Monday, April 30, 2012

patin sz rahmah

ARKIB : 07/04/2012

Keaslian rasa gulai tempoyak ikan patin SZ Rahmah


GULAI tempoyak ikan patin antara menu istimewa Restoran SZ Rahmah.


SEMASA Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau, Pahang pada Februari tahun lalu, negara digemparkan dengan cerita sensasi mengenai harga gulai tempoyak ikan patin Temerloh berharga RM13,000 untuk hidangan 56 orang.
Walaupun cerita tersebut tidak tepat ekoran salah faham tetapi ia memberi gambaran kurang baik terhadap imej peniaga makanan di sekitar Temerloh.
Namun di sebalik berita sensasi itu, ia memberi impak positif apabila secara tidak langsung telah meningkatkan populariti ikan tersebut sebagai hidangan istimewa di daerah Temerloh.
Sejak itu, minat orang ramai untuk menikmati keenakan gulai tempoyak ikan patin telah bertambah, menyebabkan permintaannya meningkat berkali ganda.
Namun begitu, tidak semua peniaga makanan di bandar ini mampu menyediakan masakan gulai tempoyak ikan patin bagi memikat selera orang ramai terutama untuk memuaskan hati 'penggemar tegar' ikan tersebut.
Daripada ratusan restoran dan gerai yang menjual masakan berkenaan, hanya beberapa peniaga sahaja yang dikatakan mampu menyediakan masakan yang boleh memenuhi kehendak golongan berkenaan.
Mereka begitu pakar sehingga dapat membezakan yang mana satu ikan patin diternak di dalam kolam, sangkar ataupun patin liar yang juga dikenali sebagai 'patin ori' daripada spesies patin buah dan patin muncung di Sungai Pahang.
Salah sebuah restoran yang dimaksudkan adalah Restoran SZ Rahmah yang terletak di Batu 3, Jalan Temerloh - Kuantan, bersebelahan Stesen Minyak BHP.
Masakan gulai tempoyak ikan patin di restoran milik Siti Zainon Zakaria, 74, itu mula dibuka sejak awal tahun 1980-an lagi, dan ia begitu sinonim di kalangan penggemar tegar yang ingin menikmati keenakan ikan patin buah atau patin muncung.
Semasa ditemui S2, Siti Zainon memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia bagi menyediakan masakan ikan tersebut supaya terus kekal enak sejak dahulu sehingga hari ini, selain hanya menggunakan bahan-bahan terpilih dan bermutu sahaja.
"Saya membeli terus ikan patin buah dari nelayan dengan harga RM80 sekilogram dan setiap seekor dipotong empat dan kepala dibelah dua.
"Petua untuk mengekalkan rasa yang sedap, ikan patin ini jangan dipotong atau kerat ekornya kecuali buang durinya sahaja, dan perlu dicuci bersih dengan menggunakan limau nipis," kata Siti Zainon.
Harga masakan gulai tempoyak ikan patin buah pula adalah antara RM10 dan RM18 sepotong bergantung kepada saiz, kepala dan ekor ikan tersebut.
Selain ikan patin buah, kadang-kala beliau menjual masakan ikan patin muncung tetapi harganya lebih mahal kerana ikan itu sukar diperoleh, yang mana harganya kini sudah mencecah RM270 sekilogram.
Namun begitu katanya, bagi penggemar tegar, harga bukan lagi persoalan, yang penting adalah rasa yang sedap dan enak membuatkan mereka tidak begitu berkira kerana tahu menilai harga sebenar masakan tersebut.
Tambahnya, beliau juga menggunakan tempoyak yang dibuat khas dari pembekal di Kuala Lipis dengan harga RM1,400 untuk 80 kilogram dan mampu bertahan selama tiga bulan.
"Petua lain adalah saya menggunakan garam kasar, kunyit hidup yang dikisar dan lada panjang.
"Untuk masak tujuh ekor patin, saya menggunakan tiga kilogram tempoyak yang dikacau rata sebelum dimasukkan ke dalam periuk," kata Siti Zainon.
Selain gulai tempoyak, Restoran RZ Rahmah juga popular dengan hidangan sambal udang galah dan ayam goreng, di samping 25 lagi hidangan lauk-pauk lain.
Menurutnya, masakan gulai tempoyak ikan patin mula popular di kalangan orang luar kira-kira tujuh tahun lalu kerana sebelum ini ramai yang beranggapan ikan sungai itu kurang sedap dan berbau hanyir.
Sebenarnya, pandangan itu salah kerana selain patin, ikan sungai seperti kelah, tembalian, kerai, gahak dan tapah juga sedap dan membuka selera apabila disiang dan dimasak dengan cara yang betul.
Beliau juga sering menerima tempahan daripada penggemar dari Kuala Lumpur dan Genting Highlands, malah ramai juga pelanggannya datang dari Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang dan Putrajaya semata-mata ingin menikmati gulai tempoyak ikan patin.

Sunday, April 29, 2012

pencuri dalam kawasan masjid

ARKIB : 29/04/2012

Terkilan motosikal dicuri di pekarangan masjid

ROMPIN 28 April - Dua jemaah Masjid Felda Keratong 5, di sini, berputih mata selepas motosikal mereka yang diletakkan di pekarangan masjid itu lesap akibat dikebas pencuri Khamis lalu.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu disedari oleh kedua-dua mangsa sebaik saja mahu pulang ke rumah setelah selesai menunaikan solat isyak di masjid berkenaan.
Seorang mangsa, Muhamad Daud, 63, berkata, motosikal jenis Honda EX5 miliknya itu diletakkan di ruang letak kenderaan di pekarangan masjid namun tidak menyangka motosikal bernilai RM5,000 itu lesap dilarikan pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya meletakkan kenderaan di bahagian pintu masuk tepi parkir masjid, namun terkejut apabila motosikal yang digunakan untuk ulang alik ke masjid setiap hari sudah tidak ada di tempatnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Seorang lagi jemaah yang turut menjadi mangsa, Mohd. Omar Kasihan, 63, berkata, dia yang kehilangan motosikal jenis Modenas Kriss percaya suspek yang melakukan jenayah itu hanya mengambil bahagian komponen motosikal sebelum menjualnya kepada pembeli besi buruk.
“Mereka tidak akan menjual motosikal ini kerana perbuatan itu mungkin boleh menyebabkan mereka dicekup pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan telah menerima laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Bandar Tun Razak.
Beliau juga telah mengarahkan unit peronda polis untuk melakukan rondaan secara lebih kerap di kawasan masjid berkenaan.

komplek terbesar di lanchang

ARKIB : 28/04/2012

Kompleks produk pertanian terbesar akan dibina di Lanchang

TEMERLOH 27 April - Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah kompleks memasarkan produk pertanian terbesar di Lanchang, dekat sini dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke daerah ini tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, langkah itu merupakan satu lagi nilai tambah kepada daya tarikan pelancongan sedia ada di Lanchang yang kini popular dengan Pusat Konservasi Gajah.
Malah katanya, Lanchang sangat relevan diketengahkan sebagai destinasi pelancongan kerana banyak lokasi menarik bertaraf dunia seperti titik tengah Semenanjung selain kedudukannya yang strategik kerana dihubungkan dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
"Kompleks berkenaan beserta dataran restoran itu kelak akan memudahkan pengunjung luar menikmati makanan tradisional Pahang seperti tempoyak ikan patin dan masakan asam rom selain membolehkan mereka membeli produk tempatan sebagai cenderahati.
"Lanchang yang berhampiran dengan Kuala Lumpur iaitu kira-kira sejam perjalanan memudahkan peminat masakan ikan patin dan pencinta alam semula jadi untuk ke sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mohd. Sharkar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, pelancong yang melawat Pusat Konservasi Gajah memerlukan kompleks bersepadu seperti itu.
Katanya, di Lanchang juga terdapat Taman Kekal Pengeluaran Makanan seluas 3,600 hektar yang dimajukan dengan ladang buah-buahan komersial.
Tambah beliau, projek berskala besar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang menambah lagi 'koleksi' keistimewaan Lanchang sebagai zon industri hiliran ternama negara.
Di samping itu, katanya, pusat Deerland iaitu kawasan pemeliharaan semulajadi rusa turut menjadi tarikan orang ramai ke situ.
"Di Lanchang juga terdapat Institut Biodiversiti Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Bukit Rengit yang mempunyai muzium fauna terbesar membabitkan kira-kira 30,000 koleksi haiwan yang diawet," ujarnya.
Kata beliau, selain serangga antara haiwan yang diawet di muzium itu ialah harimau, kucing hutan, musang, pelanduk, beruang, rusa dan kelawar.

