Monday, January 30, 2012

lawan perompak

Pemilik kedai emas lawan penyamun

KUANTAN 30 Jan. - Dua lelaki yang dipercayai penyamun lari lintang-pukang selepas seorang pemilik kedai emas bertindak agresif melawan suspek di Taman Perumahan Merapoh dekat Kuala Lipis pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud, dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa berusia 41 tahun baru selesai berkemas dan mahu menutup premisnya.

Katanya, tiba-tiba muncul dua lelaki yang menutup muka lalu mengacukan sebilah parang panjang dan sepucuk pistol kepada mangsa.

"Mangsa yang mengecam pistol itu adalah pistol tiruan bertindak melawan suspek yang berada hampir dengannya.

"Mangsa bergelut dan berlawan dengan suspek sehingga menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa lalu melarikan diri," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

nak rampas triang

Barisan Nasional yakin rampas kembali DUN Triang

BERA 30 Jan. - Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang pada pilihan raya umum akan datang selepas banyak transformasi yang dibuat oleh kerajaan untuk membantu rakyat di kawasan itu.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perubahan yang dibuat di peringkat nasional juga telah banyak membuka mata kaum Cina terutamanya transformasi ekonomi.

"Ini kerana ekonomi amat penting kepada kaum Cina. Pada pendapat saya kaum Cina melihat pada kemampuan kerajaan untuk menyediakan peluang ekonomi kepada mereka.

"Jadi apabila semua ini dilakukan oleh kerajaan, saya rasa ia akan mempengaruhi undi bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di bandar-bandar kecil seperti di Triang," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Jamuan Tahun Baru Cina di Padang Sekolah Menengah Triang di sini semalam.

Ismail yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, banyak program yang disertai beliau terutama di Triang akhir-akhir ini menunjukkan respons baik daripada kaum tersebut.

"Malah yang menyertainya bukan bukan sahaja daripada golongan dewasa, golongan belia turut bersama kita dalam setiap program.

"Seperti program hari ini, pada mulanya saya jangka tidak seramai ini, tetapi apabila saya datang, tidak percaya ramai yang datang," katanya.

Beliau yakin jika momentum itu dapat dikekalkan dan tidak ada isu besar dimainkan, BN akan menguasai sepenuhnya DUN Triang.

jamuan tahun baru

3,000 hadir sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Bera

KUANTAN 30 Jan. - Lebih 3,000 penduduk pelbagai kaum sekitar daerah ini hadir pada Majlis Jamuan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Bera di Padang Sekolah Menengah Triang di sini semalam.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi itu turut disertai dengan pelbagai acara seperti tarian naga, nyanyian dan tarian.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai yang hadir pada majlis itu terdiri daripada pelbagai kaum.

"Turut diadakan ialah jamuan yang terdiri daripada makanan pelbagai kaum seperti India dan Melayu," katanya di sini.

Sunday, January 29, 2012

ambil iktibar dari pantai sepat

Tragedi Pantai Sepat: Iktibar kepada pihak berkuasa, orang ramai

Oleh Mohd. Fairuz Yusof
utusanpahang@utusan.com.my

CUTI musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini mencatat kenangan pahit di negeri ini apabila tiga kematian akibat tragedi mati lemas berlaku di Pantai Sepat, Kuantan pada 22 dan 23 Januari lalu.

Tragedi tersebut meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja keluarga mangsa terbabit tetapi juga seluruh rakyat negeri ini yang turut simpati terhadap kejadian itu.

Dalam kejadian pertama pada 22 Januari lalu, dua beradik lemas ketika mandi-manda di Pantai Sepat bersama keluarga mereka yang menghabiskan cuti musim perayaan itu.

Mohd. Zaiful Abu Talib, 13, dan adik tirinya, Mohd. Saiful Mohd, 11, dari Sungai Isap, Kuantan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Keesokan harinya, Pantai Sepat meragut lagi seorang remaja iaitu R.Avin, 16, dari Air Putih, Kuantan ketika mereka berkelah di situ.

Tiga kematian dicatatkan dalam tempoh dua hari dan lima nyawa dalam tempoh Januari ini. Jumlah yang dicatatkan dalam tempoh itu merupakan sesuatu yang menyedihkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff, keadaan cuaca tidak menentu di negeri ini berikutan musim Monsun Timur Laut yang diramalkan sehingga Mac depan bukanlah tempoh sesuai untuk membawa ahli keluarga bermandi-manda di pantai.

Pihak berkuasa juga telah menaikkan bendera merah di pesisir pantai bukan sahaja di Pantai Sepat tetapi juga di kawasan lain bagi memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak bermandi-manda di situ.

Bagi Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pula, mereka menambah lebih banyak papan tanda amaran mengenai bahaya mandi sewaktu hujan dan ombak besar di pantai tumpuan orang awam terutamanya di Pantai Sepat.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zukkifli Yaacob berkata, pihaknya sebelum ini hanya meletakkan papan tanda amaran di kawasan yang dianggap sebagai tumpuan sahaja.

"Sebagai langkah untuk mengelakkan kejadian ini (lemas) daripada terus berlaku, MPK dalam masa terdekat akan memasang lebih banyak papan tanda amaran terutama di Pantai Sepat selepas lima kematian berlaku pada bulan ini.

"Kita juga akan menaikkan bendera merah sebagai amaran sekiranya pantai tersebut berbahaya dan tidak boleh ada aktiviti pada waktu itu. Orang ramai juga perlu pastikan ada amaran atau tidak sebelum mandi," katanya

Papan tanda itu bukan sahaja diletakkan di pantai tersebut tetapi juga di Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam di Kuantan.

Namun, atas ikatan kekeluargaan, pantai menjadi lokasi terbaik mengeratkan hubungan silaturahim tetapi boleh membawa padah jika tidak mengambil langkah keselamatan supaya mengelakkan sesuatu kejadian buruk berlaku di situ.

Di sekitar pantai negeri ini khususnya di kawasan Pahang Timur, perubahan Monsun Timur Laut boleh mengundang bahaya kepada mereka yang ingin berkelah di tepi pantai.

Selain keadaan angin kuat, deruman ombak juga boleh mengundang rasa bimbang sekiranya mahu bermandi di kawasan pantai.

Penulis pergi ke pantai tersebut bagi melihat sendiri bagaimana keadaannya dan didapati kawasan berkenaan tidak sesuai untuk bermandi-manda.

Walaupun tempat tersebut bersih dan tidak dicemari sebarang pembangunan tetapi pengunjung yang ingin berkelah di situ boleh menilai situasi pantai sama ada ia sesuai untuk mandi atau tidak.

Jika bahaya, elakkan membenarkan anak-anak mereka bermandi di situ. Ini kerana keadaan itu sekurang-kurangnya dapat mengelakkan mereka daripada kehilangan ahli keluarga.

Walaupun ketiga-tiga pantai berkenaan kurang popular, tetapi ia menjadi tumpuan walaupun jumlahnya tidak ramai.

Di sinilah pihak berkuasa khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) memberi perhatian terhadap kawasan tersebut kerana jumlah pengunjung akan meningkat terutama pada cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan cuti perayaan.

Bukan mahu menambah beban kepada agensi kerajaan tersebut dalam tugas mereka, tetapi bersama-sama memantau keadaan di pantai supaya mengelak sesuatu tragedi lebih buruk berlaku di situ.

Jika adanya pasukan itu sekurang-kurangnya ia memberi teguran kepada pengunjung terbabit supaya tidak bermandi manda dan hanya memerhatikan pergerakan mereka supaya tidak mendekati pantai jika keadaan pantai tidak mengizinkan.

Kepada pengunjung khususnya ibu bapa, jika keadaan pantai merbahaya, elakkan bermandi dan lakukan aktiviti yang tidak menjemukan mereka.

Justeru, tragedi yang berlaku itu membawa iktibar kepada semua supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengawasi pergerakan anak mereka ketika berada di pantai.

Saturday, January 28, 2012

tapak rumah

Tapak rumah untuk golongan berpendapatan rendah

28 Januari 2012

JERANTUT - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar yang belum mempunyai tapak rumah bakal memperolehnya tidak lama lagi, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.

Beliau berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut sedang meneliti pembahagian lot tapak berkenaan.

"Sebanyak 700 lot tapak rumah akan disediakan di Kampung Bukit Rang, Simpang Jengka Lapan, Kampong Perak dan Kampung Ibul Tunggal kesemuanya di Pulau Tawar.

"Nama-nama pemohon sedang dikaji dan diteliti sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk diluluskan," katanya pada majlis perjumpaan dan dialog bersama penduduk Pulau Tawar dekat sini, semalam.

Ahmad Shukri berkata, pemberiaan lot tanah itu merupakan satu mekanisme kerajaan untuk menyelesaikan masalah penempatan golongan belia yang sudah berkeluarga dan penduduk setempat yang berpendapatan rendah untuk membina rumah.

Dalam pada itu, beliau berkata kawasan seluas 150 hektar di simpang Felda Jengka 8 akan dibangunkan sebagai Pusat Pertumbuhan Desa dengan pelbagai projek termasuk perumahan, rumah kedai dan kemudahan-kemudahan lain.

