaan dengan kerjasama swasta telah menyiapkan 100 unit rumah kos rendah dan sederhana di kawasan 20 hektar dekat Gambang, katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Benta di kawasan Rawat dan Rehat Bentong semalam.

Beliau berkata sehingga kini kerajaan negeri menerima lebih 40,000 permohonan untuk rumah kos rendah dan sederhana.

"Sehubungan itu, kerajaan pada mesyuarat exco baru-baru ini meminta pejabat tanah dan daerah mengenal pasti kawasan yang sesuai di daerah masing-masing bagi membolehkan projek perumahan PR1MA Pahang itu dilaksanakan secepat mungkin," katanya. - Bernama

netbook hampeh da...

Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan
Wartawan Sinar Harian
17 September 2012
Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan
Mohd Pauzi menunjukkan Netbook 1Malaysia milik anaknya yang terpaksa dibaiki.
TEMERLOH – Entah di mana silapnya, berdozen Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada pelajar di daerah ini terpaksa dihantar ke kedai komputer untuk dibaiki atas pelbagai kerosakan.

Ada antara ibu bapa yang ditemui kecewa kerana hanya sempat menggunakan produk itu dalam tempoh seminggu, malah lebih teruk ada yang mendakwa langsung tidak boleh menggunakannya sejak diterima tiga bulan lalu.

Mohd Pauzi Abdul Ghani, 32, dari Bandar Bera, berkata, dia sedikit terkilan apabila dimaklumkan anaknya, netbook berkenaan langsung tidak boleh digunakan.

Menurutnya, netbook yang diterima anaknya dalam satu majlis pengagihan Jun lalu itu cuba dihidupkan, namun langsung tidak boleh berfungsi.

“Saya sedikit terkilan kerana sudah membeli modem untuk mengakses internet tetapi netbook pula rosak, saya hantar baiki pada 19 Jun lalu dan hari ini baru siap dibaiki,” katanya sewaktu mengambil semula netbooknya di salah sebuah kedai komputer, di sini.

Mohd Pauzi berkata, sebagai bapa penerima, dia tidak menafikan sumbangan kerajaan dalam membantu pelajaran anaknya, tetapi sedikit terkilan apabila produk yang dibekalkan tidak berkualiti.

“Saya takut benda-benda macam ini dimanipulasikan pihak tertentu, mungkin pembekal sendiri tidak mengetahui produk mereka tidak berkualiti, tambahan pula ia diedarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang," katanya.

Mohd Pauzi berkata, dia dimaklumkan memang ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai produk itu kerana ada yang baru pakai seminggu sudah rosak.

Sementara itu seorang lagi bapa, Wahid Ahmad Salleh berkata, anaknya juga langsung tidak sempat menggunakan netbook tersebut.

“Anak saya punya pun sama, dapat dalam keadaan sudah rosak, terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki,” katanya.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan selama setengah jam semalam turut mendapati dalam tempoh itu tiga pelanggan datang ke kedai semuanya berkaitan netbook yang rosak.

Sinar Harian dimaklumkan kebanyakan ibu bapa menghantar netbook yang rosak pada Jun lalu iaitu selepas menerima pengagihan secara berkelompok di salah sebuah sekolah, di sini.

Menurut pekedai, ada juga ibu bapa yang marahkan mereka sedangkan mereka langsung tidak mengetahui hujung pangkal produk itu.

“Kami hanya bantu orang ramai, kebanyakan netbook yang dihantar mengalami masalah hardisk, motherboard dan screen rosak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan produk dibekalkan itu berkualiti supaya tidak menyusahkan orang ramai.

“Kita akan usahakan penyelesaian isu ini kerana kita tidak mahu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi bebanan pula kepada ibu bapa apabila produk tidak berkualiti,” katanya.