ceburi bidang kemahiran

ARKIB : 28/04/2012

Galak anak-anak ceburi bidang kerjaya yang mereka minati

Shahiruddin Ab. Moin (tengah) bersama-sama pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud pada Karnival dan Hari Kecemerlangan sekolah berkenaan, semalam.
RAUB 27 April - Ibu bapa tidak seharusnya terlalu memaksa dan menentukan kerjaya anak-anak yang tidak mampu dilakukan kerana ia hanya akan menjejaskan masa depan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, sebaliknya ibu bapa perlu memberikan galakan serta dorongan supaya anak-anak menumpukan kepada mata pelajaran mengikut kerjaya pilihan dan minat mereka sendiri.
Katanya, sekiranya ibu atau bapa merupakan seorang doktor, ia tidak semestinya diwarisi oleh anak-anak kecuali mereka sendiri yang berminat untuk mengikuti jejak langkah ibu bapa masing-masing.
"Tindakan memaksa dan menekan anak belajar bidang atau kerjaya di luar kemampuan mereka hanya akan memusnahkan segala-galanya termasuk jaminan masa depan anak-anak itu sendiri.
"Selain gagal di bidang pelajaran, mereka akan merasa kecewa dan akhirnya menjadi murung dan akan bertindak di luar batasan yang memusnahkan harapan keluarga," kata Shahiruddin pada Majlis Karnival dan Hari Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun bidang pendidikan memerlukan kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan tetapi kebolehan pelajar untuk mencapai tahap tersebut amat sedikit kerana ia memerlukan bakat luar biasa.
Sehubungan itu, kata beliau, ibu bapa perlu memberikan nasihat dan dorongan agar anak-anak mereka memilih kerjaya yang sesuai dengan kehendak pasaran pekerjaan hari ini terutamanya kebolehan menguasai kemahiran dalam sektor industri.
Kata Shahiruddin, di negara maju, sektor pendidikan tidak terlalu menumpukan pendidikan akademik semata-mata tetapi memberikan tumpuan kepada kemahiran kerana keputusan peperiksaan bukan menentukan segala-galanya terutama dalam kejayaan pada masa depan.
Menurutnya, kegagalan dalam peperiksaan dan akademik bukan bererti masa depan pelajar sudah gelap tetapi mereka masih ada masa depan yang cerah dan peluang kedua dengan melanjutkan pelajaran di pusat-pusat kemahiran yang ada di negara ini.
"Meraka boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti kerana mudah menguasai ilmu kemahiran yang mereka minat dan mampu menguasainya.
"Selain itu saya juga berharap ibu bapa perlu bekerjasama dengan sekolah bagi mengatasi pelajaran anak-anak kerana tugas mendidik tidak terletak di bahu guru dan sekolah semata-mata," katanya.

Friday, April 27, 2012

bn prihatin

ARKIB : 26/04/2012

Bukti keprihatinan BN

Adnan Yaakob dan Liow Tiong Lai (kanan) beramah mesra dengan warga emas dan orang kurang upaya yang menghadiri majlis perasmian Klinik Kesihatan Chemomoi, Bentong, semalam.
BENTONG 25 April - Peruntukan besar untuk kemudahan kesihatan dalam Bajet negara pada setiap tahun membuktikan keprihatinan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada keperluan setiap lapisan rakyat termasuk di luar bandar.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, seperti pendidikan, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kesihatan dengan membina lebih banyak klinik kesihatan dan klinik desa bagi kemudahan rakyat mendapat rawatan terbaik.
''Pembinaan Klinik Kesihatan Chemomoi yang berharga RM12.9 juta ini misalnya, membuktikan kerajaan cukup prihatin kerana ingin membolehkan rakyat mendapat rawatan segera.
''Klinik yang serba moden ini mampu memberikan perkhidmatan kepada lebih 8,000 penduduk di kawasan Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal, Felda Kemasul, Felda Mengkarak, Ladang Mengkarak dan kawasan sekitarnya," katanya.
Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Chemomoi dekat sini petang semalam.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa.
Menurut Adnan, dengan adanya klinik tersebut, penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi perlu pergi jauh sehingga ke Hospital Bentong untuk mendapat rawatan penyakit tertentu termasuk penyakit kronik.
Tambahnya, Klinik Kesihatan Chemomoi menawarkan perkhidmatan seperti kemudahan pesakit luar, penjagaan kesihatan ibu dan anak, kecemasan, pergigian, makmal patologi, farmasi dan perkhidmatan khusus seperti klinik berhenti merokok dan penyakit berjangkit kronik termasuk tibi.
Adnan memberitahu, pembinaan klinik ini yang mempunyai seorang doktor dan dua pembantu perubatan serta 10 jururawat merupakan sebahagian daripada pembangunan yang dirancang bagi setiap lima tahun menerusi Rancangan Malaysia untuk memastikan setiap rakyat mendapat rawatan yang pantas dan cekap.
Dalam perkembangan lain, Adnan menghargai sokongan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pahang terhadap beliau apabila pertubuhan itu membuat laporan polis dua hari lalu bagi membantah tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta beliau melepas jawatan sebagai Menteri Besar.
''Itu adalah perkara biasa dalam dunia politik apabila ada pihak yang meminta Menteri Besar berundur dan saya serah perkara ini kepada Allah dan rakyat untuk menentukannya.
''Bagaimanapun permintaan tersebut yang didalangi pembangkang menunjukkan mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang dan sebab itu mereka minta saya letak jawatan dan bagi saya permintaan mereka itu adalah berjuang untuk benda yang salah," katanya.

mau litar la..

ARKIB : 27/04/2012

Mohon kerajaan bina litar di Jengka

Saudara Pengarang,
SUKAN lumba kereta dan motosikal pecut atau dikenali sebagai drag kini semakin popular di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka sejak perlumbaannya dianjurkan pada tahun lepas.
Kerjasama mantap antara Kelab Bermotor Jengka dan Majlis Belia Felda Wilayah Jengka (MBFWJ) berjaya menarik penyertaan lebih 150 motosikal dan kereta dalam perlumbaan itu.
Laluan lurus di hadapan bangunan Balora Mastika menjadi litar tetap kepada penganjur, namun ia tidak disenangi oleh masyarakat setempat yang merungut kerana penganjur terpaksa menutup laluan tersebut.
Pada masa sama, orang ramai turut tidak senang duduk apabila deruman enjin kenderaan mengganggu ketenteraman hidup mereka kerana perlumbaan berlanjutan hingga lewat malam.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan negeri dan pihak Felda perlu mencari alternatif membina litar untuk sukan tersebut di kawasan yang jauh dari kediaman dan kawasan perumahan.
Difahamkan, pihak MBFWJ mengemukakan cadangan untuk membina litar drag kepada kerajaan negeri dan Felda, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.
Lokasi litar yang dicadangkan oleh pihak MBFWJ adalah laluan lurus yang sebelum ini menjadi landasan kapal terbang berhampiran Kilang Alps di laluan Jengka ke Maran.
Jalan lurus lebih satu kilometer itu amat sesuai dijadikan litar selain jauh dari kawasan perumahan dan mempunyai tempat letak kereta yang banyak.
Sambutan hangat penggemar sukan tersebut menyebabkan penganjur mengadakan perlumbaan tiga hingga empat kali setahun.
Saya rasa kerajaan negeri dan Felda patut memandang serius perkara ini kerana ia memberi kesan yang positif terutama kepada generasi kedua Felda untuk membangunkan sukan bermotor di negara ini selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti lumba haram.