Kerja-kerja membersih kawasan tersebut sedang dilakukan dan 200 buah unit rumah pelbagai jenis akan dibina di kawasan itu tahun ini, katanya. - Bernama

terjejas

Peniaga pasar besar terjejas
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Januari 2012
Peniaga pasar besar terjejas
KUALA ROMPIN – Peniaga Pasar Besar Kuala Rompin mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian setiap hari berikutan mengalami masalah kekurangan pelanggan selepas kewujudan dua pasar raya di bandar ini.

Pembukaan dua pasar raya yang turut menawarkan barangan basah itu menyebabkan pembeli lebih selesa membeli-belah di pasar raya berbanding di Pasar Besar Kuala Rompin.

Seorang peniaga ikan, Rusitah Muhamed, 42, berkata, kekurangan pelanggan menyebabkan pendapatannya semakin merosot dan terjejas teruk sejak berpindah ke pasar baru itu.

“Pelanggan biasanya lebih senang membeli barangan basah di pasar raya itu kerana ia terletak di tengah-tengah bandar Kuala Rompin, berbanding kedudukan pasar ini yang jauh ke dalam,” katanya kepada Sinar Harian.

Rusitah berkata, peniaga juga amat tertekan dan menyifatkan pembukaan pasar raya tersebut melumpuhkan perniagaan kecil-kecilan di pasar besar itu.
“Sudahlah sebelum ini pelanggan susah untuk singgah ke pasar besar disebabkan masalah pengangkutan awam.

Kini timbul pula masalah lain apabila wujud dua pasar raya yang turut menawarkan barangan sama seperti yang ada di pasar ini,” katanya.

Seorang peniaga sayur, Khatijah Buruk, 61, berkata, dia tidak pernah berdepan masalah kekurangan pelanggan sejak berniaga sayur lebih 10 tahun lalu.
Namun katanya, sejak pembukaan dua pasar raya itu, dia berasa seolah-olah tertindas.

“Kami peniaga kecil tidak mempunyai modal besar kerana hanya menjual sayur. Jadi pembukaan dua pasar raya di tengah-tengah bandar ini menyebabkan perniagaan kami terus lumpuh,” katanya.

Sehubungan itu dia berkata, peniaga kecil-kecilan sepertinya berharap kerajaan dapat membantu menangani hal itu memandangkan kebanyakan daripada mereka hanya bergantung kepada perniagaan terbabit.

“Inilah punca pendapatan kami sejak sekian lama. Namun jika masalah ini terus berlaku, pasar besar ini mungkin akan hilang pelanggan kerana kebanyakan mereka lebih selesa membeli di pasar raya,” katanya.

Rohani Mohd Lidin, 38, berkata, pembukaan sebuah pasar raya di bandar ini menyebabkan pendapatan mereka merosot teruk hingga mengakibatkan sebahagian daripada peniaga sayur terpaksa ‘gulung tikar’.
“Kalau tiada untung, bagaimana kami mahu berniaga? Jadi tidak hairanlah apabila ramai peniaga sayur di sini ambil keputusan untuk cari kerja lain bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

giat mara buat rumah

Giatmara bina 90 unit rumah baru di Pahang

27 Januari 2012

RAUB - GiatMara akan membina 90 unit rumah baru dan membaik pulih 592 unit rumah lama di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di
Pahang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM9.4 juta bagi program itu.

Projek itu merupakan program fasa kedua bagi negeri Pahang, di mana pada fasa pertama tahun lepas sebanyak 21 unit rumah baru telah dibina dan 28 unit rumah lama dibaiki, membabitkan peruntukan lebih RM4 juta, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak RM11,000 diperuntukkan bagi membaik pulih seunit rumah manakala RM40,000 bagi membina sebuah rumah baru dan kerja-kerja itu dilakukan pelatih GiatMara, kontraktor bekas pelatih GiatMara serta kontraktor kelas F.

"GiatMara mempunyai tenaga pelatih yang cukup dan mahir dalam bidang pembinaan rumah dan ia merupakan pendedahan awal kepada pelatih sebelum mereka tamat latihan," katanya yang ditemui selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina pemimpin parti dan masyarakat Cina Daerah Raub.

Mengulas perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga kini sejumlah 16 Pusat GiatMara ditubuhkan di Pahang yang menyediakan latihan antaranya dalam bidang elektrik, mekanikal, seni bina dan jahitan.

Pada masa ini terdapat 2,000 pelatih sedang mengikuti pelbagai kursus di pusat terbabit, katanya. - Bernama

tak mau bedah

Tidak mahu bedah wajah
Wartawan Sinar Harian
28 Januari 2012
Tidak mahu bedah wajah
LIPIS, Pahang - Walaupun mendapat tawaran pembiayaan pembedahan dari pihak pengurusan Felda bagi membuang ketumbuhan yang ada di permukaan wajah, namun seorang wanita di sini nekad untuk tidak melakukannya.

Wanita tersebut, Norhaliza Mat Said, 35, berkata, sebelum ini dia pernah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali untuk membuang ketumbuhan itu namun tidak berhasil.

Menurutnya, sepanjang tiga kali menjalani pembedahan tersebut keluarganya telah membelanjakan wang mencecah puluhan ribu ringgit bagi menanggung kos pembedahan terbabit.

“Saya mengalami masalah ketumbuhan di wajah ini, sejak lahir lagi dan menjalani tiga kali pembedahan untuk membuang lebihan isi yang tumbuh di muka.

“Walaupun begitu selang beberapa tahun lebihan isi tumbuh kembali dan wajah saya kembali kepada bentuk asal,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad sempena Program Sentuhan Akar Umbi (PSAU), di sini, kelmarin.

Dalam kunjungan tersebut Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan makanan kepada Norhaliza.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Lipis, Abu Jimi Samat; Pengurus Felda Kechau 1, Kamal Kemon; Pegawai Seranta Felda, Syed Mohd Ali Faqeh Muqaddam Syed Mohd Al Baqir dan Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita (GPW) Felda Kechau 1, Khalijah Ariffin.

Norhaliza berkata, walaupun mengalami masalah dari segi paras rupa namun dia bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

maut

Peniaga maut nahas, motosikal dirempuh kereta
Wartawan Sinar Harian
29 Januari 2012
Maut
BERA – Seorang peniaga yang menunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta Proton Myvi apabila mangsa keluar simpang tanpa berhenti di Kilometer 2 Jalan Lama Triang - Bahau berdekatan Klinik Kesihatan Triang, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, mangsa, Tan Ken Cheng, 46, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai keluar dari simpang tanpa berhenti terlebih dahulu menyebabkan dia dirempuh kuat serta diheret beberapa meter.
 
“Mangsa meninggal di tempat kejadian dipercayai cedera teruk di kepala. Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
 
Katanya, mangsa di bawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk dibedah siasat.
 
Mohd Zahid berkata, pengguna seharusnya lebih prihatin dengan peraturan lalu lintas supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini seperti ini.
 
“Sepatutnya, pada setiap simpang keluar, pengguna mesti berhenti dahulu sebelum memastikan ia benar-benar selamat untuk keluar.
 
“Memandangkan kawasan ini mempunyai banyak simpang atau lorong kecil, pengguna perlu berhati-hati lebih-lebih kenderaan akan bergerak laju di jalan utama di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Friday, January 27, 2012

mb jangan layan

MB Pahang tidak perlu layan

YOPE KEY-DARE,
Kuantan

KALAU diturutkan puak pembangkang, 'benang yang basah pun boleh ditegakkan', termasuklah dalam memperkatakan sehingga memberi gambaran buruk tentang projek pemprosesan logam tanah jarang, Lynas bernilai RM2,300 juta di Gebeng, dekat sini.

Di sebalik sekadar 'minoriti lantang' (vocal minority) yang bermatian-matian berusaha mewujudkan persepsi negatif terhadap projek oleh Lynas Malaysia Sdn. Bhd. itu, mereka berjaya juga mempengaruhi segelintir penduduk Kuantan khususnya masyarakat Cina.

(Minoriti lantang ialah segelintir individu yang sering meluahkan pendapat mereka kepada khalayak, bertentangan dengan majoriti senyap yang merupakan sebahagian besar masyarakat namun jarang meluahkan pendapat mereka).

Inilah kejayaan mereka yang hendak dipertahan dan dikekalkan, lalu mereka sentiasa merangkakan aktiviti baharu agar 'momentum' yang ada tidak terencat, sebaliknya disemarakkan dari satu tahap, ke satu tahap lain.

Yang terbaharu ialah dengan mencadangkan debat mengenai isu ini dianjurkan, kononnya supaya orang ramai dapat membuat penilaian tersendiri tentang projek yang ditohmahkan sebagai amat berbahaya kepada keselamatan dan kesihatan.

Maka, tidak adalah yang lebih menarik perhatian terhadap debat ini daripada Ahli Parlimen pembangkang dari Kuantan, Fuziah Salleh, menawarkan untuk beradu-debat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.

Seperti sudah terhidu dengan strategi terbaharu inilah, Adnan yang diminta mengulas tentang gesaan berdebat itu semasa ditemui oleh wartawan pada satu majlis di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), 17 Januari lepas, telah menyahutnya secara positif namun menegaskan;

"Awak sendiri lihat betapa penentang-penentang projek Lynas ini, kita telah pun berikan kepada mereka segala fakta, segala penerangan yang dilakukan oleh pakar-pakar nuklear, pakar radiasi tetapi mereka masih tidak dapat terima.