Friday, September 14, 2012

kolam air panas di bentong

ARKIB : 14/09/2012

Kolam Air Panas Bentong terjejas ekoran pembinaan resort

Kawasan Kolam Air Panas Bentong dipagari zink berikutan projek pembinaan resort berdekatan yang kini menjejaskan suhu air kolam berkenaan.
Saudara Pengarang,
SELAKU pelawat yang cintakan keindahan alam sekitar, saya kerap berkunjung ke pusat rekreasi di Pahang Barat. Antara lokasi yang paling sinonim dengan jiwa saya ialah Kolam Air Panas Bentong.
Agak lama saya tidak berkunjung ke tempat berkenaan dan baru-baru ini ketika menjengah ke sana semula, saya agak terkejut kerana mendapati kawasan berkenaan dalam keadaan tidak selesa kerana pembinaan sebuah resort berdekatan situ.
Sepanjang pengetahuan saya, kolam berukuran 100 meter panjang dan 20 meter lebar terletak 13 kilometer dari Jalan Persekutuan Lama Bentong - Kuala Lumpur dikelilingi pokok-pokok yang menghijau cukup mendamaikan ketika bersantai.
Sesungguhnya, kolam air panas berkenaan antara lokasi yang sesuai sebagai satu produk pelancongan di kawasan Pahang Barat.
Kedudukan antara bandar Bentong dan Lembah Kelang sudah tentu menjadi satu kemudahan untuk orang ramai singgah bersantai sambil menikmati kehangatan airnya yang dikatakan boleh menyembuhkan penyakit kulit dan meredakan gangguan saraf penghidap angin ahmar.
Untuk pengetahuan Rakan Pahang kandungan sulfur dalam air panas dipercayai oleh pengamal perubatan tradisional boleh menyembuhkan penyakit kulit.
Rata-rata pengunjung berpendapat pembinaan resort itu boleh menjejaskan keadaan alam semula jadi sekali gus mengurangkan suhu kepanasan air kolam berkenaan termasuk kandungan galian sulfur.
Malah, kemudahan di lokasi berkenaan turut menjadi tanda tanya apabila pelawat menghadapi kesukaran tempat untuk menukar pakaian dan tandas selepas dan sebelum mandi.
Projek pembangunan resort dan ketiadaan kemudahan menyebabkan pengunjung berasa tidak selesa apatah lagi rata-rata mereka terdiri daripada golongan warga emas menggunakan air panas kolam itu bagi tujuan perubatan.
Senario berkenaan menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan dan pelawat sehingga terdapat poster dilekatkan berdekatan kolam itu meminta lokasi berkenaan dipulihkan untuk keselesaan orang ramai.
Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap pihak berwajib dapat menyegerakan pembinaan resort berdekatan untuk kemudahan penginapan di samping memelihara kehijauan alam sekitar di situ.
Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula diharap dapat menaik taraf kolam berkenaan dengan kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung sekali gus dapat memacu sektor pelancongan di Bentong dan Pahang Barat amnya.
OMAR KUTTY
Lembah Klang

Thursday, September 13, 2012

tingkat taraf hidup orang asli

ARKIB : 11/09/2012

Mekanisme terbaik tingkat taraf hidup Orang Asli

Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama Tok Batin dan masyarakat Orang Asli menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Koyan, Cameron Highlands, kelmarin.
CAMERON HIGHLANDS 10 Sept. - Kerajaan negeri mempunyai mekanisme terbaik dan berada di landasan betul dalam meningkatkan taraf hidup seramai 65,000 penduduk Orang Asli di pedalaman negeri ini khususnya menerusi sektor ekonomi dan pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, manifestasi kerajaan negeri menjaga kepentingan Orang Asli amat jelas kerana mereka berdiri teguh di belakang pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.
Menurutnya, banyak peruntukan disediakan untuk menyiapkan kemudahan asas di kampung Orang Asli sebagai aspirasi kerajaan negeri mengubah kehidupan suku kaum minoriti berkenaan berasaskan transformasi pembangunan moden.
"Jadi, Orang Asli di pedalaman tidak wajar terpengaruh dengan retorik pihak tertentu yang mengumpan janji untuk pembelaan kebajikan dan pembangunan.
"Mereka cuba meraih sokongan menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi dengan menabur fitnah serta janji palsu yang boleh memecahbelahkan perpaduan," katanya pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, di Sungai Koyan, dekat sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap dan Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abdul Razak.
Pada majlis berkenaan, Wan Rosdy menyampaikan sebanyak 92 buah gergaji enjin bernilai RM100,000 kepada Tok Batin dan ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di kalangan Orang Asli di pedalaman Hulu Jelai, dekat sini.
Pada masa sama, beliau berharap Orang Asli tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak tertentu khususnya pembangkang yang sudah kehabisan idea dan kini beralih mencari pengaruh dalam kalangan pengundi Orang Asli di pedalaman.
Katanya, mereka perlu matang dan berfikiran secara positif iaitu membezakan antara keikhlasan manifestasi rancangan pembangunan kerajaan dan janji kosong pembangkang.