klinik di chemomoi

ARKIB : 27/04/2012

Klinik Kesihatan Chemomoi bernilai RM12.9 juta sedia kemudahan terbaik

Adnan Yaakob dan Liow Tiong Lai memotong riben ketika merasmikan Klinik Kesihatan Chemomoi, Bentong, baru-baru ini. - utusan/Ali Mahmood
BENTONG 26 April - Pembinaan Klinik Kesihatan Chemomoi (KKC) dekat sini yang bernilai RM12.9 juta adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam merealisasikan matlamat menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk semua rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembinaan KKC yang dimulakan pada 28 Ogos 2008 menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan siap sepenuhnya pada 1 Disember lalu adalah reka bentuk klinik kesihatan jenis lima iaitu untuk kapasiti pesakit kurang daripada 150 orang sehari.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, secara tidak langsung reka bentuk klinik yang pertama di Semenanjung itu akan menjadi rujukan kepada negeri lain sekiranya mereka ingin membangunkan klinik kesihatan jenis lima.
''Klinik ini menawarkan perkhidmatan seperti pesakit luar untuk pesakit kronik dan akut, kesihatan ibu dan anak, kecemasan, pergigian, makmal patologi dam kesihatan primer, farmasi serta perkhidmatan khusus seperti klinik berhenti merokok dan penyakit berjangkit kronik termasuk tibi.
''Pembinaan klinik ini juga menunjukkan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan berusaha dengan gigih untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada rakyat yang memerlukannya termasuk di luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis perasmian KKC yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, dekat sini kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abd. Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa.
Menurut Tiong Lai, keseluruhannya kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM529.9 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk melaksanakan 58 projek berkaitan kesihatan termasuk membina dua hospital baru di Rompin dan Bera.
''Peruntukan itu dibahagikan kepada dua fasa, yang pertama membabitkan peruntukan RM243 juta bagi melaksanakan projek antara tahun 2010 hingga 2011 dan melaksanakan 22 projek fasa kedua bagi tempoh 2012 hingga 2013 dengan peruntukan RM286.9 juta," katanya.

Tuesday, April 24, 2012

ARKIB : 23/04/2012

RM2 juta bantu 200 peniaga kecil

BERA 22 April - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) memperuntukkan sebanyak RM2 juta dengan menyasarkan 200 peniaga kecil daerah ini akan mendapat pinjaman tersebut sepanjang tahun ini.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agensi itu menyediakan pinjaman tersebut bagi membantu usahawan dan peniaga kecil terutamanya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, sehingga kini TEKUN telah memberi pinjaman kepada lebih 50 usahawan dan peniaga melibatkan pinjaman RM600,000.
"TEKUN yang mula operasi di Bera sejak 2000 mendapat sambutan menggalakkan di kalangan peniaga berikutan kaedah pembiayaannya lebih mudah berbanding mendapat pinjaman bank atau institusi kewangan.
"Sepanjang tahun lalu, TEKUN mengeluarkan pinjaman berjumlah RM1.2 juta kepada 80 peminjam di daerah ini sebagai usaha kerajaan melahirkan lebih ramai peniaga dan usahawan kecil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pinjaman TEKUN kepada 22 usahawan kecil Bera membabitkan RM247,000 di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, sejak 2008 sehingga kini seramai 846 telah diberikan pinjaman sebanyak RM4.7 juta.
Menurut beliau, daripada segi pembayaran balik, usahawan kecil Bera mempunyai rekod pembayaran balik yang baik apabila 90 peratus daripada mereka menjelaskan hutang mengikut jadual.
Jelasnya, mereka yang enggan membayar membalik pinjaman tanpa alasan munasabah akan diambil tindakan undang-undang.
"Peniaga yang mendapat pinjaman TEKUN perlu bertanggungjawab menjelaskan pinjaman mereka supaya pinjaman boleh diberikan kepada usahawan lain selepas ini," katanya.

Monday, April 23, 2012

kaki pancing

ARKIB : 22/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Lebih RM34,000 buat kaki pancing, hari ini

KUALA LIPIS 21 April - Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Lipis akan menganjurkan pertandingan memancing Sempena Peringatan Hari Polis ke-205 di Kampung Beletik dekat sini, esok.

Ketua Polis Daerah Lipis, Suprintendan Abdul Razak Hassan berkata, program dengan kerjasama pemilik kolam Sempurna Sejati di kampung tersebut itu bertujuan mengeratkan hubungan antara polis dengan masyarakat setempat selari dengan projek Komuniti Kepolisan.

Katanya, seramai 500 kaki pancing sekitar daerah ini, Jerantut, Raub, Bentong dan Lembah Klang akan menyertai pertandingan berkenaan yang akan bermula pada pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

"Juara akan membawa pulang hadiah bernilai RM20,000, naib juara bernilai RM8,000, pemenang tempat ketiga, RM2,000 dan keempat pula RM500," katanya kepada pemberita di Kampung Beletik dekat sini, semalam.

Hadir sama Ketua Urusetia Pertandingan dan pemilik Kolam Sempurna Sejati, Hishamuddin Hashim.

Abdul Razak berkata, pemenang tempat kelima hingga ke-10 masing-masing akan menerima wang tunai RM300 dan tempat ke-11 hingga 20 pula RM200 seorang.

"Manakala peserta tempat ke-21 hingga 30 pula akan menerima RM150 dan tempat 31 hingga 40 menerima RM100," ujarnya.

Jelas beliau, yuran pertandingan dikenakan setiap peserta sebanyak RM100 untuk sebatang joran dan peserta berpeluang mendapat kira-kira 50 buah hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh penganjur.

tnb bina rumah

ARKIB : 21/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
TNB bina 11 rumah di Pahang tahun ini

KUALA LIPIS 20 April - Jika dahulu, Ahmad Saifulanuar Awang, 40, dari Kampung Lubuk Kulit, Mukim Telang, dekat sini bersama keluarganya dihimpit resah setiap hari kerana terpaksa berteduh di sebuah rumah usang ihsan jirannya.

Namun kelmarin, dia dan isterinya, Norasiah Salleh, 37, bersama tiga anak mereka mampu mengukir senyuman setelah mempunyai rumah sendiri yang baru siap dibina.

Rumah tersebut merupakan salah sebuah daripada 11 rumah yang dibina di Pahang di bawah program Baiti Jannati tahun ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM220,000.

Segalanya bermula selepas kehidupan mereka mendapat perhatian Bahagian Hal Ehwal Korporat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Persatuan Wanita dan Isteri Kakitangan TNB (Perwanis) Kuantan yang berbesar hati untuk membantu keluarga itu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat (Hal Ehwal Komuniti) TNB, Ahmad Zaki Rasid berkata, program Baiti Jannati merupakan projek kemasyarakatan untuk membantu golongan miskin, kurang upaya, ibu tunggal atau anak yatim di kawasan luar bandar.

''Melalui program Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku anjuran TNB, sebuah rumah telah dibina di atas tanah milik keluarga Ahmad Saifulanuar beserta kelengkapan rumah.

"Program ini menzahirkan keprihatinan TNB terhadap golongan memerlukan bantuan dalam usaha menyahut seruan kerajaan supaya syarikat milik kerajaan seperti TNB turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat,'' katanya.

Ahmad Zaki berkata kepada pemberita selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan rumah berkenaan kepada Ahmad Saifulanuar di Kampung Lubuk Kulit, dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Pengurus Besar TNB negeri, Sharuddin Mohd. Simin dan Ketua Kampung Lubuk Kulit, Mazlan Ghani.

Menurut Ahmad Zaki, kerjasama yang diberikan oleh pihak kontraktor dilantik, penduduk kampung dan warga TNB, rumah itu berjaya dibina secara bergotong-royong dalam tempoh tiga minggu.

"Dengan peruntukan yang diberikan TNB, kita telah menukar kehidupan keluarga Ahmad Saifulanuar menjadi lebih selesa seterusnya melaksanakan tugas fardu kifayah kami untuk membantu golongan memerlukan menerusi keuntungan syarikat," ujarnya.

curi menjadi2

ARKIB : 22/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Pecah rumah, curi kenderaan meningkat

KUANTAN 21 April - Orang ramai diingatkan agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di rumah dan kenderaan masing-masing kerana jenayah pecah rumah dan kecurian kenderaan semakin kerap dilaporkan kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kosmisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, penduduk di daerah ini juga diminta memaklumkan kepada pihak polis melalui bilik gerakan sekiranya mahu meninggalkan rumah dalam tempoh yang agak lama.