"Apakah maknanya ini? Mereka ialah golongan yang bersikap tidak peduli apa. Kepada golongan sebegini, kita boleh berikan segala penjelasan tetapi jika mereka terus bersikap tidak peduli apa, agama saya sarankan agar kita tidak perlu bertikam lidah, kita tidak perlu untuk memberi sebab-musabab (reason-out) kepada mereka".

Tepat sekali kata-kata Adnan itu, dan beliau sudah tentu tahu apa yang dikatakannya kerana sebelum inipun - lama sebelum projek pemprosesan logam tanah jarang ini menjadi isu sebagaimana sekarang; beliau juga pernah bertemu dan berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan Ahli Parlimen wanita itu.

Hasil daripada itulah yang turut menyumbang kepada keputusan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membawa pakar-pakar bebas mahupun yang bernaung di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), untuk melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan ke atas projek itu pada Jun lepas.

Akhirnya, pakar-pakar ini memutuskan bahawa projek ini adalah selamat, dan dalam masa yang sama mengemukakan 11 cadangan antaranya mengenai keperluan kerajaan untuk meneruskan lagi kerja-kerja perhubungan atau perundingan (engagement) agar masyarakat dapat faham tentang selamatnya projek ini.

Jika debat yang dicadangkan pula kini ialah bagi memenuhi kehendak untuk perhubungan atau perundingan itu, bagaimanakah dengan begitu banyak sesi perhubungan atau perundingan yang telah dilaksanakan selama ini sejak 2008 lagi?

Antara sesi tersebut, termasuk pada Julai 2009 lagi, apabila taklimat dianjurkan kepada ahli-ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat termasuk Fuziah, tetapi beliau tidak hadir sebaliknya menghantar seseorang sebagai wakilnya.

(Dan projek ini hanya menjadi isu selepas akhbar asing - New York Times menyiarkan laporan negatif berunsur fitnah terhadapnya pada 8 Mac lepas (2011), dikutip dan disiarkan sepenuhnya dua hari kemudian pada 10 Mac oleh akhbar tempatan, The Star; dan diburukkan dengan kejadian kebocoran yang berlaku ke atas reaktor nuklear di Fukushima, Jepun hanya sehari selepas itu, pada 11 Mac).

Jika pembangkang asyik melalak tentang keperluan untuk semua pihak mematuhi cadangan IAEA tentang keperluan untuk terus menganjurkan perhubungan atau perundingan tersebut, kenapa pula puak pembangkang tidak mahu menerima dan patuh kepada dapatan IAEA yang sama tentang selamatnya projek ini?

Sebenarnya, debat yang dicadangkan kali ini ialah alternatif puak pembangkang sendiri kepada majlis perjumpaan ala town-hall yang pernah dianjurkan menerusi perantara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Kompleks Dagangan Mahkota dekat sini, pada April lepas lagi.

Hanya sempat bertahan selama tiga kali penganjuran, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguh kemudian membatalkannya terus, berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh mereka yang hadir secara bebas, kebanyakannya pula dengan pre-judged mind lalu tidak mahu terima apa juga penjelasan yang diberikan.

Belajar daripada insiden pahit tersebutlah, bermula sebaik-baik selepas IAEA membuat pengumumannya pada 30 Jun lepas, sesi-sesi perhubungan atau perundingan kemudian diadakan secara kelompok ke kelompok khusus tertentu dengan yang pertama, melibatkan anggota komponen Barisan Nasional (BN).

Pada perjumpaan yang diadakan di Dewan, Kediaman Rasmi Menteri Besar dekat sini, puak-puak penentang ini tetap datang tanpa diundang, dengan matlamat tentunya untuk mengecohkan keadaan seperti mana di Kompleks Dagangan Mahkota.

Namun, sesudah menyedari betapa mereka sekadar membentuk sekumpulan kecil hadirin dalam kalangan anggota BN yang sudah tentunya lebih ramai, yang boleh puak penentang ini lakukan ialah sekadar diam menikus!

Penulis melihat cadangan puak pembangkang kepada penganjuran debat kali ini ialah kerana mereka ternampak wujud kelemahan di pihak kerajaan yang dilihat terlalu accomodative terhadap apa juga yang mereka kehendaki selama ini.

Sedangkan, apa yang telah dilakukan adalah lebih daripada memadai sungguhpun pada setiap kali juga, kerajaan tentunya sedar tentang taktik licik puak ini yang sering gemar 'mengubah tiang gol' (changing the goal post).

Maka, haruskah kerenah mereka perlu dilayani lagi termasuk dalam memenuhi gesaan mereka terhadap Adnan untuk mengadakan debat, yang pasti tidak akan mendatangkan apa-apa faedah itu?

Monday, January 23, 2012

cili

Tanaman cili fertigasi 'membuahkan' hasil lumayan


Dari kanan, Abdul Khalid Md. Adam, Rosdi Salleh dan Rosli Salleh ditemani oleh Mohd. Razaki Abd. Razak menunjukkan cili segar untuk dipasarkan di bawah projek Champion di Kuala Medang, Kuala Lipis baru-baru ini.


KUALA LIPIS 23 Jan. - Bagi seorang usahawan tani di Kuala Medang, Hulu Jelai dekat sini, Abdul Khalid Md. Adam, dia percaya cili adalah salah satu tanaman yang mampu membuka peluang kepada para petani untuk memperoleh pendapatan yang lumayan.
Justeru, Abd. Khalid, 52, menanam keazaman untuk melebarkan lagi projek pertanian komersial itu di tanah terbiar di kampung berkenaan.
Azam itu disemai setelah melihat kepada potensi yang ada pada bidang pertanian, khususnya tanaman cili merah.
Dibantu oleh dua rakannya, Rosdi Salleh, 43, dan Rosli Salleh, 48, usahawan tani itu terus merintis peluang di bawah Projek Champion dan Program Pembasmian Kemiskinan Daerah Lipis dengan mengusahakan projek pengeluaran cili yang bermutu tinggi.
"Projek Champion dimulakan sejak Oktober 2009. Ia sentiasa mendapat kerjasama dan pemantauan Pejabat Daerah Lipis, Pejabat Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Penghulu Mukim Hulu Jelai.
"Projek tanaman yang menggunakan benih Cilly King itu diusahakan di tanah terbiar satu setengah hektar milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang.
"Ia dimulakan dengan tanaman benih 8,000 batang pokok cili sejak Januari tahun lalu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Medang dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, pada peringkat awal projek itu, usaha mereka mendapat galakan daripada Penghulu Mukim Hulu Jelai serta memperoleh bantuan daripada kerajaan negeri RM60,000 yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Lipis.
"Saya bersyukur dan menarik nafas lega setelah bergelumang sedikit kesukaran, kini menikmati hasil pengeluaran pertama Mac tahun lalu dengan tuaian 10 tan dan anggaran pendapatan sebanyak RM20,000.
"Alhamdulillah hasil meningkat kepada 30 tan lagi bagi pusingan tanaman berakhir tahun lalu," kata usahawan tani tersebut sambil tersenyum puas.
Abd. Khalid berkata, usaha itu bukan sahaja dinikmati bersendirian, malah kejayaan projek tersebut terletak pada kegigihan dan kemahiran dua rakannya, Rosdi dan Rosli yang sebelum ini pernah mengusahakan projek tanaman pertanian komersial di Kuala Medang.
"Projek tanaman cili menggunakan kaedah fertigasi itu diusahakan di tanah milik JKKK dengan menggunakan baja khas sememangnya mampu memberi hasil lumayan.
"Kami menjangkakan pendapatan kasar boleh mencapai RM90,000 dalam tempoh enam bulan menerusi teknik fertigasi.
"Apapun, projek sebegini memerlukan penjagaan dan pemantauan yang bersungguh-sungguh secara berjadual," katanya.
Tambahnya, dia turut mengambil enam penduduk di bawah kategori miskin tegar untuk bekerja dan membantu pengurusan ladang berkenaan kerana cili semakin banyak untuk dipetik sehingga satu tan sehari bagi pasaran di Lembah Klang dan FAMA di sini.

mintak air

Rakyat tagih janji lama
MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
January 23, 2012
air
KUALA ROMPIN - Setiap parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan membuat janji kepada pengundi menerusi manifesto yang mengandungi falsafah perjuangan, gagasan masa depan, strategi pembangunan dan program pelaksanaan.

Manifesto yang diumumkan menjelang PRU setiap lima tahun sekali wajib dinilai dengan teliti oleh rakyat terutama pengundi, sama ada janji-janji dalam manifesto yang lepas itu telah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya atau tinggal janji kosong.

Di Rompin, misalnya, kesemua calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili satu kerusi Parlimen dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) mempunyai manifesto masing-masing.

Namun, persoalannya, adakah semua janji yang ditaburkan itu dapat dilaksanakan sepenuhnya, atau ia hanya bersifat retorik semata-mata bagi memancing undi semasa PRU.


Elak rasa curiga rakyat

Penduduk, Norashafizan Mohd Ras, 29, berkata, sebagai pengundi muda, dia mahu setiap wakil rakyat yang dipilih di sesebuah kawasan itu menunaikan janji PRU lalu.