pesta bakar lemang

ARKIB : 13/09/2012

Pesta bakar lemang meriah

Sebanyak 3,000 batang lemang berjaya dibakar oleh penduduk Chini pada Pertandingan Pesta Lemang 2012 sempena Aidilfitri di Dewan Serbaguna Bandar Dara Chini, baru-baru ini. - utusan/Mahathir Ali
PEKAN 12 Sept. - Walaupun beberapa hari lagi bulan Syawal akan melabuhkan tirainya, namun kemeriahan Aidilfitri masih lagi dirasai di sana sini.
Masing-masing mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka dan jamuan bagi meraikan Syawal yang hanya datang setahun sekali.
Bukan sahaja setakat rumah terbuka tetapi pelbagai program turut diadakan yang bertujuan mengeratkan hubungan sesama insan.
Berbeza pula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang menganjurkan Pesta Bakar Lemang bagi memeriahkan jamuan Aidilfitri di kawasan itu.
Acara kali kelima dianjurkan itu diilhamkan oleh beliau sendiri bertujuan untuk mengetengahkan kaedah berbeza bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di kawasannya.
Pesta berkenaan yang menjadi satu majlis meriah hanya wujud di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di sini dan menarik penyertaan bukan sahaja golongan muda tetapi juga warga emas.
Abu Bakar ketika ditemui berkata, sebanyak 2,500 batang lemang dibakar pada pesta kali ini yang turut dihadiri lebih 5,000 penduduk di sekitar Pekan dan Kuantan.
Kata beliau, sebanyak 25 pasukan terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tanah rancangan Felda, kampung tradisi dan agensi kerajaan terlibat dalam pesta itu.
"Tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya kerana penambahan lebih sekali ganda penyertaan daripada penduduk di sekitar DUN Chini.
"Malah, pada kali ini juga, ramai anak muda menunjukkan kesungguhan untuk bersama-sama dengan warga DUN Chini yang lain bagi memeriahkan majlis tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Hadir sama, anak Perdana Menteri, Mohd. Nizar Najib dan isteri, Nor Sharmila Shaheen.
Tambah beliau, sebanyak 1,000 kilogram (kg) beras pulut digunakan pada program itu bersama dengan 500kg santan.
"Malah, pada majlis ini juga pihak penganjur turut mengadakan cabutan bertuah untuk para peserta dan pengunjung," katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Norul Syahril Abdul Rahim, 30, berkata, pertandingan ini menjadi platform kepada masyarakat Chini berkumpul dan bersatu serta membentuk satu keluarga besar.
"Saya berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan kerana ia membawa manfaat dan kebaikan kepada masyarakat di kawasan ini," katanya.
Tambahnya, program sebegini lebih memfokuskan kepada perpaduan masyarakat supaya hubungan sesama mereka dapat dikekalkan.
"Bukan sahaja daripada kalangan ahli UMNO yang hadir, malah merapatkan hubungan dengan parti lain di sini," katanya.
Seorang lagi peserta, Hafizah Abdullah berkata, wanita turut menyertainya kerana mereka boleh membantu dalam merapatkan hubungan masyarakat.
Tambahnya, ia memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat, selain menjadi contoh kepada generasi muda supaya meneruskan amalan itu pada masa depan.
"Diharap acara seperti ini dapat diadakan secara kerap, bukan sahaja pada hari perayaan tetapi setiap masa," katanya.
Seorang pengunjung, Mohd. Shah Khamis, 28, berkata, acara seperti ini perlu diperhebatkan lagi kerana ia mampu menjadi platform kepada anak-anak muda berkumpul dan mengeratkan tali persahabatan serta bertukar buah fikiran.

Wednesday, September 5, 2012

ayam terbakar

Tauke ayam rugi RM2 juta
Wartawan Sinar Harian
4 September 2012
Habib Yusuf
Seorang anggota bomba sedang memadamkan sisa kebakaran.
JENGKA 11 - Seorang penternak ayam hanya mampu tersandar melihatkan satu daripada empat reban ayam miliknya yang terletak di Jalan Felda Jengka 11, di sini, terbakar semalam, menyebabkannya kerugian lebih RM2 juta.
Penternak terbabit, Habib Yusuf, 36, berkata, ketika kejadian dia berada di bandar Jengka.
Menurutnya, dia dimaklumkan ladang ternakannya terbakar melalui seorang pekerja yang menghubunginya kira-kira jam 1.24 petang, semalam.
“Apabila saya sampai ke ladang, saya lihat orang ramai berkerumun di situ sambil menjerit meminta seseorang membuat panggilan kepada bomba,” katanya yang enggan gambarnya dirakam.
Api cepat merebak