“Selain itu, penduduk boleh memberitahu jiran masing-masing selain meningkatkan keselamatan seperti berhenti melanggan surat khabar, memasang lampu di luar rumah dan sentiasa memastikan pintu rumah dikunci dengan baik.

“Banyak kes kecurian motosikal turut dilaporkan berlaku di pekarangan rumah selain di pusat membeli-belah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kata Mohd. Jasmani, kebanyakan kes kecurian dan pecah rumah terbabit dilakukan oleh golongan remaja dan penagih dadah.

“Kita percaya mereka menjual motosikal yang dicuri sebagai alat ganti dengan mengambil komponen tertentu pada harga semurah RM200 hingga RM300 sahaja,” katanya lagi.

Tambahnya, walaupun pihak polis kerap menjalankan rondaan dan membuat pemantauan namun kerjasama daripada masyarakat dalam membantu mengurangkan kadar jenayah sangat diperlukan.

gebeng

MCKIP di Gebeng tanda iklim pelaburan sihat di Kuantan
Oleh ALAMAYA

USAHA bagi mewujudkan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dalam kawasan perindustrian Gebeng adalah tanda jelas betapa tingginya keyakinan kerajaan serta pelabur tentang sihatnya iklim pelaburan di Pahang khususnya Kuantan.

Ini di sebalik taktik menakut-nakutkan oleh puak-puak pembangkang yang sengaja memberi gambaran negatif mengenai daerah ini ekoran kehadiran projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas yang mereka dakwa sebagai berbahaya, di kawasan perindustrian yang sama.

Usaha bagi mewujudkan MCKIP diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berada di Nanning, China pada 1 April lalu, sempena Majlis Pecah Tanah China-Malaysia Qinzhou Industrial Park di sana.

"Mungkin ada mengatakan Kuantan tidak sihat, tidak kondusif daripada segi kesihatan. Kalau ada pandangan negatif, ini tidak betul sebenarnya (dengan usaha mewujudkan MCKIP)," kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bahawa pelaburan yang sebahagian besarnya dijangka datang dari China sendiri katanya, adalah sesuatu yang menarik sementelah negara itu kini merupakan kuasa ekonomi besar dunia.

''Kita seharusnya memandang ke arah China bagi meningkatkan hubungan dua hala dan dengan persetujuan ini (bagi mewujudkan MCKIP) Insya-Allah, Kuantan akan menjadi semakin maju, secara tidak langsung dapat menolak tanggapan negatif tentangnya," kata Adnan.

Dan, belum pun sempat reda pengumuman mengenai MCKIP oleh Najib itu, sebuah syarikat gergasi dari republik itu dijangka berada di Kuantan dalam tempoh beberapa hari lagi, bagi meninjau untuk melabur di taman perindustrian berkenaan.

Setakat ini, belum diketahui lagi jenis pelaburan yang akan dilakukan tetapi difahamkan, nilainya dijangka mencecah sehingga RM2,000 juta! Dan ini tentunya permulaan yang baik untuk pembangunan MCKIP sendiri.

Ke arah merealisasikan kewujudan MCKIP itu kata Adnan, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah mengenal pasti kawasan seluas 607.5 hektar (1,500 ekar) dalam kawasan perindustrian Gebeng, untuk dijadikan MCKIP tersebut.

Kawasan ini terletak tidak jauh dari kawasan perumahan ala-dusun yang dibangunkan oleh sebuah agensi kerajaan negeri dikenali sebagai ASPA Cottage di sebelah baratnya, dan sempadan dengan Terengganu di sebelah utaranya.

Asalnya, kawasan 607.5 hektar ini yang terletak di pinggir sebelah kiri laluan Gebeng By-pass menuju ke Pelabuhan Kuantan, adalah sebahagian daripada 931.5 hektar (2,300 ekar) yang dicadangkan oleh PKNP sejak lima tahun lepas, untuk dibangunkan keseluruhannya sebagai Gebeng City Centre.

Cadangan PKNP itu bagaimanapun tinggal cadangan akibat kekangan kewangan. Ekoran itu, ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dan turut dianggotai oleh Adnan, mencadangkan kawasan 607.5 hektar tersebut sebagai MCKIP.

MCKIP ini diperkenalkan sebagai lanjutan kepada persetujuan antara Malaysia dan China bagi membangunkan CMQIP yang mana majlis pecah tanahnya telah disempurnakan oleh kedua-dua Najib dan rakan sejawatannya, Wen Jiabao di sana.

Dengan wujudnya MCKIP sebagai 'sister industrial park', turut diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, Malaysia dan China.

Sebagai taman perindustrian yang terletak dalam SEZ-ECER, secara tidak langsung MCKIP akan turut mendapat faedah daripada lokasi strategik zon berkenaan yang berperanan sebagai gerbang pelaburan ke seluruh negara ASEAN dan Asia Pasifik dengan jumlah penduduk keseluruhannya kira-kira 4,000 juta orang!

"Ini bakal menyumbang kepada peluang keemasan untuk kedua-dua masyarakat perdagangan Malaysia dan China untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di rantau ini," kata Ketua Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Kedudukan geografi Kuantan yang menghadap Laut China Selatan serta hampir dengan China pula dikatakan sebagai faktor penting yang dapat menjanakan lagi pembangunan kedua-dua MCKIP dan CMQIP.

Kata Jebasingam lagi, bekalan bijih besi yang kaya di Malaysia boleh sahaja dieksport dari Pelabuhan Kuantan (kira-kira 5 km dari MCKIP) ke Pelabuhan Qinzhou bagi menyokong industri-industri perkapalan dan alat- ganti serta automotif dan alat-ganti di Qinzhou.

"Pelabuhan Kuantan akan dapat menyumbang sebagai hab serantau pusat pengumpulan bagi kontena di Asia Tenggara untuk menyokong membangunkan kemudahan-kemudahan logistik serta juga industri pembuatan dan automotif di Qinzhou,'' jelas beliau.

Dalam MCKIP sendiri, ECERDC menyasarkan agar taman perindustrian baru ini turut menumpukan kepada pelbagai jenis industri seperti pembuatan komponen automotif, pemprosesan makanan, produk pengguna, dan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Ke arah itulah pelbagai insentif kewangan turut ditawarkan dan antaranya pengecualian cukai 100 peratus selama 10 tahun, pengecualian cukai import dan cukai jualan selain daripada penawaran harga tanah perindustrian yang berdaya saing.

Dengan Perdana Menteri sendiri memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan MCKIP ini manakala kerajaan negeri di bawah Menteri Besar selaku pemudah caranya, taman perindustrian terbaru ini dijangka dapat mencapai kejayaan yang dihasratkan dalam tempoh yang singkat.

Saturday, April 21, 2012

kerugian akibat tanah mendap

Hujan lebat punca tanah mendap
Wartawan Sinar Harian
20 April 2012
Keadaan_kedai_Zulkifli_yang_rosak_teruk
Mohd Hairi menunjukkan tanah yang mendap akibat hujan lebat kelmarin.
JENGKA 13 – Berikutan hujan lebat petang kelmarin, seorang peniaga kerugian lebih RM10,000 berikutan tanah mendap sekali gus merobohkan simen dan merosakkan barang di kedai runcitnya yang terletak di simpang Felda Jengka 13.

Peniaga terbabit, Zulkifli Talib, 41, berkata, ketika kejadian sekitar jam 6.30 petang terbabit, beliau tidak berada di kedai kerana pulang ke rumah seketika.

“Saya agak terkejut apabila mendapat panggilan telefon dari pekerja saya mengatakan tanah di sebelah kiri kedai saya mendap dan runtuh kerana hujan lebat.

“Tanpa membuang masa, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati air melimpah ruah mengalir sekali gus turut memasuki ruang dalam kedai,” katanya.

Tambahnya, air yang kuat dikatakan datang dari atas bukit turut memasuki ruang stor kedainya justeru memusnahkan barang runcitnya yang disimpan di dalam stor terbabit.

“Ia turut memusnahkan mesin mengesan harga barang yang bernilai RM8,000 dan barang-barang runcit seperti lampin bayi, susu tepung, bawang dan banyak lagi yang saya anggarkan berjumlah sekitar RM3,000,” katanya.