Norashafizan berkata, janji yang ditaburkan oleh wakil rakyat perlu dilaksanakan terutama dalam soal pembangunan rakyat secara keseluruhannya bagi memastikan BN mendapat sokongan semasa PRU akan datang.

Menurutnya, isu hak pemilikan tanah, perumahan generasi kedua dan kemudahan infrastruktur antara perkara yang perlu diberi perhatian memandangkan ia menjadi perkara utama yang sering dibangkitkan golongan muda.

“Isu yang penting ialah bagaimana wakil rakyat yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi dapat melaksanakan janji mereka terutama dalam soal hak pemilikan tanah.

“Saya percaya, isu ini menjadi sesuatu yang sensitif dan dituntut terutama bagi mereka yang mengusahakan tanah sawah seperti di Kampung Setajam dan Kampung Simpang Sepayang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, golongan petani terutama pesawah padi menuntut agar masalah seperti itu dapat ditangani segera memandangkan kebanyakan mereka telah lama mengusahakan tanaman itu sejak puluhan tahun lamanya.

“Bayangkan jika golongan ini (pesawah) masih tidak mempunyai geran hak milik tetap sedangkan mereka sudah memohon geran tanah bertahun lamanya dan ini mungkin mengundang rasa marah mereka kepada BN.

“Jadi kami berharap agar isu hak pemilikan tanah kelompok seperti ini diberi perhatian segera bagi memastikan masalah ini tidak terus membelenggu rakyat,” katanya.

Abdullah Hamzah, 49, berkata, penduduk juga masih menanti projek Hospital Rompin yang masih belum siap ekoran kelewatan projek tersebut.

Menurutnya, projek yang bermula Ogos 2009 dijangka mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan, namun atas faktor tertentu tempoh siap itu terpaksa dilanjutkan.

“Rakyat perlu diberi penjelasan berhubung hal ini memandangkan rakyat sudah lama menunggu kemudahan prasarana ini bagi kemudahan pada masa akan datang,” katanya.

Ketua Umno Cawangan Kampung Aur, Nura Hamidi Mat berkata, pengundi berharap agar BN melunaskan segala janji di Kampung Aur terutama soal kemudahan infrastruktur dan bekalan air bersih.

Nura Hamidi berkata, penduduk di Kampung Aur Seberang misalnya masih menanti sumber bekalan air bersih sehingga kini berikutan terpaksa menggunakan sumber air Sungai Rompin bagi kegunaan harian.

“Kita berharap agar ada tindakan berhubung isu air di Kampung Aur Seberang dan kawasan penempatan Orang Asli berhampiran bagi memastikan rakyat terus sokong BN,” katanya.

Nura Hamidi berkata, selain itu, penduduk juga berharap jambatan gantung Kampung Aur dapat diganti baru sepertimana yang terkandung dalam manifesto PRU lalu.

“Permukaan lantai jambatan yang sering tercabut perlu diganti bagi memastikan keselamatan rakyat yang sering menggunakan jambatan ini lebih terjamin dan selamat,” katanya.


Pengundi Cina tagih bina Tabika

Pengerusi Tabika TPK, Tan Sheng Chin, berkata, pengundi Cina di Rompin berharap agar hasrat mereka untuk membina Tabika TPK di Tanjung Seratus, Kuala Rompin jadi kenyataan.

Sheng Chin berkata, hasrat itu sudah lama disuarakan memandangkan mereka mempunyai tapak tanah sedia ada bagi tujuan projek itu yang dijangka menelan belanja RM500,000 termasuk kemudahan prasarana lain.

“Tabika ini diharap dapat memberi ruang pembelajaran yang lebih selesa kepada murid-murid yang belajar di sini, memandangkan ia bukan saja menarik masyarakat Cina belajar di sini, malah kaum lain.

“Misalnya, pada tahun ini saja, bilangan murid Melayu lebih ramai iaitu 17 orang murid berbanding Cina seramai 17 manakala Orang Asli pula seramai empat orang murid,” katanya.

Bagaimanapun, Sheng Chin mengakui menerima khabar gembira apabila sebanyak RM180,000 telah diluluskan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berhubung perkara berkenaan.

Timbalan Pengerusi MCA Cawangan Bandar Baru Kuala Rompin, Chu Chang Haw, pula memberitahu kebanyakan pengundi Cina berharap agar kerajaan memberi pemberian hak pemilikan tanah kekal di Kampung Tebu Hitam.

Chang Haw berkata, seramai 60 pemohon kaum Cina berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu tanah kelompok pertanian itu dalam memastikan pengundi di situ terus memberi kepercayaan kepada BN dalam PRU akan datang.

“Kita sememangnya menyokong BN dan berharap isu seperti ini dapat ditangani kerana ada daripada pemohon tidak lagi mengusahakan tanah itu kerana bimbang tidak memperoleh status hak milik kekal,” katanya.


Masyarakat India mahu kuil

Ketua MIC Bahagian Rompin, Parianan A/L Lechimanan berkata, kira-kira 1,500 penganut agama Hindu di Parlimen Rompin mahu sebuah kuil bagi kemudahan mereka melakukan upacaya sembahyang.

Menurutnya, isu kuil amat penting kepada penganut agama itu kerana mereka terpaksa ke Kuantan atau Segamat dengan jarak perjalanan yang jauh untuk bersembahyang di kuil.

Bagaimanpun, katanya, kerajaan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Senator Datuk Maznah Mazlan menjelaskan bahawa permohonan mereka itu sudah diluluskan dengan peruntukan bernilai RM200,000.

“Kami sudah lama mohon sebuah kuil di Parlimen Rompin, namun baru-baru ini kami difahamkan kerajaan sudah beri kelulusan untuk bina kuil di Chenderwasih dan harap ia jadi kenyataan,” katanya.


75 peratus selesai

Sementara itu, Setiausaha Umno Bahagian Rompin, Wan Kadri Wan Mahusain berkata, kira-kira 75 peratus janji manifesto semasa PRU lalu telah ditunaikan setiap wakil rakyat di Parlimen itu, namun mengakui masih ada lagi perancangan yang akan dibuat bagi
memastikan semua janji itu terlaksana.

Wan Kadri berkata, BN sentiasa berusaha menunaikan segala janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya walaupun ada kalanya ia mengambil sedikit masa untuk ditunaikan.

Menurutnya, kerajaan BN tidak pernah memungkiri janji semasa berkempen di dalam PRU lalu dan akan menunaikan segala janji apabila tiba masanya.

“Pada dasarnya semua janji dalam PRU sudah ditunaikan oleh setiap wakil rakyat, namun ada beberapa isu melibatkan proses yang lama untuk diselesaikan seperti masalah pemilikan tanah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masalah pemilikan tanah di Kampung Setajam, Rompin dijangka tidak berdepan masalah kerana ia telah memasuki peringkat akhir untuk diserahkan kepada pemohon.

Menurutnya, isu Hospital Rompin juga dijangka selesai Julai tahun ini memandangkan keperluan itu amat diperlukan penduduk yang memerlukan khidmat rawatan kecemasan di hospital kerajaan.

Katanya, BN juga sedia mengotakan segala janji-janji lain sebelum ini secara berperingkat-peringkat dan berharap agar rakyat memahami segala proses itu kerana beberapa projek itu masih dalam peringkat perlaksanaan.

“Sebagai contoh projek membina Tabika TPK seperti dalam janji PRU lalu sedang dalam proses akhir untuk memperoleh dana yang mencukupi sebelum ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Sunday, January 22, 2012

orang kita

Masih tiada penyelesaian
AZIZAH SHAFIEI
January 23, 2012
lapor-polis
BERA – Lagi laporan polis dibuat berikutan isu subkontraktor memusnahkan dan membuka saluran air sehingga menyebabkan penduduk di enam perkampungan Orang Asli tidak mendapat bekalan air bersih.

Timbalan Ketua PKR Cabang Bera, Bob Manolan Mohamad berkata, tindakan tersebut sangat tidak wajar kerana perkara itu adalah isu dalaman antara subkontraktor dengan kontraktor utama.

Menurutnya, hal dalaman sepatutnya diselesaikan antara mereka dan tidak perlu membabitkan penduduk sehingga menyebabkan kegembiraan mereka terhenti begitu sahaja.

“Ada sebahagian penduduk di beberapa kampung terbabit sudah membina kolah atau singki untuk kegunaan seharian.

“Sekarang bukan sahaja mereka kerugian kerana perlu membina semua itu, tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk terus menerima bekalan air terus ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama beberapa wakil penduduk dari tiga kampung di Balai Polis Triang.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas, Sulaiman Mohamad dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman.

Bob Manolan berkata, kerja-kerja membuka semula saluran paip yang dilakukan secara berperingkat pada minggu kedua bulan ini juga menyebabkan hampir semua projek itu musnah.

Katanya, sehingga kini, kontraktor masih tidak mengambil sebarang tindakan untuk membaiki kerosakan itu.

“Malah, saya mendesak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kerajaan Negeri campur tangan dan membaiki segera segala peralatan yang dimusnahkan itu.

“Ada kampung sudah menerima bekalan air sejak tahun lepas, tetapi ada juga yang baru menerimanya tidak sampai tempoh seminggu. Jadi, tindakan ini benar-benar menyusahkan penduduk Orang Asli,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan untuk mengetahui dalang di sebalik isu itu selepas menerima laporan terbabit.