Habib berkata, api marak terlalu cepat menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan membiarkan rebannya dijilat api.
Katanya, selain reban, turut rentung kira-kira 65,000 anak ayam yang baru sahaja diletakkan dalam reban terbabit empat hari lalu.
"Api marak terlalu cepat dan saya percaya kejadian ini berpunca daripada litar pintas, tambahan reban ini mempunyai banyak bahan mudah terbakar, memudahkan api merebak,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu walaupun terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.
Nampak asap berkepul-kepul

Sementara itu, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, semua pekerja sedang berehat di rumah yang disediakan di kawasan berdekatan.
Katanya, salah seorang daripada mereka kemudiannya ternampak asap berkepul-kepul keluar dari reban ayam berkenaan.
"Kami semua keluar ke tempat kejadian dan berusaha memadamkan api menggunakan air yang diangkut dengan baldi," katanya.
Ketua Balai Bomba Bandar Jengka, Mohd Shaffie Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.35 petang.
Menurutnya, dua jentera bersama  sembilan anggota dikerahkan untuk mengawal kebakaran tersebut dan api berjaya dikawal dalam masa 15 minit.
“Setakat ini punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti dan pihak kami masih lagi melakukan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

tc makin padat

Pengunjung merungut kawasan TC semakin sesak, padat
ROSILAWATI ROSEDI
5 September 2012
Pengunjung merungut kawasan TC itu semakin sesak, padat
Kewujudan premis didakwa semakin menyesakkan dan menyempitkan di laluan kenderaan di pantai itu.
Pengunjung merungut kawasan TC itu semakin sesak, padat
Pengunjung terpaksa berjalan ke tepi pantai sebelum dapat melihat keindahan panoramanya.
KUANTAN - Keindahan dan daya tarikan pantai Teluk Cempedak yang menjadi identiti pelancongan di negeri ini khususnya di Kuantan semakin hilang serinya akibat daripada projek pembangunan yang didakwa terkawal.

Majoriti pengunjung mendakwa pemandangan pasir memutih dan lautan biru yang menggamit mereka selama ini sedikit terhalang terutamanya selepas kewujudan dua premis perniagaan baru di situ sejak Julai lalu.

Meja editorial Sinar Harian semalam menerima surat daripada pembaca yang menggelarkan dirinya “Anak Watan” terkilan dengan situasi yang berlaku di lokasi terbabit.

Dalam surat yang diterima, pengadu mendakwa tarikan di pantai itu sudah tidak seperti dulu dan terlindung di sebalik deretan bangunan terbabit.

“Anak Watan” yang mengaku sebagai seorang pencinta alam mendakwa kewujudan premis terbabit mencacatkan pusat pelancongan utama negeri dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang didakwanya tidak melakukan kajian serta mendapatkan pandangan awam sebelum sesuatu projek dilakukan.

Tinjauan Sinar Harian ke atas pengunjung mendapati mereka tidak bersetuju dengan kehadiran bangunan terbabit dan mengharapkan pihak berkuasa lebih peka dengan keperluan yang sewajarnya di lokasi terbabit.


Pemandangan pantai terhalang

Bagi seorang penyelia, Azlin Abdul Rashid, 27 dari Kuantan yang juga seorang pengunjung setia ke pantai tersebut setiap minggu, mengakui terkejut selepas melihat bangunan tersebut tersergam di hadapan pantai itu.

Menurutnya, sebelum ini pemandangan indah pantai dapat dilihat dari jauh tanpa sebarang halangan, namun kini pengunjung terpaksa berjalan hingga ke tepi pantai untuk menikmatinya.

“Saya sedikit terkilan dengan situasi ini, mengapa bina bangunan dan biarkan lebih banyak pembangunan di pantai ini sedangkan laluan jalan ke hadapan pantai ini seperti semakin sesak serta sempit,” dakwanya.

Pandangan sama turut diluahkan oleh seorang pengusaha kecantikan, Yeo Sook San, 26 yang turut terkejut apabila melihat bangunan baru yang terbina di depan pantai tersebut.

Menurutnya, dia dan keluarganya sering ke pantai itu dan sedikit kecewa kerana pemandangan indah yang dinikmati pengunjung luar dan dalam negeri sedikit terganggu.

“Sepatutnya, kalau nak bina dan wujudkan bangunan baru, pilih lokasi yang lebih sesuai dan sedikit jauh dari kawasan pantai.