Zulkifli berkata, tidak hanya beliau kerugian dari sudut barangan rosak, tetapi juga terpaksa membaiki kedainya yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM2,000.

Zulkifli justeru itu, mengharapkan bantuan dari pihak berwajib untuk membantu meringankan beban akibat kerugian yang ditanggungnya ini.

Menurut pekerjanya, Mohd Hairi Anuar, 25, yang berada di kedai ketika itu berkata, kejadian berlaku terlalu pantas sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan barang kedai terbabit.

“Saya lihat air semakin laju dan saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang akan membahayakan diri.

“Setelah air surut, barulah kami dapat lihat simen retak dan tanah berlubang besar kerana mendap akibat air yang deras itu,” katanya.

Menurut Hairi, ini merupakan kejadian kali kedua berlaku di kedai tersebut. Katanya, kejadian sebelum ini ialah pada hari Sabtu lepas di mana hanya sebahagian sahaja dari tanah kedai tersebut mendap dan memberi kesan kepada barangan dalam kedai.

“Sejak lapan tahun kedai ini dibuka, tahun ini adalah kejadian yang paling teruk pernah kami alami. Sebelum ini tidak pernah terjadi kejadian seperti ini walau hujan lebat melanda kawasan ini,” katanya.

Thursday, April 19, 2012

benteras dadah dari sekolah

Banteras gejala dadah di peringkat sekolah rendah
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012
Banteras gejala dadah di peringkat sekolah rendah
KUALA LIPIS - Biarpun pelbagai kempen diadakan bagi memerangi gejala dadah di negara ini, namun usaha tersebut belum menampakkan hasil yang jelas kerana masalah penagihan dan pengedaran dadah masih bermaharajalela.
Slogan Dadah Musuh Negara seolah-olah tidak memberi kesan kepada pencinta bahan yang mengkhayalkan itu dan undang-undang sedia ada tidak sedikit pun digeruni penagih dan pengedar dadah.
Bagi menyahut seruan Kementerian Pelajaran yang menyasarkan Sekolah Bebas Dadah 2012, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Besar di sini mengadakan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah, kelmarin.
Setiausaha Pendidikan Pencegahan Dadah SK Tanjung Besar, Norhaslinda Mohd Noor berkata, program sehari itu diadakan bertujuan membanteras gejala penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.
“Kita perlu membanteras gejala dadah ini di peringkat sekolah rendah lagi kerana murid-murid belum mengenali bahan yang dibuat menggunakan dadah serta kesannya kepada kehidupan seharian.
“Pada usia antara 10 tahun hingga 12 tahun juga mendorong mereka berjinak dengan rokok yang menjadi punca utama sebelum terlibat dengan penagihan dadah,” katanya sempena program tersebut, kelmarin.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Afizal Ahmad Pahmin berkata, aspek pendidikan pencegahan dadah amat penting diterapkan kepada kanak-kanak sejak di bangku sekolah rendah lagi memandangkan mereka adalah warisan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, matlamat pendidikan pencegahan dadah di sekolah untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid serta warga sekolah agar mereka menjauhi najis dadah dan berupaya menentang ancaman dadah.

longkang sumbat

Penduduk gesa pihak berkaitan baiki sistem perparitan
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012
Penduduk gesa pihak berkaitan baiki sistem perparitan
KERAMBIT - Dua ­keluarga di Kampung Pasu di sini ­minta pihak berkaitan ­supaya membaiki sistem ­perparitan ­berikutan kerap berlaku ­kejadian banjir kilat di ­kawasan rumah mereka.
Penduduk ­berkenaan, Sabari Sulaiman, 28, ­berkata, ­setiap kali hujan lebat, ­rumahnya dinaiki air ­sehingga satu meter dan keadaan ini mengundang masalah ­kepada mereka.
“Masalah ini berlarutan sejak hampir dua ­tahun lalu. Setiap kali hujan ­lebat, kami akan bersiap ­untuk ­me­mindahkan barang­ ­terutama peralatan elektrik ke tempat yang lebih tinggi.
“Malah dalam satu ­kejadian banjir kilat beberapa bulan lalu, kami terpaksa ­tidur di b­eranda rumah ­ekoran air masuk hingga memenuhi ­setiap ­ruang rumah,” katanya, di sini, semalam.
Sabari berkata, kejadian banjir kilat ­berkenaan berlaku ekoran masalah ­sistem perparitan di kawasan ­rumahnya yang sempit dan tidak diselenggarakan.
“Air hujan dari ­kawasan tinggi mengalir ke dalam ­parit berdekatan rumah kami dan parit yang sempit itu ­tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak sekali gus melimpah dan memasuki ­rumah kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Sabari berkata, pihak berkaitan digesa supaya segera membaiki sistem perparitan di kawasan rumahnya agar­ ­kejadian banjir kilat yang sama ­idak lagi berulang.
“Kami berharap agar ­pihak berkaitan dapat ­meluas dan mendalamkan lagi ­sistem ­perparitan di sini bagi ­melancarkan aliran air hujan ke Sungai Pasu,” katanya.

sekolah ugama

Sekolah agama bukan susahkan anak-anak
Wartawan Sinar Harian
18 April 2012
Sekolah agama bukan susahkan anak-anak
CHENOR - Ibu bapa diingatkan supaya tidak merungut dengan masa terhad anak-anak mereka yang mempunyai ­jadual padat sepanjang sesi persekolahan pada waktu pagi dan sekolah agama di sebelah petang.
Pengerusi Persatuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) Daerah Maran, Baharuddin Othman berkata, kelas agama membantu anak-anak mendapat didikan agama yang cukup demi menjamin akidah serta masa depan mereka.
Menurutnya, pendidikan agama di SAR Kafa memberi pendedahan kepada anak berusia 7 hingga 12 tahun kepada Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
“Kerajaan juga tidak meminggirkan SAR Kafa dengan menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan pembelajaran di sini mencakupi keperluan generasi sekarang.
“SAR Kafa memainkan peranan penting mendidik anak-anak dalam kelas al-Quran dan fardu ain,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek bantuan pembangunan kepada SAR Kafa daerah Maran, di sini.
Sebanyak RM549,363.50 sumbangan dari Unit Pendidikan Agama, Jabatan Perdana Menteri disalurkan kepada 25 SAR Kafa daerah ini.
Baharuddin berkata, bantuan itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan sekolah terbabit yang terbukti membantu melahirkan modal insan berkualiti.
Menurutnya, kerajaan sangat memahami kesulitan guru sekolah berkenaan yang hanya mengharapkan bayaran yuran pelajar dan bantuan institusi agama walaupun kos pentadbiran sekolah semakin meningkat.
“Maka guru agama dinasihati supaya memberi tumpuan pengajaran di dalam kelas kerana ia dapat membentuk sahsiah pelajar yang mampu mencorak kehidupan masyarakat pada masa depan.
“Setiap guru perlu mempunyai sifat bertanggungjawab menjadi seorang pendidik bagi melahirkan insan berguna bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga terhadap agama dan negara,” katanya.