Friday, January 20, 2012

unit pencegah jenayah

YPJM Pahang wujudkan Unit Peronda Cegah Jenayah

KUANTAN 20 Jan. - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Pahang akan mewujudkan Unit Peronda Cegah Jenayah dalam usaha membantu Polis Pahang membanteras kegiatan itu khususnya di daerah ini.

Pengerusinya, Datuk Johny Ch'ng Ewe Gee berkata, unit tersebut akan dianggotai sukarelawan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan polis sukarelawan.

Menurutnya, buat permulaan satu unit peronda tersebut akan ditubuhkan dalam masa terdekat melibatkan empat anggota yang akan melakukan rondaan di kawasan dikenali pasti kerap berlakunya kejadian jenayah.

"Usaha itu membuktikan masyarakat turut sama membantu polis dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 250 kotak limau kepada Kelab Media Pahang (KMP) sempena perayaan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Johny berkata, jumlah unit tersebut akan ditambah secara berperingkat-peringkat bagi membolehkan ramai sukarelawan menyertainya.

Tambahnya, ia berikutan terdapat sukarelawan yang turut sama membantu polis dalam menangani jenayah tersebut.

Jelasnya, beberapa kawasan di daerah ini yang dipercayai kerap berlakunya jenayah dikenal pasti akan dilibatkan dalam rondaan di situ supaya para penduduk tidak bimbang tentang keselamatan mereka.

Dalam pada itu, beliau meminta warga bandar ini supaya merapatkan hubungan sesama jiran bagi mengekang kegiatan pecah rumah dan samun di kawasan perumahan masing-masing.

Katanya, cara tersebut akan membuatkan penjenayah sukar memasuki kawasan perumahan disebabkan hubungan erat komuniti terbabit sekali gus mewujudkan ketenteraman di tempat mereka.

Tuesday, January 17, 2012

akibat jatuh tangga

Derita pemuda jatuh tangga
Wartawan Sinar Harian
January 18, 2012
Derita pemuda jatuh tangga
KUANTAN – Hanya selepas terjatuh dari tangga rumahnya sebulan yang lalu seorang pemuda kini terlantar setelah disahkan mengalami strok.
Mohamed Nazri Mansur, 37 dari Kampung Gelugor di sini turut mengalami lumpuh sejurus selepas kejadian tersebut.

Adiknya, Naliza Mansur, 34 kini bertanggungjawab menjaga abangnya itu yang belum berumah tangga.

“Semua ini berlaku dengan sekelip mata, tiba-tiba abang jadi begini. Ketika kejadian abang hanya demam biasa sahaja, tetapi selepas jatuh dari tangga rumah, dia menjadi seperti ini, tidak mampu menguruskan diri dan memerlukan bantuan,” katanya.

Selain itu, sebagai adik, Naliza sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi abang kandungnya itu dan terpaksa menyerahkan tugas-tugas menguruskan kedai makan yang diusahakannya sejak dua tahun lalu kepada kakak iparnya.

Mohamed Nazri, yang juga Pengerusi Persatuan Belia Kampung Gelugor merangkap Naib Ketua Pemuda Cawangan jatuh tangga pada 6 Disember lalu.
Menurutnya, Nazri kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan doktor yang memeriksanya mengesahkan abangnya mengalami strok.

“Bahagian sebelah kanan badannya juga tidak boleh digerakkan dan berfungsi dengan baik buat masa ini.

“Bagaimanapun, saya dan keluarga sentiasa memberi galakkan dan semangat bagi membantu memulihkan semangatnya untuk terus berjuang dan kembali pulih seperti biasa walaupun doktor tidak meletakkan harapan tinggi abang untuk sembuh seratus peratus,” katanya.

Seterusnya, dia dan keluarganya tidak akan berputus asa dan turut mencuba kaedah tradisional demi hasratnya untuk melihat abangnya kembali pulih sekali gus mampu bekerja kembali seperti biasa dan mengharapkan jika ada sesiapa mampu membantu merawat penyakit Mohamed Nazri.

Sementara itu nasib Nazri mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut memberi sumbangan peribadi kira-kira RM3,000 dalam pembelian sebuah katil dan tilam khas di rumahnya baru-baru ini.

“Saya bersyukur kerana diberi bantuan katil dan tilam khas ini. Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan bebanan kami sekeluarga,” katanya.

bersih pantai

Mahasiswi Polisas gotong-royong bersihkan Pantai Batu Hitam


Sebahagian mahasiswi Kamsis al-Ghazali Polisas yang terlibat dalam gotong-royong membersihkan Pantai Batu Hitam di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 17 Jan. - Seramai 54 mahasiswi dan 17 felo Kamsis al-Ghazali Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) bergotong-royong membersihkan persekitaran Pantai Batu Hitam di sini baru-baru ini.
Program itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang menyediakan beg plastik sampah, kereta sorong, bakul sampah dan penyapu.
Pengarah program, Mohd. Khaspi Kosnin berkata, aktiviti itu bertujuan memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan berdaya saing dalam kalangan penuntut kamsis tersebut.
"Secara tidak langsung ia juga memberi kesedaran kepada mereka supaya sentiasa cintakan alam sekitar serta menjaga kebersihan persekitaran," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Aktiviti yang bermula pada pukul 9 pagi itu berjaya mengumpulkan 35 beg sampah yang dikutip di persisiran pantai tersebut.
Seorang penuntut, Nurul Aishah Sajar, 19, menyifatkan aktiviti berkenaan memberi kesedaran padanya tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar.

Sunday, January 15, 2012

air xde la boss

700 keluarga di Kemayan kembali tiada air


Penduduk Kampung Pasal terpaksa menggunakan air yang dipam dari telaga yang dibina oleh Kementerian Kesihatan apabila bekalan air dari telaga tiub dipotong oleh pihak kontraktor di Bera, semalam.


BERA 15 Jan. - Kegembiraan 700 keluarga di enam kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan dekat sini menikmati bekalan air bersih sejak setahun lalu kembali suram apabila bekalan air di kawasan mereka dihentikan empat hari lalu.
Bekalan itu dihentikan oleh sub-kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan projek air bawah tanah di kampung berkenaan apabila membuka semula sistem penyaluran air yang disalurkan dari tangki utama ke rumah penduduk.
Kampung yang terbabit dengan masalah itu adalah Kampung Pasal dan lima buah kampung Orang Asli iaitu Kampung Kuin Lanjut, Kampung Pathir, Lubuk Perah, Kuala Serting dan Lubuk Tembangan serta sebuah lagi kampung Orang Asli di Kampung Bukit Ngeri, Lanchang, Temerloh.
Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di Kampung Pasal difahamkan, kontraktor terbabit membuka semula sistem itu kerana kontraktor utama gagal membuat pembayaran tertunggak RM2.9 juta.
Timbalan Batin, Darus Lambak berkata, beliau mewakili 40 keluarga dan penduduk yang mendiami kampung itu sejak dibuka pada 1970 membuat laporan polis terhadap kontraktor tersebut.
Beliau kecewa kerana penduduk kampung dijadikan ''kambing hitam' berikutan masalah pembayaran tertunggak yang tidak ada kaitan dengan mereka.
''Sepatutnya mereka berunding dengan kontraktor utama bagi mendapat semula bayaran kerja-kerja membina saluran air bawah tanah bagi membekalkan air kepada kami di sini.
''Saya berharap mereka dapat menyambung semula peralatan dan sistem bekalan air di tangki utama dan juga saluran paip yang disambungkan ke rumah-rumah kami," kata Darus kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Darus, penduduk kampung berkenaan yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan dan Johor hidup menderita kerana sebelum ini mereka tidak pernah menikmati bekalan air bersih sejak 40 tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri tidak dapat membekalkan air bersih berikutan kedudukan kampung yang dilindungi tanah ladang milik individu sejauh enam kilometer daripada jalan utama Muadzam Shah - Bahau, Negeri Sembilan.
Jelasnya, pemilik ladang itu hanya membenarkan kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad memasang tiang elektrik bagi menyalurkan bekalan elektrik ke kampung mereka.
Sebagai penyelesaian, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah mengeluarkan peruntukan bagi membina telaga tiub di kampung tersebut dan di enam buah kampung lagi.
''Malah, saya diberitahu kementerian terbabit telah menjelaskan semua pembayaran kepada kontraktor yang berpejabat di Shah Alam, Selangor.
''Sebelum ada sumber air bawah tanah, kami menggunakan air yang dipam dari lima buah telaga yang dibina oleh Kementerian Kesihatan dan juga air Sungai Palong," katanya.
Bagaimanapun air sungai dan telaga kini telah dicemari oleh sisa kimia yang dilepaskan oleh kilang kelapa sawit dan getah di kawasan berhampiran.