“Malah saya rasa seperti kurang selamat, begitu banyak pembangunan ada di sini sedangkan ia menjadi tumpuan penduduk Kuantan dan sekitarnya setiap masa,” dakwanya,


Pengunjung luar terkejut

Bagi pengunjung luar dari Kuantan seperti Abdul Rani Abdul Rahman, 54 dari Kemaman, Terengganu, dia kurang selesa dengan pemandangan sesak di kawasan pantai tersebut.

Menurutnya, dia mengharapkan suasana yang tenang, luas dan boleh dinikmati tanpa banyak gangguan walaupun mengakui kemudahan seperti premis perniagaan memberikan kemudahan pada pengunjung.

Malah seorang pekerja swasta, Ragunathan, 30 yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, dia juga kurang selesa dengan pemandangan tersebut yang dilihat semakin menyesakkan di pantai terbabit.

PIX1: Kewujudan premis didakwa semakin menyesakkan dan menyempitkan di laluan kenderaan di pantai itu.

PIX2: Pengunjung terpaksa berjalan ke tepi pantai sebelum dapat melihat keindahan panoramanya.

Saturday, September 1, 2012

manusia ganggu gajah...gajah ganggu manusia

ARKIB : 31/08/2012

Peneroka kerugian gajah ceroboh tanaman

MOHD. Zain Jaafar menunjukkan pokok sawit dewasa yang ditumbangkan oleh gajah liar di ladang Felda Tekam Utara, Jerantut kelmarin.
JERANTUT 30 Ogos - Seramai 37 peneroka Felda Sungai Tekam Utara dekat sini, menanggung kerugian bernilai RM192,000 setelah ladang sawit mereka dimusnahkan sembilan ekor gajah liar sejak awal tahun ini.
Pencerobohan itu dipercayai berpunca akibat Hutan Simpan Lepar dan Hutan Simpan Berkelah, kini ditebus guna untuk projek perladangan dan penebangan balak.
Rata-rata peneroka terbabit kesal dengan penebangan balak secara berleluasa sehingga mengancam habitat haiwan liar sekali gus menceroboh ladang sawit Felda Telam Utara, Felda Kota Gelanggi Dua dan Empat, Felda Sungai Tekam dan Sungai Jerik.
Peneroka Felda Tekam Utara, Mohd. Zain Jaafar, 65, berkata, dia mengalami kerugian apabila 220 batang pokok termasuk benih sawit yang baru ditanam dimusnahkan gajah liar berkenaan.
"Haiwan ini menceroboh pada waktu malam lalu memusnahkan pokok muda dan merosakkan zink penghadang benih sawit. Kita berdepan kerugian apabila gajah berkenaan menceroboh memakan pucuk, umbut dan daun manakala pokok sawit yang berbuah lebat yang menunggu masa dituai juga musnah," katanya kepada pemberita di Tekam Utara, dekat sini semalam.
Sebelum kejadian itu, menurutnya, hasil bulanan yang diperoleh antara 10 hingga 13 tan tetapi menyusut kepada tujuh tan selepas tanaman mereka diancam gajah liar.
Rakannya, Abdul Wahab Wan Mat, 62, berkata, pihak berwajib diminta menangani masalah itu untuk meringankan beban peneroka yang mengalami defisit pendapatan sejak gajah tersebut bermaharajalela.
"Kami mengalami kerugian besar sejak Januari tahun ini dan terbeban dengan pembiayaan keluarga dan persekolahan anak," katanya.
Sementara itu, pekerja Felda Technoplant di sini, Che Ibrahim Omar, 56, berkata, gajah liar tersebut menceroboh pada setiap malam di kawasan ladang dan memusnahkan tanaman.
"Kita bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam membuat rondaan," katanya.
Menurutnya, walaupun menyalakan api menggunakan tayar kenderaan terpakai dan membakar mercun untuk menakutkan haiwan itu namun gajah liar tersebut tetap menceroboh di Felda berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Tekam Utara, Mohd. Rashid Abbas meminta kerajaan negeri dan Perhilitan mencari alternatif terbaik memindahkan kumpulan gajah berkenaan bagi mengelakkan peneroka di situ terus menanggung kerugian.
"JKKK akan mengadakan pertemuan dengan Felda, Perhilitan dan wakil rakyat pada awal September ini untuk mencari jalan terbaik menangani pencerobohan haiwan liar berkenaan," ujarnya.