roboh gerai

MPK bertindak ikut prosedur
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012
MPK bertindak ikut prosedur
KUANTAN - Tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) merobohkan gerai yang dibina di tapak taman permainan di Jalan Air Putih 2, di sini pada 14 April lalu adalah wajar memandangkan enam notis sudah dikeluarkan kepada pemilik tersebut.
Malah tindakan itu diambil selepas pertimbangan sewajarnya dilakukan MPK bagi memastikan peraturan yang di bawah Seksyen 72 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta133) tidak pandang remeh.
Pengerusi Barisan Nasional Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusof berkata, peniaga terbabit seharusnya tahu had sekiranya mahu berniaga dan bukannya mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberikan MPK.
“Tindakan peniaga membesarkan kawasan perniagaan dan menambah struktur binaan di kawasan yang tidak dibenarkan menimbulkan pelbagai rungutan daripada penduduk setempat yang mendakwa mereka ‘hilang’ tempat beriadah.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, MPK perlu mengambil tindakan kerana perkara itu melanggar undang-undang,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama wakil penduduk Air Putih di sini.
Hadir sama, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Air Putih Timur, Ong Seo Choon.
Mohd Hazmi turut menyelar pihak yang mempertikaikan tindakan itu malah melabelkan MPK zalim berikutan perkara itu.
Katanya, enam notis yang dikeluarkan MPK sudah cukup untuk menunjukkan bahawa peniaga terbabit sudah diberi masa yang cukup untuk melakukan perubahan.
“Bagaimanapun, mereka tetap berdegil dan berfikir MPK tidak berani bertindak. Perkara itu salah dan ia wajar dikenakan tindakan.
“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran kepada peniaga yang lain agar tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan PBT sehingga menjejaskan komuniti setempat,” katanya.
Katanya, MPK sedia membantu pihak terbabit mencari tapak perniagaan yang sesuai sekiranya mereka memohon.
Justeru, Mohd Hazmi mahu perkara itu tidak lagi menjadi isu kepada mana-mana pihak kerana tindakan itu adalah yang terbaik untuk semua.
“Saya harap MPK akan menyediakan prasarana riadah di tapak itu terutama untuk kanak-kanak dan juga warga emas serta komuniti setempat mendapat manfaat,” katanya.

projek naik taraf

Penduduk dakwa projek naik taraf tidak setimpal
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012
Penduduk dakwa projek naik taraf tidak setimpal
MUADZAM SHAH – Jawatankuasa penduduk Desa Dahlia mengibaratkan projek naik taraf pusat kegiatan di kawasan itu ‘indah khabar dari rupa’.
Mereka kesal dan mendakwa kerja naik taraf itu tidak memenuhi hasrat dipersetujui secara lisan antara kontraktor, jawatankuasa penduduk serta wakil Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB).
Difahamkan beberapa kemudahan diminta penduduk juga tiada sedangkan sebelum ia dilaksanakan, kontraktor bertanggungjawab bersetuju untuk melakukan kerja tersebut.
Lebih kesal, penduduk mendakwa projek bernilai RM35,000 diperuntukkan PLB untuk kerja naik taraf kedua-dua bangunan pusat itu tidak setimpal dengan hasil dilakukan dua kontraktor berasingan terbabit.
Ibarat lepas batuk di tangga
Ketua Umno Cawangan Desa Dahlia, Mohd Darus Yaakub berkata, jawatankuasa penduduk mempersoalkan sikap dua kontraktor yang diberi tanggungjawab untuk membaik pulih kedua-dua bangunan tersebut.
Menurutnya, kontraktor pertama diamanahkan untuk melaksanakan kerja baik pulih bangunan di pusat itu dengan nilai RM5,000.
Manakala katanya, kontraktor kedua pula dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja baik pulih bangunan asal yang turut menempatkan sebuah kabin dengan nilai RM30,000.
Bagaimanapun katanya, penduduk kecewa kerana kerja dilaksanakan kedua-dua kontraktor itu boleh diumpamakan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ selepas siap sepenuhnya sejak lebih dua minggu lalu.
“Kami sungguh terkilan kerana projek itu tidak memenuhi permintaan kami sebelum ini memandangkan terdapat beberapa kemudahan lain tidak disiapkan seperti dirancang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, PLB sepatutnya menilai sendiri kerja dilaksanakan kedua-dua kontraktor itu memandangkan terdapat beberapa kemudahan tidak dapat disiapkan seperti singki kabinet, paip air singki dan simen belakang hingga ke pagar.
Selain itu katanya, hasrat jawatankuasa supaya kontraktor memasang pintu pagar untuk ke taman bersebelahan juga tidak kesampaian.
Kontraktor tidak tunai janji
Ketua Desa Dahlia, Omar Jaafar berkata, penduduk juga kesal dengan sikap lepas tangan kontraktor selepas projek itu siap dan merayu supaya pihak berkenaan melaksanakan segala kemudahan dijanjikan sebelum ini.
Katanya, hanya terdapat beberapa kerja siap sepenuhnya seperti mengecat bangunan, menambah ruang belakang bangunan asal, mengganti pintu tandas dan pintu belakang bangunan baru serta menampal simen.
Menurutnya, penduduk tidak kisah sekiranya kontraktor mahu meraih keuntungan, namun berharap semua kemudahan tersedia seperti dipersetujui bersama.
“Kerja menampal simen di belakang bangunan tidak dilaksanakan sepenuhnya hingga menyebabkan penduduk tidak berpuas hati,” katanya.
Simen elak air bertakung
Ketua Wanita Desa Dahlia, Patimah Awang Besar berkata, cadangan menampal simen di bahagian belakang bangunan hingga ke pagar sejauh 1.5 meter bertujuan mengelak air hujan bertakung di kawasan berkenaan.
Katanya, ia berikutan air akan bertakung di belakang pusat itu hingga menyukarkan penduduk menjalankan sebarang aktiviti setempat terutama pada musim tengkujuh.
“Kami berharap masalah ini dapat diatasi sebaiknya dengan adanya peruntukan itu. Namun, kami terkilan apabila kontraktor tidak dapat menampal simen di bahagian belakang bangunan yang sering bertakung air,” katanya.
Timbalan Ketua Wanita Desa Dahlia, Ros Adibah Abu berkata, kontraktor juga dipercayai menggunakan atap lama di bahagian belakang bangunan itu.
“Kami sungguh kesal kerana kontraktor mengguna pakai barangan lama untuk memasang atap baru di belakang bangunan lama pusat ini,” katanya.
Ikut skop tugasan
Sementara itu Pegawai Daerah, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, Projek itu sebenarnya dipersetujui PLB dan jawatankuasa penduduk.
“Sebelum pelaksanaan sebarang projek, kita akan buat pelan komunikasi dengan memanggil jawatankuasa dan ketua desa untuk membincangkan mengenai keutamaan serta keperluan berdasarkan peruntukan.
“Perkara ini sudah dibincangkan dan keputusan mengenainya juga dicapai untuk menentukan perlaksanaan projek itu,” katanya.
Beliau berkata, kontraktor hanya menjalankan kerja-kerja naik taraf seperti terdapat dalam skop tugasan.
“Jika mereka tidak berpuas hati, jawatankuasa penduduk boleh buat aduan kepada ketua desa dan membawa perkara ini kepada wakil rakyat atau pegawai daerah,” katanya.

Wednesday, April 18, 2012

modal insan

ARKIB : 18/04/2012

Program pembangunan modal insan di Lipis berjaya


Pensyarah dan guru pelatih IPGKTAA bersama murid Orang Asli mengadakan program pendidikan kesihatan di Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 17 April - Daerah Lipis antara yang bertuah kerana kerajaan Persekutuan dan negeri memberi fokus terhadap projek pembangunan modal insan berasaskan transformasi dalam bidang pendidikan untuk penduduk luar bandar dan pedalaman.
Sehingga kini, daerah ini memiliki pelbagai institusi pendidikan seperti Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di Bukit Sarang; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Lanar; Kolej Komuniti cawangan Lipis dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Lipis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya kini berusaha memohon agar kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibina di Bukit Sarang bagi memenuhi keperluan dalam bidang pengajian seperti pelancongan, perhutanan, perniagaan dan keusahawanan.
"Kita mempunyai tapak yang sesuai di Bukit Sarang jika Kementerian Pengajian Tinggi mahu membina kampus berkenaan di sini.
"Sesuai dengan tempias pembangunan oleh kerajaan negeri di Pahang Barat, Lipis berupaya mengambil bahagian dan menjadi pemacu dalam sektor pendidikan kerana permintaan sumber manusia serta pasaran kerja yang semakin meningkat termasuk program keusahawanan," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Mengenai kewujudan IPGKTAA beliau memberitahu, penduduk tempatan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana penubuhan institut berkenaan antara perintis pembangunan pendidikan di sini.
Katanya, institut itu menjadi mercu tanda pendidikan khususnya latihan perguruan kepada ramai guru berijazah untuk dihantar ke luar bandar dan pedalaman Pahang termasuk tempat lain di negara ini.
Tambahnya, sehingga kini IPGKTAA berjaya melahirkan ramai golongan pendidik yang mengajar di pedalaman daerah ini khususnya di kawasan penempatan Orang Asli.
Katanya, antara sekolah kebangsaan di pedalaman dan penempatan Orang Asli yang menerima kehadiran guru lepasan institut itu ialah di Pos Lenjang, Pos Senderut, Pos Titom, Pos Pantos, Pos Lanai dan perkampungan di pesisiran Sungai Jelai.