Wednesday, January 11, 2012

ibu tunggal dapat rumah

Ibu tunggal terima rumah sendiri


AHMAD Shukri Ismail (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah PPRT kepada Roshaili Jaafar di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut, baru-baru ini. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD


JERANTUT 11 Jan. – Kehadiran tahun baru 2012 cukup bermakna buat seorang ibu tunggal, Roshaili Jaafar, 48, dan lima orang anaknya apabila kerajaan negeri menyumbangkan sebuah rumah bernilai RM35,000 di Kampung Bukit Rang, dekat sini.
Roshaili merupakan isteri kepada bekas Ketua Kampung Kedondong/Bandar dekat sini, Mohd. Ali Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 18 Ogos tahun lepas akibat komplikasi jantung dan darah tinggi.
Penyerahan kunci rumah berkenaan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail dan turut dihadiri Penghulu Mukim Pulau Tawar, Amir Hamzah Osman.
Menurut Ahmad Shukri, kediaman di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu pada asalnya dimiliki seorang warga emas yang juga cucu Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau, Ibrahim Omar yang telah meninggal dunia baru-baru ini.
“Oleh kerana arwah tidak ada waris, kita bersepakat dengan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Penghulu Mukim supaya rumah itu diserahkan kepada Roshaili yang tidak mempunyai kediaman tetap kerana sebelum ini menumpang di rumah milik saudaranya.
‘‘Saya memohon kerajaan negeri agar ibu tunggal itu memiliki status kediaman tersebut secara sah dan boleh tinggal dengan lebih selesa untuk mencari rezeki serta menyara persekolahan anaknya,” katanya kepada pemberita di Bukit Rang, dekat sini baru-baru ini.
Ahmad Shukri berkata, sumbangan itu adalah untuk menghargai jasa dan bakti arwah suami ibu tunggal berkenaan yang merupakan seorang ketua kampung, aktivis masyarakat, politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum meninggal dunia.
Sementara itu, Roshaili bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan kebajikan keluarga itu apabila menerima rumah berkenaan.

wang br1m dah sampai

42,615 rakyat Pahang terima wang BR1M Ahad ini

KUANTAN 11 Jan. - Pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 di negeri ini akan bermula secara berperingkat pada Ahad ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, bantuan tersebut akan disampaikan kepada 42,615 pemohon di seluruh negeri selepas ditapis oleh pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pahang.

"Majlis penyerahan tersebut akan diadakan di semua daerah di negeri ini yang mana surat penerimaan akan diserahkan kepada mereka oleh pemimpin setempat.

"Penyerahan itu juga dijangka akan mengambil masa dua hingga lima hari bergantung kepada ramainya penerima di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2012, Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan tunai sekali bayar RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah bagi meringan beban rakyat berpendapatan rendah.

Muhammad Safian berkata, LHDN akan mengeluarkan surat kepada penerima berdasarkan proses penapisan borang permohonan yang dihantar oleh orang ramai.

"Surat tersebut akan diserahkan kepada pemimpin setempat seperti Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan Penghulu.

"Jadi mereka akan serahkan surat itu kepada penerima dan mereka boleh datang ke tempat yang dinyatakan di dalam surat tersebut," katanya.

Katanya, beliau berharap orang ramai tidak menyerbu ke tempat penyerahan wang tersebut sebelum menerima surat penerimaan.

mayat tanpa kepala

Mayat tanpa kepala, badan ditemui

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 11 Jan. - Bau busuk yang disangkakan bangkai binatang oleh seorang penduduk akhirnya terjawab apabila mayat manusia yang tidak lengkap anggota badan ditemui di Jalan Kereta Api Jerantut-Mentakab, Kampung Pisang di sini semalam.

Mayat yang cuma tinggal paras pinggang hingga ke bawah manakala bahagian lain dipercayai berkecai ditemui oleh Mohd. Khairul Anuar Che Ibrahim, 27, ketika menebas semak-samun di kebunnya berhampiran landasan kereta api kampung itu pada pukul 3.30 petang.

Menurutnya, dia terhidu bau busuk seperti bangkai haiwan ketika mula menebas di kebunnya kira-kira pukul 3 petang.

"Makin lama, bau busuk itu semakin kuat menyebabkan saya terpaksa menutup hidung dan mula mengesyaki ia bukan bangkai binatang.

"Saya terus mencari punca bau busuk itu di sekitar kebun berdekatan landasan keretapi sehinggalah terjumpa mayat itu 50 meter dari landasan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya, dia kemudian pulang ke rumah dan memaklumkan penemuan mayat itu kepada jirannya yang juga seorang anggota polis selain menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail mengesahkan penemuan mayat itu dan berkata, polis sedang mengesan identiti mayat itu.

Tambahnya, berikutan penemuan itu, polis sedang meneliti laporan kes orang hilang sebelum ini dan akan memanggil waris untuk pengecaman.

Tuesday, January 10, 2012

penyakit

Malu kerana hidung berbau
Nurliza elami
January 10, 2012
hidung berbau
GUAR CHEMPEDAK - Begitulah nasib yang dialami seorang pelajar tingkatan satu yang dikesan menghidapi penyakit ketumbuhan dalam hidungnya sejak Julai tahun lalu.

Ibunya, Habsah Ismail, 39, berkata, anak sulungnya daripada tiga beradik, Norhanim Kamarudin, 13, dikesan mempunyai ketumbuhan dalam lubang hidung sebelah kanan sejak Julai tahun lalu sekali gus mengubah kehidupan anak gadisnya itu.

Menurutnya, tahun ini sudah empat kali Norhanim enggan ke sekolah kerana masalah hidung berbau.

“Jika kami bawa dia naik kereta, satu kereta berbau disebabkan penyakit di hidungnya itu.

“Ini menyebabkan dia malu dan enggan ke sekolah. Walaupun pihak sekolah memahami keadaannya namun, saya risau akan menjejaskan pembelajarannya nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Batu 17, semalam.

Habsah berkata, pembedahan membuang ketumbuhan di hidungnya itu dijangka dilakukan pada 29 Januari ini.

“Namun, bagi saya tarikh ini begitu lewat kerana sepanjang tempoh untuk menunggu tarikh tersebut saya bimbang Norhanim tidak mahu ke sekolah,” katanya.

Habsah berkata, dia mahu membawa Norhanim mendapatkan rawatan di hospital swasta sementara menunggu tarikh pembedahan itu bagi mengurangkan bau di hidungnya namun, mengalami masalah kewangan.

Menurutnya, pendapatan dia dan suaminya, Kamarudin Saad, 43, cuma bergantung kepada hasil jualan kuih-muih yang diletakkan di beberapa gerai di sekitar kawasan ini iaitu sekitar RM700 sebulan bergantung kepada keadaan.

“Dengan pendapatan sebanyak itu kami perlu menyara tiga anak termasuk Norhanim yang masih bersekolah sementara saya pula sedang mengandung anak keempat kami yang kini berusia lapan bulan.
“Kami tidak mampu untuk berusaha mengubati penyakit Norhanim bagi menghilangkan bau di hidungnya agar dia tidak malu ke sekolah lagi sementara menanti tarikh pembedahan yang dijangka pada 29 Januari ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar,” katanya.

Habsah berkata, Norhanim memerlukan sejenis ubat berbentuk serbuk iaitu Sodium Bicarbonate (Nasal Douche) yang perlu dibancuh dan dimasukkan ke dalam hidungnya untuk menghilangkan bau.

Menurutnya, ubat itu diambil mereka di HSB sebelum ini, namun habis digunakan dan mereka tidak mampu untuk terus berulang alik ke HSB untuk mengambil ubat itu.

Dia merayu kepada pihak korporat mahupun individu yang sudi membantu meringankan bebanan mereka untuk menampung kos rawatan sementara menunggu tarikh pembedahan Norhanim.

Kepada sesiapa yang sudi membantu boleh menghulurkan sumbangan anda kepada Norhanim melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Habsah Ismail bernombor 02116-29-86469676-7.

nahas

Dua beranak maut ketika ke sekolah
Wartawan Sinar Harian
January 10, 2012
Dua beranak maut ketika ke sekolah
KERDAU – Dua beranak maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dipercayai ketika seorang bapa menghantar anak perempuan­nya ke sebuah sekolah berhampiran kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, mangsa yang mati dikenali Fauzil Harun, 56, seorang pesara dan anak perempuannya Nur Fatihah Fauzil 10, murid pendidikan khas orang kurang upaya (OKU) sebuah sekolah di sini.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila Fauzil menunggang motosikal dari arah Temerloh ke Jerantut dan apabila tiba di simpang Kampung Jenderak mangsa memperlahankan motosikal untuk membelok ke kanan.

“Ketika itu, datang sebuah Perodua Alza dari arah belakang dipandu lelaki gagal mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki kedua-dua beranak itu mengakibatkan mereka tercampak di atas jalan bertentangan.

“Kedua-dua mangsa kemudian dirempuh pula sebuah kereta Honda dari arah Jerantut yang dipandu seorang lelaki.

“Akibat kecederaan parah di kepala, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian­,” katanya kepada media semalam.

Mohd Nor berkata, kedua-dua pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan, pemandu kereta yang merempuh mangsa dari belakang ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kemalangan maut.

Sementara itu, Mohd Nor menasihati penunggang motosikal yang menggunakan jalan Temerloh–Jerantut supaya sentiasa berhati-hati kerana kerap kali berlaku kemalangan maut di jalan berkenaan.

Monday, January 9, 2012

ibu tunggal

Ibu tunggal miskin rayu rumah PPRT

ROMPIN 9 Jan. - Seorang ibu tunggal berdepan dugaan hidup yang mencabar apabila disahkan menghidap penyakit batu hempedu dan kanser pangkal rahim.

Hasmah Darlan, 48, terpaksa mengharungi hidup penuh getir itu dengan bergantung kepada wang yang diperoleh daripada dua anaknya selain bantuan RM200 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, wang bulanan yang diterima itu terpaksa dibelanjakan untuk persekolahan dua anaknya, membayar sewa rumah, bekalan air dan elektrik serta bagi tujuan sara hidup.

"Kadang-kadang hanya RM20 saja yang tinggal dalam poket setiap bulan dan dengan wang ini saya berbelanja.

"Sejak menjalani pembedahan kanser pangkal rahim, saya sudah tidak mampu bekerja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, masa depannya bertambah gelap apabila diberitahu rumah sewa yang didudukinya hari ini akan disewa kepada pekerja kilang kelapa sawit.

"Tiada jaminan saya akan terus menetap di sini, tambahan pula saya menyewa rumah pekerja sebuah kilang dan berkemungkinan rumah ini akan disewa kepada pekerja kilang sawit tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Hasmah merayu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Rompin memberi pertimbangan kepadanya untuk memperoleh Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang pernah dipohonnya tiga tahun lalu.

"Sudah dua kali saya mohon PPRT, namun masih belum ada jawapan. Saya masih menaruh harapan akan terpilih dan tidak kisah kawasan penempatan asalkan ia dapat mengurangkan beban saya ketika ini," katanya.

Menurutnya, dengan wang bantuan JKM RM200 serta sedikit sumbangan daripada anak-anak dia tidak mampu membayar sewa yang semakin meningkat.

terbakar

Hangus sekelip mata
SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
January 8, 2012
hangus terbakar
KUANTAN - “Harta yang saya ada sekarang ini hanyalah kad pengenalan sahaja, manakala yang lain-lain hangus dijilat api,” kata Fatimah Abdullah, 61, ekoran kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang berlaku petang kelmarin di Kampung Seri Mahkota.

Menurut Fatimah, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana menemani cucunya di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan sejak lima hari lepas.

“Semalam (5 Januari), saya ada singgah di ­rumah untuk mengambil baju, ­bagaimanapun, hari ini (6 Januari) saya lihat ­rumah sudah menjadi ­arang. Tiada satu barang pun yang mampu diselamatkan.

“Saya sudah tinggal di sini sejak 30 tahun lepas dan rumah ini banyak menyimpan sejarah hidup saya, namun kini hanya tinggal kenangan sahaja,” katanya.

Selain itu, bahagian belakang ­rumahnya pula dijadikan rumah sewa yang turut musnah dalam ­kejadian kebakaran itu.

Penyewa, Ady Noriman Zamri, 32, bersama isteri dan seorang anaknya juga tidak ada di rumah ketika ­insiden berlaku.

Menurut Ady yang sudah dua tahun menyewa di sini, dia keluar ­rumah bersama keluarganya dan ­terkejut apabila dimaklumkan ­rumahnya terbakar.

“Niat saya mahu keluar sekejap sahaja membawa anak dan isteri bersiar-siar, tetapi terkejut setelah dimaklumkan rumah kami terbakar.

“Seingat saya, sebelum keluar rumah, saya sudah pastikan semuanya dalam keadaan selamat, tetapi malang tidak berbau dan kami juga tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Seterusnya, bagi seorang saksi kejadian, Muhammad Syafiq Zaini, 17, berkata, sebelum itu dia baru ­sahaja pulang ke rumah yang terletak bersebelahan dengan rumah mangsa.

“Saya duduk di luar rumah dan terlihat asap dari bahagian belakang rumah ini. Pada awalnya, saya ­menyangka ada orang sedang bakar sampah, tetapi lama kelamaan terdengar bunyi tingkap pecah dan ­kelihatan asap berkepul-kepul ­dengan api yang marak.

“Ketika itu saya bergegas memberitahu ibu dan dia terus menelefon bomba. Bagaimanapun akibat api yang terlalu marak, rumah ini ­hangus tidak sampai 10 minit,” katanya.


Terima bantuan RM5,000

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar, Mohd Sohaimi Jusoh berkata, dia bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas dimaklumkan penduduk.

“Saya harap kedua-dua keluarga ini bersabar dengan dugaan yang menimpa mereka dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Mereka akan menerima ­bantuan kerajaan sebanyak RM5,000 dan pihak saya akan berusaha membantu keluarga ini sebaik mungkin dengan peruntukan yang sesuai.

Hadir sama Pegawai Daerah, Datuk Norhayad Ahmad.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hasaan berkata, sebanyak dua jentera bomba dari Balai Bomba Taman Tas dan Kuantan tiba untuk memadam kebakaran.

Menurutnya, kerugian mangsa dan punca kebakaran masih lagi ­dalam siasatan pihak bomba

Friday, January 6, 2012

mati dengan gitar

Pemuda mati bersama gitar di resort

KUANTAN 6 Jan. - Seorang pemuda ditemui mati bersama gitar di badannya di sebuah resort di Pantai Batu Hitam dekat sini semalam.

Kok Kah Leong, 28, dari Taman Pandan Perdana, Kuala Lumpur ditemui kira-kira pukul 5 petang dalam keadaan kepalanya berbalut plastik dengan tiub disambung ke satu tong kecil dipercayai gas helium yang digunakan untuk menerbangkan belon panas.

Turut ditemui sekeping nota ditujukan kepada ibu bapanya berupa luahan perasaan mangsa yang keletihan dengan apa yang telah dilalui dan mahu berehat dengan aman sebelum memohon maaf di atas tindakannya itu.

Mangsa juga memberitahu dia menyukai tempat di mana dia menginap dan menggemari laut lalu meminta gitarnya dibakar bersama mayatnya sebelum abu itu ditabur ke laut di Pantai Timur.

Pemilik resort yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, dia terpaksa menggunakan kunci pendua untuk membuka bilik yang disewa Kah Leong.

"Dia mendaftar masuk ke resort ini pada 4 Januari lalu kira-kira pukul 4 petang dan sepatutnya keluar keesokannya pada pukul 12 tengah hari, tetapi dia tidak berbuat demikian menyebabkan saya pergi ke biliknya.

"Selepas tidak dijawab walaupun beberapa kali pintu bilik diketuk, saya mengambil kunci pendua lalu membukanya. Saya terkejut apabila mendapati dia terbaring dengan kepala diserkup plastik," katanya yang menghubungi polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan itu.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan polis percaya mangsa membunuh diri," katanya.

Thursday, January 5, 2012

geng tumpas

Kumpulan remaja pecah rumah tumpas


Mohd. Nor Mansor (dua kiri) melihat dua motosikal minibike yang ditemui semula daripada kumpulan jenayah remaja di Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 5 Jan. - Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah pecah rumah dan curi motosikal yang terdiri daripada remaja di sekitar Taman Temerloh Jaya, Temerloh Makmur dan Taman Bahagia.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor berkata, kumpulan itu terdiri daripada empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun.
''Hasil maklumat awam, tiga remaja tersebut ditangkap di tiga buah rumah berasingan di Taman Temerloh Jaya dan Temerloh Makmur pada 29 Disember tahun lalu. Bagaimanapun perancang kumpulan itu berusia 17 tahun masih bebas.
''Dengan tertangkapnya mereka, kita percaya telah berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah, empat kes curi motosikal dan beberapa kes curi tong gas serta basikal di sekitar tiga taman perumahan tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut beliau, antara barang curi yang ditemui semula daripada remaja terbabit ialah enam unit alat pembesar suara, dua unit dekoder Astro, satu unit pemain cakera video digital (DVD), dua motosikal jenis minibike dan lima buah tong gas.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 179A akta yang sama.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Nor memberitahu, pihaknya berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 6.3 peratus sepanjang tahun lalu berbanding 2010.
''Tahun lalu mencatatkan 446 kejadian jenayah berbanding 476 kes pada 2010.
''Polis Temerloh juga berjaya menyelesaikan 50.9 peratus atau 227 kes pada tahun lalu berbanding 276 kes atau 57.98 peratus pada 2010.
''Sebahagian besar kes yang dilaporkan berlaku di daerah ini adalah berkaitan dengan kejadian curi motosikal dan pecah rumah," kata beliau.

Sunday, January 1, 2012

lemas di pantai

Tiga beranak lemas di pantai
Oleh : Nik Amirulmu’Min Nik Min
Tarikh : January 2, 2012
pantai
KUANTAN- Percutian satu keluarga ke pusat peranginan Pantai Sepat dekat sini sempena cuti Tahun Baru berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka (anak beranak) lemas dihanyutkan arus ketika bermain bola dalam air, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang pengurus sebuah tanah rancangan Felda di Temerloh, Zubir Othman, 57, bersama seorang anaknya, Ahmad Zuhaidi Zubir, 29, yang bertugas sebagai mekanik Produa berjaya diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian.

Bagaimanapun Zubir disahkan meninggal dunia sebaik tiba di darat dipercayai akibat sesak nafas manakala mayat seorang lagi anaknya, , Ahmad Zuhaimi Zubir, 32, juru teknik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan yang turut tenggelam ditemui kira-kira jam 6.15 petang tidak jauh dari lokasi kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Menantu mangsa, Norazimah Zakaria, 24, berkata, dia yang tinggal di Kampung Kurnia, Jalan Gambang di sini datang bersama suami, Ahmad Zuhaidi ke pantai peranginan itu untuk bercuti bersama ahli keluarga yang lain termasuk bapa mertuanya yang datang dari Jengka untuk bercuti.