jom masuk uitm

ARKIB : 18/04/2012

Program Jom Masuk UiTM, UPM dapat sambutan


Norayini Ali (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Shahazudin Abu Ruddin selepas merasmikan program Jom Masuk Program UiTM, UPM di Bangunan UMNO Mentakab, Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 17 April - Kolej Teknologi Timur (KTT) yang menjalankan program bersekutu dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Jom Masuk UiTM dan UPM di Bangunan UMNO Mentakab di sini baru-baru ini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Norayini Ali berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencari peluang melanjutkan pengajian di kolej berkenaan.
Menurutnya, kolej tersebut merupakan kolej bersekutu yang diiktiraf institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti UPM, UiTM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan menawarkan program di peringkat sijil, pradiploma dan diploma.
''Lebih membanggakan KTT turut diberi kepercayaan menjalankan program Cambridge 'A' Level selama dua tahun yang membuktikan kolej itu diiktiraf di seluruh dunia.
''Program yang dijalankan di sini merupakan pendedahan kepada pelajar lepasan SPM supaya mereka memilih kursus yang diminati berdasarkan keputusan peperiksaan masing-masing,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Shahazudin Abu Ruddin dan dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah KTT, Azril Rizal Yusof Sarit dan Ketua Unit Sektor Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh, Mohd. Affendey Mohd. Saad.
Menurut beliau, pelajar cemerlang yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke mana-mana IPTA tetapi terhalang akibat persaingan hebat berpeluang menuntut di kolej tersebut.
''Ini kerana, semua kursus yang ditawarkan di KTT adalah diiktiraf di universiti terbabit, malah diploma yang diterima kelak dikeluarkan oleh universiti itu.
''Oleh itu, lepasan SPM mempunyai peluang meneruskan cita-cita mereka kerana kolej ini menyediakan program pendidikan berkualiti, terjamin dan berintegriti,'' katanya.
Menurutnya, antara program usahasama dengan UiTM ialah Diploma Seni Reka dan Media Digital, Diploma Seni Reka Fesyen, Diploma Komunikasi dan Media, Diploma Sains, Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat, dan Pradiploma Sains.
Bagi program usahasama dengan UPM pula jelasnya, mereka menawarkan program Diploma Pembangunan Manusia, Diploma Sains Komputer di samping program dalaman KTT seperti Diploma Kejururawatan, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Pengurusan Perniagaan, Sijil Sains Komputer dan lain-lain.

cikgu berbakat

ARKIB : 18/04/2012

Guru pelatih Tengku Ampuan Afzan pamer bakat seni


(DARI kiri) Norfazilah Abd. Ghani, Nurul Barsyiah Yahya, Norhafizah Hanafi dan Nurul Husna Mohd. Fauzi membuat persembahan sempena sambutan Jubli Perak IPGKTAA di Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 17 April - Di sebalik kecemerlangan Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis di sini sebagai pusat melatih guru berijazah, institut itu turut melahirkan bintang seni bagi mewarnai dunia perguruan di negeri ini.
Empat gadis yang mengikut Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di sini merupakan antara bintang seni di institut ini
Mereka boleh dikatakan sebagai penyanyi IPGKTAA yang cukup dikenali walaupun tidak sehebat Datuk Siti Nurhaliza tetapi penampilan bakat guru-guru berkenaan tetap terserlah dan menghiburkan.
Guru pelatih yang dimaksudkan ialah Norfazilah Abd. Ghani (PISMP Seni Visual), Nurul Barsyiah Yahya (PISMP Seni Visual), Norhafizah Hanafi (PISMP Prasekolah) dan Nurul Husna Mohd. Fauzi (PISMP Prasekolah).
Keempat-empat guru terbabit mempamerkan bakat mereka dengan menyampaikan beberapa lagu semasa lawatan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sempena sambutan Jubli Perak IPGKTAA di sini baru-baru ini.
Gubahan muzik yang kontemporari di samping bakat serta gaya persembahan seperti penyanyi yang terkenal merupakan sentuhan pensyarah muzik, Shamsuri Shafie, Umran Shamsuddin dan Shahariman Hamid.
Norhafizah ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, penyertaan sebagai penyanyi hanya kebetulan apabila pihak institut itu memerlukan seorang guru menyampaikan lagu-lagu tertentu dalam acara keramaian.

bantuan sewa rumah

ARKIB : 18/04/2012

35 keluarga miskin dapat bantuan sewa rumah


Mohd. Zaili Besar (belakang, tengah) bergambar dengan sebahagian penerima bantuan sewa rumah di Kuantan, semalam.


KUANTAN 17 April - Sebanyak 35 buah keluarga miskin dari bandar ini menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM124 sebulan selama setahun.
Bantuan melalui peruntukan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd. Zaili Besar.
Mohd. Zaili berkata, beliau berharap bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan miskin membayar sewa rumah mereka.
"Bantuan sewa rumah ini disalurkan kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang menyewa agar mereka mempunyai tempat tinggal selesa," katanya ketika berucap pada Program Penyampaian Bantuan Sewa Rumah 'E-Kasih' Daerah Kuantan di sini hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob.
Menurut beliau, bantuan ini juga diharap dapat membuka minda serta memotivasikan diri penerima supaya berusaha gigih untuk menambahkan pendapat isi rumah serta tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.
Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Ibrahim A. Bakar, 53, dari Kampung Lubok Puyu di sini berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana memilihnya untuk mendapat bantuan sewa rumah ini.
"Walaupun sedikit namun ia sedikit sebanyak dapat membantu saya mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya yang mempunyai 11 orang anak.
Sementara itu, seorang ibu tunggal Faridah Rajah, 53, berkata, dia gembira kerana terpilih menerima bantuan ini yang secara tidak langsung dapat mengurangkan perbelanjaan keluarganya.
"Saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan ini. Diharap selepas ini ada lagi bantuan lain yang diberikan kepada golongan seperti saya ini," katanya.

Sunday, April 15, 2012

kobera

ARKIB : 15/04/2012

SKM stabilkan 15 Kobera di Pahang


Zazali Harun (duduk dua dari kiri) bersama Ahmad Shukri Ismail (duduk tengah) dan Lau Lee (duduk dua dari kanan) bersama kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.


JERANTUT 14 April - Sebanyak 15 Koperasi Bela Rakyat (Kobera) di negeri ini akan distabilkan semula oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berikutan kegagalan koperasi terbabit menguruskan perniagaan mereka dengan berkesan.
Pengarah SKM Pahang, Zazali Harun berkata, langkah itu diambil berikutan kegagalan koperasi berfungsi dengan baik yang berpunca daripada masalah dalaman seperti pengurusan.
Menurutnya, Kobera merupakan koperasi yang ditubuhkan oleh SKM bagi membantu peserta di bawah garis kemiskinan terutama golongan miskin dan miskin tegar melibatkan diri dalam perniagaan, sekali gus menambah pendapatan mereka.
"Kerjasama pemimpin serta agensi kerajaan terbabit yang tampil memberi tunjuk ajar, khidmat nasihat dan projek ekonomi bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka malah, berjaya mengeluarkan golongan itu daripada kemiskinan," katanya selepas majlis perasmian Program Taklimat Gerakan Koperasi di Padang Bola Sepak Jerantut, di sini baru-baru ini.
Program yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail itu turut dihadiri ADUN Damak, Datuk Lau Lee.
Zazali berkata, SKM menyediakan pelbagai dana untuk menggerakkan aktiviti ekonomi Kobera seperti peruntukan permulaan projek berjumlah RM30,000 selain bantuan pembangunan dan pengukuhan projek.
Menurutnya, ahli lembaga Kobera perlu bergerak aktif bersama kepimpinannya untuk membolehkan projek ekonomi bersesuaian dapat dilakukan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan ahli.
Beliau turut memuji Kobera Pulau Tawar di sini yang menjadi antara koperasi paling aktif dan berjaya di negeri ini kerana mempunyai projek ekonomi tersendiri iaitu pembuatan kuih bahulu.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, koperasi di negara ini antara organisasi berstruktur yang terbaik selain menjadi jentera ekonomi ketiga kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, kegagalan segelintir koperasi adalah kerana masalah pengurusan dan dalaman pengurusan itu sendiri selain tiada penglibatan pemimpin setempat.

Friday, April 13, 2012

jalan ke merapoh dah ok

ARKIB : 13/04/2012

Terima kasih kerajaan naik taraf jalan Kuala Lipis-Merapoh


Jalan Kuala Lipis ke Merapoh antara laluan yang akan dinaik taraf untuk keselesaan penduduk di Merapoh, Kuala Lipis.


SAYA penduduk kawasan Merapoh terpanggil melahirkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana melaksanakan projek menaik taraf jalan raya dari Kuala Lipis ke Merapoh.
Saya difahamkan projek sejauh 85 kilometer itu bermula dari Kampung Relong dan kini dalam proses mengenal pasti jajaran baru, mengurangkan selekoh dan bukit sekali gus dapat memberikan keselesaan serta keselamatan kepada pemandu kenderaan.
Ingin dinyatakan bahawa jalan raya itu antara laluan 'panas' yang sering melibatkan kemalangan maut membabitkan pelbagai jenis kenderaan serta kehilangan nyawa dan harta benda.
Tragedi bas terbalik dan berlanggar sehingga membabitkan nyawa manusia ketika musim perayaan dilaporkan media beberapa tahun lalu sudah cukup menginsafkan pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri betapa pentingnya kemudahan jalan raya baru dan selamat.
Laluan yang kerap mengundang kecelakaan iaitu di Bukit Tujuh, Pagar Sasak, Chegar Perah, Sungai Temau dan berdekatan Merapoh antara senario yang mencatat sejarah hitam di kalangan mereka yang masih hidup serta pernah terbabit dengan kemalangan itu.
Menerusi Rakan Pahang ini, saya memohon kepada kerajaan negeri membina sebuah lagi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berdekatan Bukit Tujuh untuk kemudahan pemandu khususnya mereka yang berulang alik dari Lembah Klang ke Kelantan.
Saya berpendapat pemodenan jalan raya antara Kuala Lipis ke Merapoh memang tepat pada masanya kerana usaha melestarikan pembangunan dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat dipercepatkan serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Jalan raya yang selesa dan selamat memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kita tidak akan kehilangan ramai lagi insan yang tidak berdosa akibat kecuaian pihak lain.
Akhir kata, syabas kepada kerajaan negeri dan diharapkan usaha membaik pulih dan menaik taraf jajaran di laluan berkenaan dipercepatkan sekali gus menzahirkan janji kerajaan BN Pahang untuk rakyat di daerah Kuala Lipis sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.
AYUNI MULTATULLAH
Kampung Relau, Merapoh

rompak di jengka 20

Dua warga emas kena samun, belasah
Wartawan Sinar Harian
13 April 2012
Anak Siti Fatimah menunjukkan bagaimana penyamun memasuki rumahnya.
Tangan kiri Siti Fatimah yang patah akibat dipukul bertubi-tubi menggunakan belakang parang.
JENGKA 20 – Dua rumah di Felda Jengka 20 disamun sekumpulan perompak bersenjatakan parang hingga menyebabkan lima mangsa dari dua keluarga itu mengalami kecederaan.

Mangsa, Kamariah Awang, 55, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama anak manakala suaminya, Abdul Razak Hassan, 65, tidur di bilik berasingan.

“Saya terjaga dari tidur akibat disuluh dengan lampu oleh penjenayah. Sebaik sahaja terjaga, saya terus dipukul dengan sebatang kayu.

“Suami saya yang terjaga kerana mendengar kekecohan terbabit terus menjenguk bilik saya dan menolak penjenayah yang memukul saya ketika itu,” katanya.

Tambahnya, penjenayah terbabit terjatuh sebelum bangkit semula dan menetak suami mangsa menggunakan sebilah parang.

“Penjenayah terbabit menetak suami saya beberapa kali sehingga menyebabkannya cedera di bahagian kepala, bahu kanan dan pergelangan tangan kiri,” katanya.

Dalam kejadian pergelutan terbabit, penjenayah sempat merampas seutas rantai leher dan gelang tangan yang dianggarkan bernilai lebih RM1,000.

“Penjenayah bertindak ganas merampas rantai dan gelang saya sehingga menyebabkan leher dan pergelangan saya lebam.

“Ketika itu, saya lihat darah suami saya berselerak di lantai sebelum penjenayah terbabit terus mendesak saya menyerahkan barang berharga,” katanya.

Sementara itu, menantunya, Nasaruddin Omar, 42, yang sedang tidur di ruang tamu ketika kejadian tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan keluarganya.

“Ketika itu, seorang daripada penjenayah bertindak mengacukan parang kepada saya. Saya terdetik untuk melawan, namun memikirkan dua anak saya ada bersama, saya bertindak mendiamkan diri dan menyelubungi kedua anak saya dengan selimut agar mereka mendiamkan diri,” katanya.

Menurut Nasaruddin, penjenayah terbabit dipercayai memasuki rumahnya dengan memotong besi tingkap di salah satu bilik rumahnya.

Selepas perompak terbabit melarikan diri, mangsa bertindak menghubungi polis dan suaminya di bawa ke Hospital Jengka untuk menerima rawatan.

Kejadian yang sama turut terjadi kepada sebuah lagi rumah milik Siti Fatimah Ismail, 59, di tanah rancangan terbabit.

Dalam kejadian itu, Siti Fatimah yang terdengar jeritan anak perempuannya, Azura Mohamad, 30, yang sedang tidur di ruang tamu bersama seorang jiran, Munah Sahadan, 73, bergegas untuk menyelamatkan mereka.

Namun salah seorang daripada empat penjenayah terbabit bertindak ganas memukul mangsa dengan menggunakan belakang parang sehingga mengakibatkan tangan kanannya patah.

Menceritakan detik cemas terbabit, Siti Fatimah yang masih trauma memberitahu, penjenayah terbabit turut meragut dua gelang tangan emas miliknya dan anak perempuannya.

“Kejadian berlaku dengan pantas. Di sebuah bilik, menantu saya yang mendengar pergelutan itu menjerit dan memberitahu polis akan datang.

“Mungkin kerana terkejut mendengar jeritan menantu saya, kesemua perompak itu melarikan diri,” katanya.

Dalam kejadian itu juga, anak perempuannya mengalami kecederaan di kepala dan kini turut dirawat di Hospital Jengka manakala Munah pula hanya cedera ringan.

Seperti mangsa pertama, perompak terbabit turut memasuki rumah Siti Fatimah dengan cara memotong besi tingkap di bahagian belakang rumahnya.


Felda perketatkan kawalan

Sejurus dimaklumkan kejadian terbabit, pihak pengurusan Felda menggesa agar kawalan sedia ada di tanah rancangan terbabit diperketat lagi.

Pengerusi Felda Jengka 20, Aman Aloi, berkata, kampung terbabit telah dikawal ketat oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR), ahli Rela dan penduduk kampung secara bergilir-gilir.

“Malah kejadian ini berlaku 10 minit selepas peronda meronda kawasan terbabit. Mungkin selepas rondaan dilakukan, barulah mereka bertindak.

“Tambahan pula, rumah mangsa juga berdekatan dengan ladang, jadi berkemungkinan penjenayah terbabit datang dari ladang berdekatan,” katanya.

Tambahnya, melalui tinjauan penduduk yang berjaga di pintu masuk mendapati tiada kenderaan mencurigakan masuk atau keluar dari tanah rancangan terbabit pada malam itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu polis sedang melakukan siasatan.

“Siasatan sedang dilakukan di bawah kesalahan samun berkawan bersenjatakan parang dan kejadian samun itu dipercayai membabitkan empat suspek.

“Kami sedang giat menjalankan operasi untuk mengesan suspek terbabit dan mengharapkan kerjasama penduduk sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi pihak polis dengan segera,” katanya.

samun rumah
Kamariah menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh penjenayah dengan menggunakan kayu.