Menurutnya, mereka tiba kira-kira jam 12 pagi manakala tragedi itu berlaku kira-kira jam 2 petang.

“Ketika itu ayah dan abang ipar sedang bermain bola di dalam air manakala kami semua berada di pantai.

“Tiba-tiba bola yang digunakan mereka dipercayai terlepas ke tengah jadi ayah dan abang ipar cuba untuk mengambilnya sebelum kedua-duanya tenggelam ditarik arus,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Norazimah berkata, suaminya dipercayai cuba untuk menolong bagaimanapun dia juga turut lemas.

“Salah seorang kakak ipar saya, nampak kejadian itu lalu menjerit meminta tolong sebelum beberapa pengunjung pantai datang untuk membantu menyelamatkan mereka bertiga.

“Ayah dan suami berjaya ditarik ke darat tetapi abang ipar terus tenggelam,” katanya yang bertugas sebagai pereka grafik di sini.

Isteri Ahmad Zuhaimi, Nor Najihah Zakari, 28, yang bertugas sebagai guru turut berada di tempat kejadian bagaimanapun dia yang terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya enggan ditemu bual.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Mat Yusoff Hamat berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 2.40 petang sebelum 16 anggota dikerahkan menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang lemas.

Menurutnya, sebaik mereka tiba, dua mangsa berjaya diselamatkan orang ramai bagaimanapun salah seorang disahkan meninggal dunia.

“Sebuah bot dan dua jet ski digunakan dalam operasi yang turut dibantu empat anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur.

“Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa ditamatkan kira-kira jam 6.30 petang selepas mangsa terakhir, Ahmad Zuhaimi berjaya ditemu pasukan penyelamati,” katanya.

dapat cermin mata weh...

1,000 penduduk DUN Chini dapat bantuan cermin mata


Abu Bakar Harun (kanan) beramah mesra dengan seorang penduduk yang melakukan pemeriksaan mata pada Majlis Pemberian Cermin Mata di SK Chini 3 dan 5, Pekan, Pahang, baru-baru ini.


PEKAN 1 Jan. - Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi memberi bantuan cermin mata kepada 1,000 penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini secara berperingkat mulai kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun berkata, bantuan tersebut merupakan dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan.
"Kita buat pemberian ini secara lima peringkat, setiap peringkat kita akan beri kepada seramai 200 orang yang terdiri daripada orang kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU).
"Pemilihan penerima ini dibuat oleh pemimpin masyarakat setempat seperti ketua kampung, penghulu dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Pemberian Cermin Mata di Sekolah Kebangsaan (SK) Chini 3 dan 5 di sini, kelmarin.
Beliau berkata, kesemua mereka yang dipilih adalah dari tanah rancangan Gugusan Felda Chini, perkampungan tradisional dan juga perkampungan Orang Asli.
Dalam pada itu, katanya, dana untuk pemberian cermin mata itu adalah sebahagian daripada dana keseluruhan sebanyak RM500,000 yang diperuntukkan oleh Ahli Parlimen Pekan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
"Selebihnya daripada dana ini akan disalurkan kepada penduduk yang miskin secara berperingkat. Mereka akan menerima bantuan berbentuk wang tunai," katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Yuha Sani, 69, berkata, dia berterima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana memberinya cermin mata.
"Sebelum ini saya sudah memakai cermin mata namun dengan adanya cermin mata baru ini akan membolehkan saya membuat kerja dengan lebih mudah," katanya.
Seorang lagi penerima, Mohamad Razali Hassan, 57, berkata, ini merupakan kali pertama dia menerima bantuan tersebut.

kereta putus 2

Lelaki maut kereta putus dua
Oleh : Norfarhiza Mohd Atar
Tarikh : January 1, 2012
kereta terputus dua
KUALA LIPIS - Hasrat seorang lelaki yang menumpang kereta rakannya untuk pulang ke Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 7 Jalan Lipis - Merapoh, kira-kira jam 1.05 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan, berkata, mangsa, Lee Weng, 60, bersama dua lagi kenalannya, Lee Tong Kee, 53, dan S Sasitharan, 25, dalam perjalanan dari arah Merapoh menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian Proton Wira dipandu Sasitharan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Pada masa sama, sebuah Pajero yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Merapoh merempuh menyebabkan berlaku pertembungan dan kereta Wira tersebut terputus dua,” katanya semalam.

Abdul Razak berkata, Lee Weng yang duduk di bahagian sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepada dan bahagian organ dalaman meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Selain itu, Tong Kee yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami kecederaan parah di kepala, dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Beliau berkata, Sasitharan dan pemandu Pajero, Juraidi Shahruni, 42, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, mayat Lee Weng dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta itu bekerja di Stesen Hidro Empangan Kenyir dan ingin pulang bercuti hujung minggu sempena menyambut Tahun Baru 2012.

telefon rm 29 biar betul...

Telefon bimbit serendah RM29
Oleh : M Feisal Norawi
Tarikh : January 1, 2012
hp-murah
TEMERLOH – The One Group sebuah syarikat yang menjual pelbagai jenis telefon bimbit dan aksesori terkemuka menawarkan 100 unit telefon bimbit Samsung E1080 dengan harga murah kepada para pelanggannya sempena pembukaan besar-besaran cawangan mereka di Jerantut hari ini.

Berita baik itu diumumkan kepada penduduk Jerantut, Temerloh dan kawasan sekitar untuk mendapatkan telefon bimbit model berkenaan dengan harga serendah hanya RM29 sahaja.

Pengurus Rekabentuk dan Komunikasi The One Group, Wei Ming berkata, sempena pembukaan cawangan baru itu, orang ramai khususnya pelanggan setia The One boleh berkunjung ke Lot 42, Jalan Inderapura 2, Bandar Inderapura, Jerantut untuk mendapatkan pelbagai barangan telekomunikasi lain dengan harga berpatutan.

Menurutnya, antara produk yang dijangka mendapat sambutan ialah pelbagai jenis telefon pintar, aksesori pelbagai jenama, malah mereka juga boleh mendaftar sebagai ahli The One untuk mendapatkan lebih banyak ganjaran.

“Program akan bermula pada jam 10.30 pagi dimulakan dengan tarian singa pada jam 11 pagi seterusnya promosi berjalan serentak.

“Kita akan mula menjual 50 unit Samsung E1080 pada jam 12 tengah hari sebelum berhenti untuk jamuan makan pada jam 1 tengah hari.

“Sebanyak 50 unit lagi telefon bimbit Samsung E1080 akan mula dijual kepada orang ramai kira-kira jam 3 petang,” katanya.

Sehubungan itu, Wei Ming menggesa orang ramai mengambil kesempatan itu dengan hadir beramai-ramai ke cawangan The One di Jerantut untuk mendapatkan telefon, aksesori dan pelbagai lagi barangan lain.

pura2 beli stokin

Beli setokin umpan samun
Oleh : Nik Amirulmu’Min Nik Min
Tarikh : January 1, 2012
samun-kedai
KUANTAN- Seorang penjenayah berpura-pura membeli sepasang setokin bagi mengelak disyaki pekerja dan pelanggan sebuah kedai kasut di sini sebelum bertindak menyamun juruwang yang bertugas di kaunter bayaran, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku di kedai kasut yang letaknya hanya kira-kira 30 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jalan Mahkota di sini.

Penjenayah bersenjatakan pisau itu bertindak berani apabila melakukan samun ketika beberapa pekerja wanita sedang sibuk melayan pelanggan yang datang untuk membeli kasut sekolah anak masing-masing.

Seorang pekerja, Nurul Huda Mohd Aziz, 20-an berkata, ketika itu dia dan pekerja lain sedang sibuk melayan pelanggan manakala juruwang dikenali sebagai Nor Azura berada di Kaunter bayaran.

“Saya ternampak lelaki itu masuk ke dalam kedai dan memilih sepasang setokin sebelum membawa ke kaunter kononnya untuk membuat bayaran.

“Saya sendiri tidak mensyaki sesuatu sebaliknya menganggap lelaki itu sebagai pelanggan biasa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Nurul berkata, dia ternampak seperti berlaku kekecohan di kaunter lalu cuba mendekati bagaimanapun lelaki itu terus melarikan diri.

“Berdasarkan cerita Nor Azura, lelaki tersebut mengacukan sebilah pisau kearahnya sebelum mengarahkannya membuka peti mesin bayaran.

“Nor Azura yang berada dalam ketakutan tidak mampu untuk bertindak manakala penjenayah yang berusia dalam lingkungan 30-an terus merampas wang tunai dari mesin bayaran sebelum melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, selepas menyedari lelaki tersebut sebagai perompak, kami cuba mengejar bagaimanapun suspek sempat melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu seorang lelaki.

“Kami sempat mengecam nombor pendaftaran kenderaan terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bagaimanapun dipercayai berjumlah RM2,000.

Sementara itu, Nor Azura yang masih terkejut dan trauma dengan peristiwa tersebut enggan ditemui bual.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan beliau menerima laporan berhubung kes tersebut dan siasatan kini sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek terlibat.